Mulai minggu ini rasanya saya mahu menambah satu ruangan di blog mengenai herba dan rumpai yang terdapat di sekeliling kita. Herba dan rumpai yang selalumya kita rasa tidak bernilai ini bukan saja berkhasiat, boleh dimakan malah mempunyai nilai perubatan untuk menyembuhkan penyakit tertentu pula. Bukan apa, rugi jika kita tidak kongsi manafaat besar yang terdapat pada setiap tumbuhan yang kita anggap rumput atau pokok bunga ini. Lazimnya asal rumput cabut, asal bunga..puja kecantikkannya saja. Betul tak?
Jadi hari ini saya mulai dengan herba Rumput Cina . ( dikenali juga dengan nama Spiderwort, Pan Ki Lian, Pandan Jambi, Rumput Aur Beijing, Rumput Anugerah, Rumput Pada Suka. Rumput Pak King ....)
Walaupun penggunaan herba ini lebih menjurus kepada perubatan cara kampung, tidak salah bagi kita untuk mencuba sebagai alternatif penyembuhan secara alami. Senang didapati, mudah di kutip dan yang penting tanpa keluarkan sebarang modal..cuma berpandukan informasi dan sedikit usaha sahaja sudah memadai. Sebenarnya, sudah berbelas tahun saya tanam pokok ini. Di kawasan rumah saya rumput ini boleh didapati dimana-mana dan saya tidak pernah kisah dengannya. Tanam dulu pun sekadar hiasan pokok dalam pasu sahaja. Namun setelah terbaca perbincangan mengenai rumput ini dilaman grup fb baru saya buka mata.
Berasal dari selatan negara Cina. Manakala di Thailand rumput ini dikatakan tumbuh meliar namun masyarakat di sana berusaha mengenalkan rumput ini melalui produk suplemen untuk penyakit kanser dan lain2 penyakit yang berkaitan. Lazimnya daun ini direbus keseluruhan bersama akarnya untuk membantu penyembuhan barah payudara, usus, ulser, batu karang., radang kulit, lawas kencing, buah pinggang. Lihat lebih lanjut cerita keberkesanan rumput ini disini..
Manakala di sini, saya tidak pasti sampai ketahap mana penerimaan rumput ini dalam masyarakat setempat. Namun yang pasti komuniti Cina lebih terarah menanam rumput ini kerana umum mengetauhi akan kepekaan dan ilmu mereka dalam penggunaan herba adalah tinggi. Pokok ini senang membiak melalui biji benihnya yang ringan dan mudah tersebar. Juga boleh ditanam melalui keratan ruasnya.
Dan yang paling terbaharu saya dapat perkongsian mengenai penggunaan rumput ini ialah daunnya juga boleh melembutkan tekstur daging dalam masakkan. Saya sudah mencubanya bila masak kari daging Rabu lepas. Memang cepat empuk tanpa mempengaruhi rasa kari tersebut. Siapa yang tanam rumput ini boleh mencuba ya.. Lepas ini saya mahu goreng rumput ini dengan ikan masin pula...hurmm bagaimana rasanya? Mari mencuba...
Happy gardening & happy weekend!
