Sunday 30 November 2014

Somewhere In Time..

Saya suka tajuk ini. Mengingatkan saya kepada sebuah filem romantis sedih  yang betul-betul meninggalkan kesan dihati saya ketika itu. Tengah meniti usia remaja, filem-filem syahdu begitu  memang senang melekat di hati.  Tapi hari ini, saya bukan mahu bercerita pasal tentang filem tersebut, cuma mahu meminjam judul ini untuk kisahkan lawatan saya ke satu tempat di Cameron Highland sekitar March lepas. Biarlah kita lupa pada cerita bunga seketika, 'My green Eyes' mahu berlayar ke terowong masa bersama anda. 

Ianya tentang sebuah galeri yang mengumpul beribu barangan lama, kegunaan harian, yang boleh membuatkan kita terpaku seketika, tersenyum, ketawa dan di resapi rasa sedih yang halus dihati. Galeri ini  betul-betul mengingatkan saya pada satu waktu dan satu ketika di mana saya masih lagi  berada di alam budak-budak. Melihat barang-barang lama di galeri ini cukup membuatkan saya terimbau kenangan yang lalu. Sebuah kehidupan yang pernah saya lalui. Saya membesar bersama barang-barang tersebut. Ya, satu waktu dulu saya pernah berada disana. Sungguh nostalgia. 

Berlatarkan cahaya suram, barangan lama sekitar tahun 50an-70an ini diatur dan disusun disetiap ruang dan sudut di sertai juga beberapa penerangan penjelasan. Seperti dapur kayu di atas, semua barangan lama kelihatan masih eluk dan segar..Siapa pernah guna dapur kayu dulu? Orang berumur seusia saya pasti pernah melihat kalaupun tidak  menggunakannya. Saya pernah, dirumah nenek..

Dalam empat jeni barang ini, radio transistor inilah  yang paling saya ingat. Pernah ada di rumah. Pakai bateri. Kalau bateri dah kurang, keluarkan dan jemur. Dulu-dulu bateri sais besar..merata pakat usung radio ini. jenuh cari siaran. Arwah ibu dan ayah suka dengar siaran lagu  Hindustan. 

Tahu tak lambang apa ini...? Mmm..saya tersenyum, serta merta teringat arwah ayah. Dia pernah hisap rokok ini. Rokok 3..5. Rokok sekerip/sekeret  ( cigarette )

Ada juga gambar orang Asli Cameron Highland.

Ini gambar Lee Kuan Yew dan anaknya.

Suasana ruang dapur masyarakat Cina. 

Yang paling membuatkan saya terkedu dan terpegun...Mainan masak-masak zaman saya kecil dulu pun ada...pisau kecil, pinggan kecil..periuk kecil..sebesar duit 50 sen lama. Ohh..saya sungguh rasa kagum kepada tuan punya galeri ini. Rasanya mungkin usia saya dan dia tidak jauh berbeza. 

Nyawa di hujung Pedang. Bukan novel zaman saya, tapi saya ingat saya biasa melihatnya di perpustakaan awam di tempat lahir saya dulu kala. Kisah berlatarkan semasa pemerintahan zaman Jepun, dikeluarkan pada tahun 1946. Karya oleh Ahmad Murad Nassarudin. 

Air botol..minuman ringan dulu-dulu semunya di isi dalam botol kaca. Minuman kegemaran kanak-kanak zaman saya dulu ialah lemonade yang dimakan dengan kacang tanah goreng. 

Siapa pernah makan nasi dalam pinggan ini? Pinggan tin...masih adakah di jual dipasaran sekarang ? Pinggan tin yang besar kami panggil pinggan tapak gajah. Selalu emak simpan ikan goreng dalam pinggan tersebut.

Cupak dan Gantang. Semua pekedai dan rumah orang kampung yang menanam padi, pasti ada menyimpan bekas sukatan untuk beras ini. 4 cupak bersamaan dengan 1 gantang..ukuran yang terlekat di kepala saya sampai sekarang..

