Showing posts with label Amarylis. Show all posts
Showing posts with label Amarylis. Show all posts

Wednesday, 15 June 2016

Bunga- Bunga Ramadhan 2016

Bunga-bunga saya banyak yang berkembang sepanjang Ramadhan ini tapi kadang-kadang terlepas pandang sebab hujan yang berterusan turun membataskan aktiviti meronda saya. Dari sebelum puasa hinggalah ke semalam  pokok-pokok tanaman terus bermandi hujan. Terlampau banyak air pun boleh merosakkan dan memudaratkan sesetengah pokok.

Kemboja Bali kuning pemberian Diana semasa datang ke Langkawi..2013, pertama kali berbunga. Cantik tapi tak dapat nak cium baunya sebab dah meninggi.

Kemboja pinkish kuning ni kembang di laman sebelah ( homestay ) Terpaksa tempatkan dia di situ untuk pancaran matahari penuh. Ruang rumah saya sudah dipenuhi. Walaupun sedikit jauh tapi saya tetap happy untuknya. Kesian..banyak bunga kembangnya berjauhan dari saya. 

Macam Lily Amarylis merah ini kembang tanpa sedar. Tau2 dah tersenyum dalam kebun R&R. Kalau boleh saya mau bawa semua bunga-bunga ini ke laman depan rumah. Saya nak mereka kembang beramai di situ tapi apakan daya... ruang terhad, cahaya tak mencukupi dan Che Kam pula saban waktu menghampiri.

Senasib, Lily Cameron merah putih ini juga kembang jauh. Kembang dalam kebun R&R.

Amaryllis saya ada 6 jenis variety dan warna tapi cuma dua jenis ini saja rajin berbunga. Yang empat lagi masih bertapa dari musim panas sampailah ke musim hujan. 

Portulaca pun tiada tempat di laman depan. Bila berjauhan kurang perhatian. Begitulah jadinya. Koleksi lebih dari 20 jenis warna sudah mengurang lebih dari separuh. Serangan kulapuk/fungus  dan lebihan air telah merosakkan, mereput  dan seterusnya mati tanpa sempat di replant.

Tahun ini pula kupurama kembali berpesta dan membiak sebebasnya. Boleh kata seluruh sayuran dan pokok bunga saya jadi perumah anak kupurama. Saya tidak pernah meracun. Tak larat jugalah  nak mengutip  buang ulat.

Memandangkan sekarang  bulan puasa,  jadi saya  abaikan kegemaran  merakam aksi gembira mereka sebab tak larat nak mengejar nanti kering kerongkong. Cuma snap apa yang ada depan mata saja..si Blue Pansy paling banyak mendominasi kawasan rumah.

Seperti portulaca, vinca juga banyak yang mati  sebab terlebih air. Untuk galakkan dia berbunga saya terpaksa tempatkan  mereka diluar walau terpaksa mengambil risiko di makan Che Kam. Di dalam pula cahaya tidak mencukupi.

Morning glory yang masih bersisa. Saya hilang hampir 10 jenis warna yang lain...frust juga tapi fitrah alam tidak dapat kita halang...

Gambar dulu-dulu. Trellisnya pun dah arwah. Seronok kalau dapat tanam semula secara terbuka begini..terhidang cantik depan rumah...namun sekarang adalah zaman kegemilangan Che Kam jadi hajat terpaksa dipendamkan. Saya plan untuk dirikan  pagar kayu luar rumah  tapi mungkin budget tahun hadapan.

Sebenarnya lama sudah berhajat  nak upgrade laman tapi masalah baru pula timbul. Berebut tempat pula dengan Cik hubby. Dia dengan burung-burungnya banyak merampas ruang terhad saya untuk membunga.  Terpaksa mengalah walau tak puas hati....sebab dulu dah janji ruang depan tu semuanya untuk bunga saya....

Tapi lelaki kan suka nak menang...jadi menanglah dia dan saya terpaksa berkongsi ruang...Ohhh...saya memang tak suka bila tahi burungnya banyak jatuh atas daun..bertapuk..siap dengan baunnya lagi....

Alah..kongsi tempat ja...itulah ayat dia...tapi saya selalu cakap abang tu pendatang..mana aci. Awal minggu bulan puasa saya beli lagi rose baru bila terserempak di market. 

Biasalah saya, hati mudah cair...bila hubby pun senyum saja tak rungut2...saya ambilah dua pokok..

Tapi yang ini dah hampir sepuluh hari tak mahu kembang kudupnya..rasa ralat lah juga

Jadi saya buka kelopaknya cara paksa...setakat ni saja kembangnya..mmmh!

Bunga baru juga..beli sebelum puasa. Puas la nak mengatur pasu.  Alih sana alih sini. Serba tak kena. Laluan tak boleh padat nanti tuan burung tersepak pasu sebab mata dia melangut ke atas saja...

Gambar lama. Dalam hati sentiasa rindu nak biarkan pokok-pokok saya open air macam dulu. Berkembang meriah setempat. Tiada gangguan Che Kam segala. Bebas nak gantung dan letak pokok kat mana pun. Sampai tinggal lorong kecil pun tiada siapa nak komen...atau tersepak pasu..Mmmm..lambatnya nak tunggu setahun lagi...biarlah saya berangan dulu....

