Showing posts with label Senduduk - Melastoma Malabathricum. Show all posts
Showing posts with label Senduduk - Melastoma Malabathricum. Show all posts

Saturday, 22 October 2016

Senduduk Putih & Senduduk Biru.

Lama juga mecari senduduk putih ini cuma baru bulan lepas saya terserempak di pasar tani berdekatan perumahan.  Saya berminat bukan kerana  ia mempunyai nilai perubatan tradisional atau kerana dia sering di kaitkan dengan alam mistik dan cerita misteri tapi kerana saya berkenan dengan bunganya yang comel  dan cantik untuk dijadikan pokok hiasan.

Selepas tiga minggu bertukar pasu, putik sulung mula muncul di setiap hujung dahan. Pokoknya pun kecil sahaja,  tidak sangka begitu cepat dia berbunga.

Kembang sudah. Saya tempatkan dia bersama pokok lain berdekatan pintu masuk rumah....hanya selepas beberapa hari selepas itu saya terjumpa info yang agak mengejutkan mengenai pokok ini dalam satu perbincangan di fb. Katanya pokok ini tidak wajar di tanam di kawasan berdekatan rumah kerana ia selalunya menjadi kesukaan makhluk tertentu untuk menumpang.  Di sertai lagi komen-komen oleh mangsa kejadian. Betul ke ni....Eeiii...seramnya....

Kemudian saya beli pula senduduk biru ini di ekspo pertanian semasa balik kampung. Ini abang kandung saya yang belanja. Murah RM10 sahaja. Pokoknya pun besar dan penuh dengan kudup.

Saya harap bila kembang penuh nanti ia akan jadi meriah begini. Membiru. Gambar ini saya ambil di Bukit Bendera awal tahun ini.

Tapi tak menjadi pun...masa mula kembang kelopaknya cepat terlerai bila di sentuh.

Mungkin kerana faktor hujan yang turun berpanjangan. Ini kira bonus dapat ambil gambar dua kuntum bunganya kembang dipagi hari. Yang selebihnya gugur begitu cepat.

Manakala  senduduk pink terang jenis menjalar ini sudah lama menjadi penghuni tetap kebun.  Tiada ruang dan cahaya yang mencukupi untuk gantungkannya di ruang depan rumah. 

Tanpa perlu penjagaan rapi senduduk jenis ini mudah menyesuaikan diri walau di atas tanah yang tidak subur. Setakat ini saya tidak mempunyai info awal mengenainya. Mungkin ada antara kawan-kawan yang tahu boleh kongsi bersama di sini.

 Dalam koleksi terdahulu senduduk ungu terang ini cukup tahan cuaca. Kelopak bunganya sentiasa bertahan dan tidak mudah terlerai walau dalam hujan lebat. Sentiasa meriah berbunga. Namun tidak tahu dimana silapnya, seperti  juga pokok Mandevilla senduduk ungu ini tiba-tiba beransur mati semasa sedang berbunga penuh.

Pun begitu masih ada beberapa jenis warna yang belum saya lengkapi. Antaranya jenis yang dwi color ini tapi belum ada jodoh bersua. Mungkin satu hari nanti. Jujurnya saya menanam kerana suka dan saya harap saya tidak di selubungi misteri dengan senduduk putih yang masih ada di ruang depan rumah....simpang malaikat 44...


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!












Monday, 2 November 2015

Senduduk/Keduduk - Melastoma Malabathricum

Pertama kali tengok keduduk blue velvet ini pada sekitar tahun  2005. Pokok ini dijadikan tanaman lanskap di apartment  kami bermalam semasa cuti bersama keluarga. Arwah emak masih ada waktu itu. Pertama kali tengok hati terus saja jatuh cinta...cantiknya...keduduk biru keungguan ....

Selepas itu saya mula tercari-cari pokok ini. Malangnya,   saya tidak pernah berjumpa keduduk hiasan ini  dijual di nursery setempat.

Tapi kalau keduduk hutan ini selalulah  ditemui di mana-mana. Terutamanya dalam semak atau dipinggiran hutan dan bukit. Saya rasa semua orang kenal dan pernah tengok pokok ini. Walaupun kelihatan terpinggir namun pokok ini bermanafaat dan mempunyai khasiat perubatan.

Keseluruhan pokoknya  bermula dari pucuk, batang, buah hinggalah ke akarnya semuanya berfungsi sebagai ejen penyembuhan. Daun, akar, batangnya  boleh dijadikan mandian  untuk wanita lepas bersalin dan juga diminum untuk memulihkan sistem dalaman peranakan dan juga buasir. Pucuknya yang muda boleh dijadikan ulam  untuk. cirit birit, Manakala daunnya yang kering boleh merawat keputihan jika direbus bersama dengan halia, bonglai  dan sedikit gula. Untuk menghilangkan kesan parut terutamanya cacar /campak giling akarnya bersama daun dan tampal dibahagian bermasalah. 

Ini buahnya yang matang. Masa mengambil gambar ini saya tercari-cari buah masak tetapi tidak berjumpa. Teringin nak makan semula. Sudah berpuluh tahun saya tidak menikmati rasa buah ini. Di katakan air perahan buahnya yang masak mampu melegakan luka yang berdarah. 

Kenangan terindah. Tersenyum bila dikenang. Makan buah masaknya masa zaman kecil dulu.  Inilah antara buah liar hutan yang menjadi makanan budak kampung sezaman saya. Berebut bila jumpa. Bukannya sedap sangat pun. Habis biru hitam gigi dan lidah.  Sebab warna tersebutlah keduduk mendapat nama botaninya iaitu melastoma yang bermaksud mulut hitam dalam bahasa Greek. Airnya yang bersifat kelat dan agak masam ini juga boleh dijadikan sebagai bahan pewarna.

Selain ungu dan biru, keduduk putih adalah satu-satunya bunga keduduk yang menjadi  buruan dan bernilai dipasaran satu masa dulu. Di buru bukan saja pada  nilai perubatannya, malahan pada aura dan mistiknya yang tersendiri. Banyak  terdengar mitos dan cerita misteri  mengenainya. Antara yang terkenal adalah pencarian untuk mendapatkan batu geliganya. Ramai orang percaya mereka akan mendapat harta karun jika tiba-tiba terjumpa pokok keduduk putih dalam hutan. 

Namun kini  keduduk putih sudah berlambak dipasaran. Sebenarnya tauke nurserilah yang kaya pun....hehee.. Begitu juga dengan keduduk blue velvet ini, Akhirnya tahun ini  bertemu dan  terbeli juga sepokok.

 Saya ingin bertanya, sebelum ini pernah ke tidak kawan-kawan memenafaatkan pokok ini untuk kesihatan. Secara jujur, saya tidak pernah....Seperti biasa fokus saya semata-mata pada kecantikkan. Adakah kita akan memilih alternatif ini bila terdesak cuma...Hurmmm...

Happy Gardening & Happy Weekend to all dear friends!