Sunday 25 October 2015

Kitchen Garden - Semuanya Ada...

Saya pernah terbaca komen dalam fb bertanya - berbaloikah jika kita menanam sendiri sayuran dan ulam dari membelinya di pasar atau kedai. Hurmmm...apa nak jawab...? Sudah tentu ada jawapan yang pro & contra bergantung kepada orang yang menjawabnya samada dia  suka berkebun atau tidak. Bagi saya pula,  sudah tentulah berbaloi tapi mesti kena tahu pokok apa  yang harus ditanam...
Cili saya dalam kenangan, baru mati setelah 4 tahun berbakti.

Tanaman seperti serai, lengkuas, pandan, kunyit, daun kari, cili padi, kesum dan limau purut perlu dan wajib ada di kebun dapur. Ini kerana tanaman ini  selalunya menjadi rencah/bumbu asas dalam masakan kita. Begitu juga dengan  ulaman seperti daun kaduk, ulam raja, cekur, selom semuanya boleh di tanam  dalam pasu sahaja.  Sekarang ini banyak nuseri menjual pokok herba, sayuran selain dari bunga dan buah. Jadi kalau malas menyemai boleh beli pokok segera. Malas ke nurseri boleh beli on line. Order hujung jari saja. Mudah. 

Dalam banyak-banyak sayuran, kucai adalah sayur yang paling berbaloi ditanam. Tidak cerewet, sangat lasak dan tahan lama. Kerat hari ini, esuk tumbuh balik. Sekali tanam seumur hidup boleh makan hasilnya.  Ini kucai saya sudah sebelas tahun, masih dalam bekas lama pun..Oh ya, seperkara lagi kitchen garden bukanlah harus seperti ladang tanaman. Serba sikit ada disekeliling sudah memadai. Kadang-kadang kita nak guna sehelai pandan untuk masak bubur tapi  tak bolehkan beli sehelai daunnya di kedai...

Selain sedap disayurkan, kucai selalu digunakan sebagai penyeri rasa dalam cucur & gorengan. Bihun goreng Singapore dengan kucai dan cili padi. Di petik dengan kuantiti yang bersesuai untuk makan bertiga. Sebenarnya saya ada banyak lagi tanaman sampingan. Semuanya ditanam dalam pasu. Akan saya paparkan nanti  mengikut kesesuaian.

Selain kucai, daun bawang dari bawang yang tumbuh adalah paling senang dan cepat untuk di tuai hasilnya. Tak berbaja pun dia tumbuh..Pada saya kebun dapur dapat menyelamatkan ringgit untuk jangka masa panjang dan yang penting rasa puas makan hasil air tangan sendiri. Untung sangat orang yang mempunyai ruang laman yang luas. Boleh taman apa saja yang mahu.

Sedikit kegunaan daun bawang untuk bubur nasi ..

Setelah tanaman wajib sudah berjaya di usahakan, barulah saya  menyelit sayuran lain yang mudah ditanam. Timun. Abaikan bentuknya yang kemetot. Tidak mencapai standard piawaian. Namun rasanya tetap ada disitu. Malahan lebih manis sebab di petik segar dari kebun..

Hasil kedua. Hasil pertama simpan buat benih.

Sebagai ulam dalam nasi lemak untuk sarapan pagi...saja saya hiaskan dengan sedikit gaya konon, sebagai penghargaan dan  terima kasih kerana berjaya memberikan  hasil. 

..rampai dalam gulai ikan untuk makan tengahari..

Saya juga tanam pokok kacang panjang. 

..hasil yang terpaksa dibahagi dua dengan Che Kam..

..buat kerabu campur dengan kacang parang pemberian jiran belakang rumah..

hirisan  bersama daun bawang

Saya campurkan dalam nasi goreng untuk makan malam.

 ..di sisipkan dengan timun sebagai ulam..


Walaupun  tak sempurna bentuk, Alhamdulillah  hasil tanaman kebun dapur saya sentiasa memberi rezeki bila diperlukan. Oleh itu kawan-kawan, mari kita mulakan dengan satu hari satu sayur. Ikut contoh kawan-kawan kita yang tinggal di flat berbelas tingkat. Salute pada mereka ini. Atas kayangan pun masih boleh menyemai dan menuai hasil. Ruang, tanah & masa bukanlah alasan lagi. 
Happy gardening & happy weekend. 





















Saturday 17 October 2015

Rumput Cina - Murdannia Bracteata

Mulai minggu ini rasanya saya mahu menambah satu ruangan di blog mengenai  herba dan rumpai yang terdapat di sekeliling kita. Herba dan rumpai yang selalumya   kita rasa tidak bernilai ini bukan saja berkhasiat,  boleh dimakan malah mempunyai nilai perubatan untuk menyembuhkan penyakit  tertentu pula.   Bukan apa, rugi jika kita tidak kongsi manafaat besar yang terdapat pada setiap tumbuhan yang kita anggap rumput atau pokok bunga ini. Lazimnya asal rumput cabut, asal bunga..puja kecantikkannya saja. Betul tak?
 Jadi hari ini saya  mulai dengan herba Rumput Cina . ( dikenali juga dengan nama Spiderwort, Pan Ki Lian, Pandan Jambi, Rumput Aur Beijing, Rumput Anugerah, Rumput Pada Suka. Rumput Pak King ....) 

