Tuesday 22 November 2016

Buah Kundur - Wax Gourd

Saya mula menanam pokok kundur awal tahun ini di kebun R&R. Benihnya saya dapat dari buah yang di beri oleh seorang rakan. Selain labu sebenarnya kundur adalah antara sayuran berbuah yang boleh disimpan lama. Orang dulu-dulu selalunya berpantang larang dengan kundur ini kerana sifat sejuknya, Masakan tidak kerana isi kandungan airnya ialah 97%. Walaupun begitu ia tetap mempunyai manafaat tersendiri untuk penyembuhan tradisi. Lazimnya orang-orang Cina menggemari buah ini dam mereka memasak dengan campuran herba mereka sendiri. 

Ini buah sulung tanaman kundur saya di kebun. Pokok saya biarkan merayap di atas tanah. Cuma dua biji saja buahnya. Ini yang tebesar. Saya berniat nak buat kenduri untuk harijadi cucu yang ke tiga tahun.

Akhirnya bulan Ogos baru majlis berlansung ( harijadi sebenarnya jatuh pada bulan puasa ) Kerana sibuk di dapur saya tidak sempat merakam majlis yang meriah ini. Gambar ini  ibunya yang rakam dengan hphone. Tidak berapa terang. Apapun niat untuk buat kenduri kundur telah tercapai. Masak dalca dengan ayam. Semua orang dapat makan. Alhamdulillah.

Hampir empat bulan majlis berlalu inilah hasil yang saya dapat dari biji buah sulung. Biji ini tumbuh sendiri di pangkal pokok limau purut belakang rumah. Membesar cepat dalam musim hujan saya tidak ambil tahu langsung pasal pokok ini kerana saya tidak menanamnnya. Hinggalah pada satu hari saya mendongak baru perasan. Ada lapan biji semuanya dan pucuknya masih terus mengeluarkan putik baru.

Berkongsi ranting dengan limau purut yang tengah membesar. Jadi betul lah orang cakap, kalau tanam pokok jenis labu atau kundur ni biarkan saja begitu. Jangan ambil kisah sangat. Lagi banyak dia berbuah. Patutlah pokok yang dibelai di kebun naik dua biji saja. Sebab dimanja kut.

Teruja saya melihat buah yang bergayutan. Buah ni harus dikendurikan kerana saiznya yang besar sedangkan keluarga saya kecil sahaja.

'Berkelah' pertama saya buat masak lemak. Sebiji lagi saya buat pajri esuk harinya dan agihkan kepada jiran juga
 
Selang beberapa hari petik pula dua biji. Kawan-kawan suruh masak pajri sekali lagi untuk berkelah makan malam.  Makan dengan ikan gelama kering. Sepanjang minggu ini kiranya saya dan kawan-kawan kejiranan  berpesta kundur lah..... lagipun saya selalu kena bahagian masak sayur & s ulam.

Untuk sendiri saya lebih suka sayur air yang begini. Semangkuk besar boleh habis. Mujur setakat ini kesihatan baik. Tidak kena angin dan sakit urat. Antara produk kundur yang paling saya suka ialah minumkan airnya. Sedap. Segar dan wangi. Manakala satu lagi tentulah halwa kundur. Semua orang pasti tahu. 

Masih ada beberapa lagi kundur di puncak pokok limau cuma ini sebiji sahaja yang berjuntai kebawah dan tercapai tangan, . Saya teringin sangat nak buat halwa kundur. Google internet tapi tiada satu resepi yang lengkap. Saya berharap kawan-kwan yang tahu akan membantu dan share resepinya disini. 



Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!











Wednesday 2 November 2016

Marygold

Hari ini panas terik. Berminggu sebelum itu hujan, berangin dan sesekali ribut melanda tempat saya. Tahun ini memang banyak sekali hujan turun. Saya tercari-cari bunga apa nak diceritakan minggu ini. Pilih-pilih saya mahu bunga ini ...Marygold atau sangat dikenali dengan nama Tahi Ayam untuk panggilan setempat.

Ini adalah satu-satunya Marygold terbesar  yang pernah saya tanam. Mungkin kerana faktor hujan lebat telah menghanyutkan butir-butir baja sayur  kepangkal pokok tersebut lalu ia jadi subur begini.  

Bila meriah berbunga semua orang tengok suka walaupun hakikatnya baunya tidak disukai dan jarang menjadi pilihan. Jenis ini sangat lasak dan benihnya mudah dicambah. 

Dua bulan lepas saya beli benih online dari rakan fb. African Marygold. Ini bunga sulung. Sangat puas hati dapat jenis ini. Besar dan cantik. Warnanya pun sangat  pekat memikat.


Tapi saya terpaksa letakkan di kebun saja. Sayang tak boleh nak ceriakan dilaman depan takut Che Kam makan.

Untungnya dalam satu peket saya dapat tiga jenis bentuk kelopaknya. Semua bunganya bersaiz besar.

Sejenis lagi...

Ramai tidak tahu sebenarnya bunga Marygold ini eluk di tanam di kebun sebagai 'companion plant'. Bunga ini dapat menghindari beberapa jenis serengga atau parasit tertentu didalam tanah yang bertugas merosakkan akar dan keseluruhan pokok terutamanya pokok-pokok sayuran. 

Selain itu bunga ini juga mempunyai nilai herbanya sendiri.  Dikatakan dapat menyembuh beberapa jenis penyakit yang mungkin kita tidak pernah tahu dan menduga. Sila rujuk khasiatnya di blog ini.

Sekarang saya tengah teruja nak mengumpul kembali jenis-jenis marygold ini. Beberapa tahun dulu saya juga ada menaman dari jenis dwarf . Malangnya seperti biasa saya alpa maka pupus terus pokok-pokok tersebut. 

Yang dah pupus termasuklah dari jenis French Marygold ini. Saya beli benihnya di pasaraya saja..murah harganya masa tu. 

Marygold jenis dwarf ini lebih mudah ditanam dengan keratan batang tapi  saya kurang tahu waktu itu. Manakala benihnya tidak lansung mahu bercambah.

Sebahagian lagi...pupus.

Yang paling saya sayang. Marygold White Kilimanjaro. Besar bunganya. Siput makan habis.

Banyak sudah saya beli benih, ruginya saya kadang-kadang tidak pernah berlajar dari kesilapan. Patut ada sedikit info sebelum mahu menanamnya jadi sekurang-kurangnya kita tahu dan sempat  membiaknya sebelum pokok itu mati atau pupus. Marygold yang besar gedabak pokoknya tu dah tumbang dan melayu masa ribut baru-baru ini. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!