Heehehe...lihat benda ini buat saya ketawa . Ada juga dalam koleksi disini. Kedai gunting rambut Cina mesti ada punya 'sarang' rambut ini...Tengok..besarkan..siap dengan cermin muka yang kelabu bersopak.  Time ni zaman orang karan/kerinting rambut. Pernah dengar karan kobis? Saya tidak pernah karan rambut seumur hidup..

Sudut kedai kopi Cina..

Lihat satu persatu barang yang ada...Masihkah kau ingat..?

Gerek jual ais kerim..Nostalgia betull..

Iklan air oren botol zaman dulu...

Melihat potret wajah lelaki inilah yang membuatkan saya teringat kisah Somewhere in Time..tapi ini adalah Jim Thompson, warga Amerika yang hilang ketika berjalan-jalan di Cameron Highland sekitar tahun 1946. Sehingga  ke hari ini beliau masih tidak ditemui.

Saya cuma tertarik pada beg peti bukan pada almarinya. Saya pun pernah bawa beg peti kesekolah. Kalau budak-budak sekarang harus ketawa berdekah-dekah.

Time Tunnel. Tidak rugi masuk melawatnya. Saya cuma merakam beberapa keping gambar sahaja sebagai kenangan. Rasa menyesal pula tidak snap semuanya. Namun lebih dari itu saya amat mengkagumi tuan punya galeri ini yang cukup gigih menjaga dan menghimpun setiap kenangan kehidupan masa lalunya didalam sebuah galeri. Kerana daya usahanya jugalah  membolehkan saya menyentuh waktu lampau saya dihujung jari. Walau semua kenangan itu sudah berlalu pergi, tapi di ingatan ia tetap segar dan abadi. Terima kasih Mr See.

28 comments:

  1. Assalamualaikum Kak Mala, memang nostalgia zaman dahulu kala betullah pic kakak tu, beberapa barangan yg kakak tunjukkan picnya tu sempat juga Julie tgk penggunaannya, tapi itu pun time Julie kecil2 lagi seawal tahun 90's & masa arwah nenek masih ada, mcm dapur kayu & pinggan tin tu hehe..memang menarik sekali pic2 kakak ni, buat Julie teringatkan zaman dlu2...thanks for pic sharing.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Barang-barang lama itulah sebahagian dari peristiwa kelansungan hidup kak dihari ini Julie. Memang seronok dan terharu benar dapat lihat barang-barang tu tu disatu tempat.

      Delete
  2. kak mala..tengok barang2 ni..saya pun teringat kehidupan zaman kana2 dulu..70an..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Julie, memang teringat terus dekat zaman kanak-kanak dulu. Sebenarnya banyak lagi barang yang ada..kak cuma rakam sedikit saja.

      Delete
  3. nostalgia betul..seingat sy di awal 90 an sy kenal beberapa barangan diatas..mcm botol2 air masih lagi dijual dikantin sekolah..pinggan tin tu pun pernah digunakan....dapur kayu, radio yang perlu di adjust pun sy sempat kenal dan guna...:D

    ReplyDelete
  4. Beg peti tu beg sekolah saya darjah satu...berat.. sakit tangan..corak beg saya kotak2 orange dan coklat..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mar..hahhaa...kak dapat bayangkan beg peti Mar tu...macam ternampak-nampak corak beg tersebut...betul ada sorang kawan kak dulu pernah bawa beg kotak2 orange dan coklat...

      Delete
  5. Semuanya mengimbau kenangan suka duka ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang betul..ia benar-benar mengimbau suka duka kak waktu zaman bebudak. Macam cupak dan gantang tu..kak masih terbayang-bayang dimata, waktu kecil mak suruh beli beras kat jiran sebab bapa tidak bersawah, satu cupak 25 sen sahaja..