OK kawan-kawan, selamat berpuasa. Take care..hapyy blogging & happy gardening!

Saturday, 13 September 2014

Rain ..Rain.. Go Away...

....come again another day...
Wind wind blow a far..
Blow until you reach a star..
Thunder also loud...
Come and hide behind the cloud...

Lagu masa sekolah rendah. Sudah berpuluh tahun berlalu namun liriknya yang simple begitu melekat di memori. Hujan sepanjang bulan, itulah yang boleh saya katakan. Cuaca sentiasa mendung.

Kabus menyelubungi bukit. Saya ambil gambar persekitaran rumah pagi tadi..

Belakang depan..kiri kanan

Semuanya berkabus. Tapi siapa kita untuk menahan kuasa Tuhan ini? Terimalah dengan redha.

Tidak semua bunga boleh bertahan dengan hujan yang berlebihan. Kelopaknya akan gugur dan kuntuman bunga nampak merunduk tidak bermaya. Termasuklah kosmos kuning ini. Hujan yang berlarutan hampir sebulan, membuatkan pokok-pokok ini goyah dan daunnya mereput.

 
 Bandingkan keadaan cosmos pada hari panas. Ceria saja. Saya perasan ada sesetengah pokok mengeluarkan cosmos yang berlapis kelopaknya sedangkan benih asal selapis sahaja.


 
Hujan  yang lebat disertai angin kencang telah membuatkan alamanda depan rumah condong ke laman homestay sebelah. Saya ambil keputusan  memotong separuh batang pokoknya.

 Sebahagian bunganya yang masih segar berkembang saya masukkan  dalam timba kecil. Memang sayang sebenarnya hendak memotong alamanda ini, tetapi dek kerana terlalu serabut tak dapat saya elakkan.

Manakan tidak, disinilah berkongsinya garlic vine,  sky vine ( thunbergia)

 Mini alamanda pun membelit disitu juga..

Termasuk bunga melur dan juga prosperity roses...

Semua pokok-pokok ini akan diubah kepasu mengikut giliran dalam masa terdekat.

Bahagian  besar alamanda yang lain saya beri pada nursery berdekatan rumah. Senang hati ada orang ambil. Tengok Che Kam dah rasmi dulu... 

Angin kencang juga telah mematahkan tangkai bunga matahari giant saya ini.

Matahari batch kedua sudah mulai berbunga dari bulan lepas tapi saya dapati agak sukar untuk mengambil gambarnya kerana pokok ini sudah tinggi  melebihi 7 kaki.  

Kelompok bunga dari salah sebatang pokok yang ada . Kisahnya saya posting lain hari.

Saya nak cerita pasal cotton rose dulu. Cuma mula berputik bunganya  bila saya pindahkan kehomestay sebelah yang terdedah dengan full sun.

Walaupun dah biasa sangat tengok bunga ini tapi inilah kali pertama saya tanam pokoknya. Teruja nak tengok dia tukar color.

Namun pagi esuknya  saya dapati  kuntuman bunga tiada dipokok. Rupanya hujan lebat telah mematahkan tangkainya. Saya pungut dan letak semula ditempatnya. Snap. Mmm...nampak agak  real  juga. Tak boleh lah tengok  tukar color rose dan pink. Next episode. InsyaAllah.

Namun tak semua bunga alah hujan. Zinnia, tetap ceria semasa saya ambil gambarnya time hujan renyai waktu senja.

Periwinkle

Lily first bloom

Pertama kali dapat tengok telang putih satu layer kembang sempurna. Selalu belalang, Che Kam  dan siput yang makan. 

 Tiba-tiba saja torenia color terang  ini muncul Tidak sedar pun...
  
 
Petunia. Ada juga waris. Semai benih dari pokok induk yang saya beli dan hidup tidak sampai sebulan.

Sunday, 20 April 2014

Lily Langkawi

Kebanyakan orang tempatan mengenalinya sebagai bunga bawang. Jarang yang memanggilnya Lily. Dua warna yang popular ialah peach dan oren. Di Langkawi pokok ini mudah di dapati di mana-mana saja dan ia jarang menjadi kesayangan pun. Tidak seperti Tecoma, Lily tidak  pernah dinanti musimnya dan kehadirannya pun  tidak meninggalkan  sebarang kesan. Mungkin kerana selamanya disini dia di anggap bunga biasa cuma. Tiada nilai komersil.



Di musim panas pemandangan sebegini cuma biasa-biasa saja di Langkawi. 

Boleh lihat ia berkembang dimana-mana ceruk dan kawasan. 
 Bagi saya ia sangatlah cantik tapi jarang amat dengar orang memujinya.

 Ini tumbuh di tanah terbiar di tepi pantai. Beratus pokok. Tidak bertuan...siapa-siapa boleh ambil.

Alangkah cantiknya sekirannya landskap di Langkawi ini ditanam dengan pokok-pokok ini. Bayangkan,  bagaimana meriahnya warnanya nanti  bila tiba musim berbunga !