Sunday 29 July 2018

Buah Gac - Momordica Cochinchinensis

Pernah tahu pasal buah gac ini? Rasanya tak ramai yang pernah melihatnya apatah lagi memakannya. Lama sudah nak menatap depan mata buah exotic ini.  Akhirnya dua hari lepas ada rezeki. Isteri bekas majikan saya memberi buah ini hasil dari tanaman suaminya seorang doktor perubatan dan juga seorang pengkaji herba yang gigih. 

   Cantik betul buah gac ini. Unik nampak. Saiz sebesar buah naga.  Warna kulitnya merah menyala. Kulitnya berduri  kecil tapi tumpul. Keseluruhan buah yang masak ini dikatakan sangat bernutrisi. Manakala buah putik atau muda yang isinya seperti timun boleh disayurkan. 

Ini rupanya  dari dalam. Dipenuhi dengan biji yang dibaluti sari selaput merah. Saya cuba kulum. Ada rasa manis hambar dan sedikit pahit.

Ini bahagian isinya.  Warnanya oren kekuningan. Lembut  seakan avocado atau mempelam masak. Namun rasanya sedikit pahit tapi pahit yang boleh di telan. 

Seperti yang disyorkan saya makan isi buah gac yang disejukkan  ini dengan susu pekat. Sedap walau masih terasa pahitnya di lidah. 

( gambar google )
Pokok gac ini sekeluarga dengan pokok labu dan peria. Jenis menjalar dan eluk di parakan. Buah ini sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat perubatan  dan tinggi dengan vitamin A. Ini kerana kandungannya tinggi dengan beta kerotina dan lycopene. Ia juga bersifat anti oksidan dan dipercayai dapat menyembuhkan beberapa penyakit tertentu. 

( gambar google )
Vietnam antara negara yang  banyak menanam pokok ini untuk dikomersilkan dalam bidang perubatan dan  pemakanan. Selain Vietnam buah ini juga banyak didapati  di Myamar dan Thailand.

( gambar google) )
Antara produk yang dikomersilkan oleh Vietnam ialah jus minuman yang diperkayakan dengan campuran perasa  buah2an lain. Rasanya belum ada lagi dipasaran kita atau saya yang ketinggalan. 

Lihat jus homemade saya  dari  selaput bijinya. Cantik sangat warnanya.  Merah bersari macam jus tomato. Katanya bahagian ini cukup bernutrisi. Rasanya sudah tak pahit kerana dicampur air. Untuk saya rasa begini cukup bagus. Manis hambar. Kalau dicampur dengan lemon atau campuran jus lain mungkin lebih enak lagi. 

Ini pula biji benihnya. Berwarna coklat kehitaman sebesar duit sepuluh sen. Dari pembacaan ada mengatakan sukar membiak  biji benihnya kerana   mengambil masa yang lama untuk bercambah. Pokoknyanya pula terdiri dari pokok jantan dan pokok betina. Begitu juga dengan bunganya. Perlu didebungakan secara manual.untuk pembuahan. Mungkin ada kawan-kawan yang arif  dengan cara menanam pokok gac ini boleh berkongsi disini. 

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening. 














Saturday 21 July 2018

Bila musim buah melanda.

Minggu lepas kami sekeluarga bercuti di Cameron Highland. Pada dua hari cuti yang terakhir kami berkumpul dirumah abang ipar. Suami sangat exited sebab sudah hampir 5 tahun tak bertemu keluarga abangnya. Keluarga adiknya yang lain turut sama datang berkampung.

Riuh rendah rumah bila semuanya bertemu. Lebih seronok bila buah kayu sekeliling rumah sedang meriah bermusim.

 Yang teruja dan tak tahan hati terus saja panjat pokok sebaik turun kereta  Semua pokok keliling rumah. Rendah dan rendang. Kiranya rumah dalam dusun.

 Buah manggis sedap pada yang suka tapi saya tidak berminat langsung. Walau orang cakap manis saya tetap rasa asamnya.

Sedang orang lain sibuk memanjat saya dan suami pula bersila eluk mengadap raja buah dengan pulut. Adik-adik yang sampai dulu tolong menghidang. Sambil makan suami siap berpesan durian esuk pagi biar dia yang kutip.

 Sambil makan mata saya tak lepas memandang buah cempedak yang berjuntaian tepi dapur. Hah. Ini feveret saya. Goreng.

