Thursday 11 January 2018

My Pisang Abu

Sudah sebelas hari kita menyambut tahun baru 2018. Saya masih di selubungi dengan rasa malas dek  kesihatan yang tidak berapa baik. Namun lawan juga perasaan, untuk menulis sesuatu di sini sebagai wadah pembuka tirai tahun baru. Dalam masa sebulan setengah saya sudah tiga kali ke klinik dan sudah tiga kali juga bertukar ubat. Kalau tidak sembuh juga doktor akan rujuk saya kepakar untuk endoskopi perut dan usus. Ini yang buat saya takut dan seram. Tolong jangan kecam ya....memang saya rasa sangat tidak mahu...

Pada hari-hari saya rasa agak selesa, saya cuba secara perlahan-lahan menyambung kerja membersih ruang depan untuk sedikit pembaharuan. Terbengkalai dari tahun sudah. Tapi hari ini biar  saya bagi laluan kepada cerita pisang sulung saya dulu. Lain hari sambung cerita pokok bunga pula.

Ini pisang abu sulung dikebun. Setahun baru berbuah. Tak berapa banyak buahnya tapi cukup untuk  dikongsi bersama jiran tetangga. Waktu membesar saya tidak membalut tandan pisang ini. Che Kam apalagi bersuka rialah meragut putik buah setiap kali ada kesempatan. 

Sebahagian putik pisang yang menjadi mangsanya.

Jadi tiada pilihan terpaksa dibungkuskan. Dalam hati saya berdoa agak dapat menuai dan merasa hasil tanaman ini. Setakat Che Kam bukanlah masalah besar. Pencuri berkaki dua pun banyak berkeliaran. 

Jantungnya saya rebus buat ulam.

28 December yang lalu semua rakan dan jiran yang bercuti panjang kembali semula kerumah dan berkumpul seperti biasa. Acara berkelah pun bermula kembali. Masa yang sangat sesuai untuk saya kendurikan pisang ini. Saya cuma perlu petik anggaran yang mahu dimasak sahaja. Selebihnya tinggalkan dipokok. Jadi malam itu ramai-ramai makan gulai ikan kering rampai pisang abu muda. Mmm...sedapnya. Gebu dan lemak.

Kerana tidak puas makan, esuknya cik suami request sekali lagi gulai pisang ikan kering. Syukur alhamdulillah dengan nikmat ini. Walaupun setandan kecil cuma tapi kami di kejiranan dapat sama-sama berkongsi rasa. 
Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan happy new year buat semua kawan-kawan bloggers.  Semoga tahun ini tahun yang menjadikan kita lebih baik dan makmur. Juga moga bumi ini semakin subur dan hijau.


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!