Merupakan pokok buah yang mudah ditanam dan menjanjikan hasil walaupun tumbuh tanpa sebarang penjagaan. Tahan dalam sebarang cuaca. Nama botaninya ialah Hibiscus Sabdariffa L.
Semasa kecil saya mengenali buah ini sebagai asam paya. Buah dan daunnya lebih kecil. Manakala kelopak kaliksnya kontot tidak panjang. Walaupun membesar di kampung tetapi saya tidak pernah lihat orang memanafaat pokok ini dari segi apa pun. Malah tumbuhan ini selalu ditafsir sebagai tumbuhan liar dan buahnya tidak disukai mungkin kerana rasa masamnya. Di bawah ialah gambar asam paya kampung.
Masuk tahun 80an, roselle telah diperkenalkan di kampung saya namun kami memanggilnya buah ribena. Pokoknya gaban besar. Nama roselle masa itu belum muncul. Ketika itu barulah tahu asam paya kampung bersaudara dengan roselle. Pertama kali saya minum jus roselle ialah pada umur 16 tahun. Pada waktu tersebut juga baru merasa asam pedas pucuk ribena dengan ikan puyu. Arwah mak masak.
Semenjak itu roselle di majukan oleh kementerian asas tani dan produknya di komersilkan dalam bidang pengindustrian berasaskan minuman, makanan sehinggalah ke produk kecantikkan, kesihatan, farmaseutikal juga industri ternakan, gentian dan kertas. Roselle juga terdiri dari beberapa variety dan bentuk. Gambar di atas menunujukan 3 siri bentuk buah roselle yang pernah saya tanam.
Info baru bagi saya..roselle putih. Kawan post dalam fb. Ada juga roselle berbintik. Menariknya roselle putih dikatakan dapat mengurangkan obesiti ( Harian Kosmo ) Walaupun bermanafaat untuk penyembuhan pelbagai penyakit namun tanaman ini lebih popular dengan isian jusnya yang kaya dengan vitamin C, A dan zat mineral.
Di rumah, roselle adalah tanaman tetap kitchen garden. Sumber vitamin C yang paling murah dan segar. Lebih C dari citrus, anggur dan blackcurrent. Mmm...saya tidak boleh terlebih asam. Perut sensitif...tapi ada cara lain untuk menikmati rasa dan menghirup khasiatnya.
Saya buat kek roselle, buahnya tengah meranum. Terus terang cakap, saya tidak mahir bab2 kek & pastri ni. Resepi pun adaptasi dari kek oren.
Bila siap, kek saya berubah warna. Coklat sebam kebiruan. Warna terbentuk dari campuran kuning adunan tepung dan merah pati roselle. Hurmm...tak apalah, bukan nak masuk TV, masuk perut.
Sesekali ambil pucuknya buat asam pedas dengan ikan. Boleh juga campurkan dalam tomyam, lemak cili padi atau sayur serai. Bagi yang rajin & kreatif boleh mencuba resepi baru.
Beberapa hari lepas saya buat jem. Buah yang saya tanam kali ini jenis besar dan bersari. Kawan cakap roselle Morocco.
Sedap makan panas-panas dengan lempeng..
Lebih simpan dalam botol. Boleh di makan dengan roti. Pokok ini juga sesuai ditanam dalam pasu. Dalam 3-5 bulan sudah boleh menuai buah. Sangat berbaloi untuk kesihatan sebab itu di beri jolokkan - pokok sekuntum bunga sejuta khasiat. Ayuh, mari memetik vitamin C dihujung jari.
Happy Gardening!