Walaupun penggunaan herba ini lebih menjurus kepada perubatan  cara kampung, tidak salah bagi kita untuk mencuba sebagai alternatif penyembuhan secara alami. Senang didapati, mudah di kutip dan yang penting tanpa keluarkan sebarang modal..cuma berpandukan informasi dan sedikit usaha sahaja sudah memadai.  Sebenarnya, sudah berbelas  tahun saya tanam pokok ini. Di kawasan rumah saya rumput ini boleh didapati dimana-mana dan saya tidak pernah kisah dengannya. Tanam dulu pun sekadar hiasan pokok dalam pasu sahaja. Namun setelah terbaca perbincangan mengenai rumput ini dilaman grup fb baru saya buka mata. 

  Berasal dari selatan negara Cina. Manakala di Thailand  rumput ini dikatakan tumbuh meliar namun masyarakat di sana  berusaha mengenalkan rumput ini melalui produk   suplemen untuk penyakit kanser dan lain2 penyakit yang berkaitan.   Lazimnya daun ini direbus keseluruhan bersama akarnya  untuk membantu penyembuhan barah payudara, usus, ulser, batu karang., radang kulit, lawas kencing, buah pinggang. Lihat lebih lanjut  cerita keberkesanan rumput ini  disini..

 Manakala di sini, saya tidak pasti sampai ketahap mana penerimaan  rumput ini dalam masyarakat setempat.  Namun yang pasti komuniti Cina lebih terarah menanam rumput ini kerana umum mengetauhi akan kepekaan dan ilmu  mereka dalam  penggunaan herba adalah tinggi.   Pokok ini senang membiak melalui biji benihnya yang ringan dan mudah tersebar.  Juga boleh ditanam melalui keratan ruasnya. 

Dan yang paling terbaharu saya dapat perkongsian mengenai penggunaan rumput ini ialah daunnya juga boleh  melembutkan tekstur daging dalam masakkan. Saya sudah mencubanya bila masak kari daging Rabu lepas. Memang cepat empuk tanpa mempengaruhi  rasa kari tersebut. Siapa yang tanam rumput ini boleh mencuba ya.. Lepas ini saya mahu goreng rumput ini dengan  ikan masin pula...hurmm bagaimana rasanya? Mari mencuba...
Happy gardening & happy weekend!



Sunday 4 October 2015

R&R: The Survival

Setelah hampir sebulan setengah berlalu, hari ini barulah dapat saya posting perkembangan pokok-pokok yang di ubah dari homestay ke tapak R&R ( Rehat & Rawat ) saya. Pokok yang terselamat dan hidup ini adalah rentetan peristiwa dari pokok-pokok saya yang telah ditebang, ditarik keluar pasunya  dan di tebas. 

Hari ini dalam jerebu yang tebal,  sepagi saya merakam pokok di R&R. Lihat, matahari pun dah jadi sakit...Ini pukul 10.00 pagi...walaupun ada cahaya tapi nampak suasana mendung dan gelap..

Kalau hari sihat, pukul lapan pagi dah nampak ceria walaupun selepas hujan..

Saya mulakan dengan kelansungan hidup pokok Avocado dulu. Kalau dinilai dari daunnya nampak macam sudah sihat dan boleh sesuaikan diri namun akar baru belum pun lagi tumbuh dari lubang pasu. Tinggi dah melebihi 7 kaki. Ranting yang merendang dulu  habis kena cantas.

Nasib yang sama juga menimpa cotton rose ini. Sebelum ini pokoknya cukup tinggi dan rendang Kini berjuang hidup dengan  sejambak daun yang ada. Saya andaikan ia sihat kerana berjaya berbunga di R&R.

Roselle sempat saya pindahkan 3 pokok sudah mulai berbuah tapi entah kenapa buahnya tidak 
membesar...jadi terbantut dan kerdil..tanah tidak sesuaikah?

Mulberi yang pokoknya tinggi hampir sama dengan bumbung, saya tanam dari potongan keratan batangnya yang ditebang, berpucuk tapi akhirnya semua mati mungkin kerana air hujan yang bertakung ditapak ini. Selalunya mulberi cukup liat nak mati...

Namun begitu Torenia sangat mesra dimana saja. Monopoli hampir keseluruhan tapak R&R. Dialah kembang yang menceriakan tapak ini.. Benihnya senang merebak.

Begitu juga dengan kembang pagi liar ini..semasa di homestay dulu terbantut saja..

Angelonia pun mudah sesuaikan dirinya disini. Saya tanam di luar pagar.  Che Kam pula setakat ini tidak suka mungkin kerana bau masam manis pokok itu...

Tapi yang paling buat saya happy  ialah garlic vine ini. Bertahun  di homestay  tidak berbunga. Masuk saja R&R dua kali sudah berkembang...

Lain-lain bunga yang hidup dan terselamat termasuklah vinca putih dari Diana Kebun Bahagia Bersama. 

Akar Dani, telang putih & biru juga berbunga. Cuma saya kehilangan cypres vine pink. Yang tinggal putih sahaja. Sampai kehari ini saya masih mencari kelibat pokoknya di homestay namun tidak ada.

Pagi ini semasa saya sibuk merakam, dua ekor supervisor ini pun sibuk sama melawat tapak. Syukur,  Kaspin sudah 90% sihat dan menambahkan berat badan. Tahap kecergasan juga meningkat. Cuma sesekali dia kelihatan penat. Terima kasih kepada semua yang mendoakannya ya! 

Alhamdulillah walaupun ada satu dua pokok  yang mati, sebahagian besarnya berusaha berjuang dan hidup dengan jayanya. Kini tapak R&R ini makin meriah. Saya juga menyelit dengan sayur dan pokok buah2an. InsyaAllah dilain posting kita bercerita tentang ulam dan sayuran pula. Selamat berhujung minggu dan jagalah kesihatan diri jika di sana  juga berjerebu. Saya baru pulih dari sakit tekak. Happy gardening!