Sunday 30 July 2017

Cucu Saya Dah 4 Tahun.

Majlis hari jadi Qaseh berlangsung pada hari Jumaat baru-baru ini. Majlis kali ini dibuat kecilan sahaja tapi walaupun kecil penat juga tok dia jadinya. Maklumlah dua minggu asyik merumput pagi petang di kebun tau-tau nak bermajlis la pula di rumah. 

Anak mohon buat dirumah saya. Pada mulanya memang agak keberatan kerana laman rumah yang sempit, penuh dengan pokok bunga. Nak menyewa khemah pula tak berbaloi sebab jemputan pun setakat jiran terdekat sahaja. Kelam kabut jugalah saya membuang sawang dan mengubah pokok ketepi.

Ubah sana ubah sini akhirnya ada juga ruang untuk bergerak dan letak makanan.

Makan di celah-celah pokok bunga pun ada.

Manakala ruang dalam dikosongkan untuk bebudak bermain, berlarian dan makan.

Panas di dalam. Jiran pinjamkan  kerusi untuk bersantai di luar.

 Bersama kawan-kawan menyanyi ucap selamat. Sebenarnya hari jadi Qaseh jatuh pada bulan ramadhan jadi majlisnya terpaksa ditunda ke hari yang sesuai. 

Kek hari jadi dia yang pilih. 

Qaseh bersama ibunya.

Bersama Tok Chunya. Seperti biasa saya memang tak sempat nak mengatik gambar. Sibuk layan tetamu. Jadi gambar-gambar ni kutip dari phone anak saja.

Belum lagi puas ambil gambar. Majlis pun baru duk tengah rancak. Tengok-tengok dia dah siap buang baju dan perhiasan.  Nak makan kek. Budak-budak katakan...

Seronok tengok telatah bebudak bergembira. Masa zaman saya kecil dulu, kami adik beradik tak pernah pun sambut majlis hari jadi. Hanya anak orang yang berada saja ada sambutan majlis. Itupun yang meningkat remaja. Kalau ada duit bolehlah beli hadiah. Masa tu hadiah dibeli ikut kemampuan. Saya masih ingat, ada yang hadiakan sabun wangi seketul, ubat gigi, color pensil, set geometrik, shampoo, anak patung, pensil, buku cerita. Yang paling rare dan lawak modess/pad pun ada orang beli bagi. Hadiah budak-budak sekarang? Mmmh...lumayan!


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Saturday 22 July 2017

Laktud / Rumpailaut - Seaweed

Siapa pernah makan rumpai laut ? Di tempat saya ( Langkawi ) rumpai laut yang terkenal dengan panggilan laktud/laktut ini merupakan sejenis makanan eksotik  yang sangat istimewa dan di gemari. 
Pada musim-musim tertentu rumpai ini akan membiak. Bagi orang yang mahir dan tahu tempatnya akan turun ke pinggir laut untuk mengutip. Kualitinya bergantung pada tempat dan persekitaran di mana ia membiak. 
Selalunya di makan mentah bersama sambal kerisik. Tidak berbau hanyir. Teksturnya agak kenyal macam agar-agar. Meletup-letup dalam mulut bila di kunyah. Laktud tidak boleh terendam air tawar atau di basuh terlalu awal kerana dia akan mencair dan menjadi hampas. 

Minggu lepas anak sulung saya yang tengah mengidam membelinya dipasar hari dengan harga RM10 sekilo. Cantik sangat bentuknya. Ini dipanggil laktud anggur atau laktud lada. Seorang kawan saya pernah membelinya di Kota Kinabalu. Sabah memanglah tempatnya. Namun katanya baunya agak hanyir. Di sini terdapat dua jenis rumpai laut yang lazim dimakan..