      Delete
  6. Sebak juga tengok tu teringat dapur kayu nenek.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak cukup ingat, kalau pergi rumah nenek dulu, kalau kayu habis, kenalah rayap2 kat semak cari kayu api baru..

      Delete
    2. Jadi rindu dekat nenek setiap pagi antara benda pertama akan nenek buat ialah jerang air dekat dapur kayu dia. Dulu masa musim hujan sejuk selalu kumpul dekat area dapur kayu. Kekadang masukkan ubi kayu dekat unggun api tu.

      Delete
  7. Salam Kak Mala,

    Mahal tu sekarang pinggan tin tu!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau begitu masih ada dijual lagilah rupanya pinggan tin ini. Cuma ditempat kak ini tak pernah jumpa dikedai pun...

      Delete
  8. Barang yang buat kak zai ketawa dan teringat 'sarang rambut' sebab kak zai menggunakannya setiap kali karan rambut hihi...Rokok tu juga menerjah keingatan sebab ayah kak zai hisap dan satu lagi rokok jenis roughf riders kalau tak silap.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaa..betul Zai, kak pun tergelak seround tengok sarang kepala tu.., masa kecil dulu, waktu ikut kakak sulung pergi kedai rambut, kak cukup takut tengok benda tu..bila dah besar dah faham baru Ok.
      Rokok rough riders tu..kak pun ingat..arwah bapa kak pun hisap juga. Ooo...femes rokok tu..kami panggil rokok cap tembak. Color hijau kan...

      Delete
    2. Zai...satu lagi rokok gold leaf..ingat dak? hahaa...

      Delete
  9. Salam perkenalan...

    Huh 4 tahun sy duk cameron tak pernah msk ke dalam ni..rupa2nya menarik gak ye...

    Folower #62

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam perkenalan Syam. Terima kasih singgah disini.
      Syam..rugi tak melawat tau. Tiketnya pun murah. Macam2 barang lama dan info sejarah Cameron ada kat situ.

      Delete
  10. Masya-Allah... semuanya mengimbau juga nostalgia kakak masa kanak-kanak dulu. Basikal arwah atok, dapur kayu dan serkop kalau nak buat keriting rambut tu buat kakak senyum sendiri. Sungguh dulu semua ini adalah perkara biasa yg tak mungkin boleh ditemui sekarang... menarik!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Zakie..kak dulu2 berlajar naik basikal guna basikal yang ada palang macam di atas tu lah. Kami orang kedah panggil gerek. Bayangkan orang perempuan naik basikal lelalki..Gerek tua bapa punya pun bantai naik juga...basikal besar yang ada seat besi / pelantar belakang tu..

      Delete
  11. salams kak mala, baru sempat bw kesini....
    akak saya suka tgk brg2 nostalgia mcm gambar2 akak tu...:)


    kak, guar cempedak dekat dgn kg hubby saya dekat area matrikulasi, pokok thai lama :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Miizaa,
      Ooo..sama sekampunglah hubby kita ya..kak pula orang Gelung Air, Gunung Keriang. Rumah kak dekat ja dengan Musuem Padi. Pokok Thai lama tu dulu ada sorang lelaki yang sangat diingati penampilannya..orang panggil Jit Tahir...kenal dakk...

      Delete
  12. Salam Mala,

    Memang mengimbau zaman dulu-dulu! Cukup nostalgik. Dapur kayu pernah ada di rumah arwah mak Mak Aji. Walaupun dah ada dapur gas, arwah masih suka minum air yang ada bau asap api! Dia jerang air minumannya di situ. Pun menjadi tempat dia masak percik atau masak panggang apa-apa lauk lain. Mak Aji pernah nampak dari luar sahaja dan tidak pernah masuk. Bagus kalau bawa anak2 ke sini!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Mak Aji. Betul Mak Aji..memang banyak sangat barang-barang lama sezaman kita ada disitu..

      Delete