Jenis laktud berdaun/berjari lipan ini adalah yang paling femes dan digemari. Maaf gambar agak kabur. Saya ambil dari pakcik google. Teringat masa mula-mula datang Langkawi sekitar akhir 80an. Yang menjual datang berbasikal dengan muatan kotak kayu di belakang. Sekupang atau sepuluh sen  satu pot susu. Berebut-rebut sepupu saya meratah penuh selera. Saya cuma mampu telan air liur. Kembang tekak. Memang tak boleh masuk. Nak termuntah dengan rasanya yang masin payau.

Sampai sekarang hampir 30 tahun berlalu saya masih belum boleh makan lagi laktud ini. Anak suruh juga saya cuba sedikit. Saya ambil setangkai dua, cicah sambal kerisik. Mmmm...boleh telan pula. Rupanya yang jenis lada ini tidak berapa masin sangat berbanding dengan jenis laktud lipan. Orang yang tidak tahan perut tidak boleh makan laktud ini berlebihan, akan cirit kerana dikatakan bersifat panas walau hampir 100% kandungannya ialah air.

Bila cerita pasal laktud mesti ingat pada bronok juga. Kisahnya boleh baca di sini. Salah satu lagi makanan yang cukup-cukup eksotik di Langkawi. Yang ini lagilah geli melihat kerana dia sejenis haiwan laut. Berpuluh tahun juga tekak saya ambil masa untuk menerimanya. Walaupun menjadi kegilaan penduduk tempatan dan penggemarnya  ia tetap bukan my feveret. Not my taste...mat saleh kata. Kalau datang ke Langkawi dan terjumpa di kedai makan, silalah cuba menjamu selera. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!













Tuesday 11 July 2017

Kebun Raya & Demam Raya.


Mmmh! itulah yang terjadi. Kebun saya start beraya dari awal bulan puasa hinggalah kelmarin. Sebulan lebih. Raya sakan dari tuan dia.  Puasa tahun ini memang saya tidak peduli langsung pada kebun. Cuma sesekali saja masuk kutip saki baki sayuran yang ada. 

Akibatnya....inilah yang saya dapat. Kebunraya. Saya sendiri tak tahu nak start kat mana dulu. Semak mata tengok, semak lagi hati di dalam. Rumput dah penuh menjalar setiap penjuru. Dah tenggelamkan sesetengah pokok bunga pun. Hujan yang kerap turun juga membuatkan tanah kebun becak dan tidak selesa berjalan.

Akibat lama bergenang air, banyak pokok bunga yang mati tanpa sempat dipulihkan dan juga dimakan siput babi. Bukan saja siput, ulat & serengga pun membiak di merata pokok. Rama-rama pun banyak dan happy terbang saja nampaknya. 

Walaupun sesetengah pokok mati dan dimakan siput tapi alhamdulillah pokok daun sup ini eluk saja membesar dalam rimba rumput.

Fikir-fikir. Mulai bulan ini saya akan  minimumkan pembelian dan penanaman pokok-pokok bunga. No more on line booking! ( boleh percaya ka..) Kekalkan bunga mana yang ada cukup. Lepas beberapa hari balik dari kampung, saya demam hampir seminggu lamanya. Demam saya pelik sikit kerana saya mudah mengantuk dan akan tidor siang & malam. 

Akibatnya kebun saya makin terabai sehingga ada orang ambil kesempatan masuk dan mencuri benih bunga giant zinnia saya. Geram sangat rasa hati kerana saya memang menunggu masa saja benih bunga tersebut kering. Ada juga orang nampak walau duduk dalam semak. Mungkin kerana warnanya yang terang dan saiznya yang sebesar muka cawan. Dia tinggal sekuntum yang kecil saja untuk saya. Yang besar-besar dia kebas.

Berbalik pada kisah demam. Saya rasa demam saya berjangkit dari Si Tome. Kami sama-sama demam dan sama-sama sekatil tidur siang dan malam. Badan dia pun sangat panas. Hubby  ambil air kelapa muda buat penawar demamnya.  Saya pula ambil daun galak kucing rebus dan mandikan dia. Dua hari kemudian kami sama-sama sembuh setelah seminggu asyik tidur. Gambar atas,  Qaseh asyik memanja Tome walau puas dilarang. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!