 Nun di hujung kampung nampak jelas pokok dokong tengah lebat berbuah. Pokok-pokok buah ini abang ipar tanam berselang seli bercampur antara satu sama lain. Jadi semuanya boleh jumpa berserakkan dimana-mana keliling kawasan rumah. Seronoknya semua sedang lebat berbuah.

Dokong ini baru tua tapi belum masak eluk. Ulasnya masih terasa masam manis.

Esuk paginya suami dah tak sabar nak tungguh cerah nak kutip durian gugur. Malamnya pun dengar dengan jelas berdebak debuk   durian luruh tepi rumah. Saya suka meronda melihat persekitaran dusun. Jumpa pokok asam gelugor. Besar buahnya.

 Sampai juga hajat suami nak bernostaljia kutip durian waktu dingin pagi. Siap suruh saya videokan lagi.

 Sebahagian dari kutipan  durian pagi tersebut.  Abang ipar saya yang ini sangat baik hati.  Tak dijual durian-durian ini. Tunggu semua adik beradiknya datang berpesta dulu.  Bukan setakat makan sahaja. Yang mana datang mesti penuh bonet kereta bawa balik buah. Dia sangat berbesar hati jika kami semua dapat berkunjung kerumahnya.

Kesempatan yang ada meronda keliling dusun dapatlah apa yang saya idam selama ini. Anak pisang nangka. pisang emas dan pisang kelat raja. Pisang tanduk dan pisang abu nipah sudah tidak cukup ruang untuk dibawa balik. Tahun depan pula lah nampak gaya.

Walau tak cukup masak tapi nak petik juga. Mmmm... Ni penyakit orang tak ada dusun. Saya rasa semua orang sedang happy makan durian tahun ini.  Buah kayu banyak menjadi. Durian  kampung di kampung saya sekilo RM7. Di Langkawi  RM15. Harga tolak di dusun abang ipar RM2 sahaja.  Murahkan...

OK kawan-kawan.  Please take care.  Happy blogging & happy gardening.



Sunday 1 July 2018

Raya Puasa 2018 - Cerita Pasal Mini Garden.

Selamat hari raya aidil fitri buat semua kawan bloggers saya. Walaupun agak terlambat ucapan ini namun rasanya mood raya dan rumah terbuka masih lagi ada dan berlangsung.  Saya tidak balik kampung. Beraya dirumah sendiri bersama adik-adik dan anak saudara disamping anak menantu dan  cucu-cucu. Agak meriah raya puasa kali ini. Ramai berkumpul dirumah.

Lebih bermakna lagi taman mini yang saya usahakan secara perlahan-lahan ini siap juga akhirnya menjelang raya. Walaupun tak secantik mana tetapi saya sangat berpuas hati kerana ini semua hasil air tangan saya sendiri.

Masih ingat  lagi saya gagahi buat kerja kasar walau masih berperang dengan sakit. Pada masa yang sama saya juga berperang mulut   dengan cik suami kerana berebut kawasan sejemput itu. Suami nak begitu saya pula nak begini kerana ini laman saya pokok saya. Malu juga kat tukang kerana kami tak sependapat. Mujurlah  semua tukang saya yang cari jadi mereka tahu apa yang saya nak. Akhirnya cik suami dengan rasa tak puas hati terpaksa mengalah juga dan bagi laluan pada isterinya yang degil.

Ini 1st time buat stepping stone. Cara buat rujuk google bagai. Walau herot petot menjadi jugakan. Masa siap ni rasa bangga sangat sebab tua-tua pun boleh kreatif lagi. Lencun peluh nak siapkan. Ambil masa 3 hari sebab saya mudah letih.

Laluan kecil ini pula saya hiasi dengan batuan bukit yang saya ambil di Pantai Datai  belasan tahun dulu. Sebenarnya semua batuan ini sudah tertimbus dalam tanah. Saya korek  dan keluarkan kemudian cuci satu persatu. Penat juga buat kerja  ni.

Tapi bila siap hilang semua rasa penat. Rumput carpet yang ditanam pun tumbuh menghijau.

Saya juga membeli beberapa buah pasu besar untuk hiasan tambahan.  Memang agak mahal juga harganya. Tapi dah berkenan beli juga. Lagipun tuan nursery ni baik hati. Walaupun tidak kenal saya sebelum ini tapi dia benarkan saya membayar secara ansuran. Mmmm...tunggu lagi...

Termasuklah  mini fountain ini. Saya suka ada unsur air jadi semuanya saya angkut bawa balik dan hiaskan disatu sudut. Suami yang pada mulanya bersikap membatu akhirnya mula bagi respon bila dia tengok laman kami nampak lebih segar dan bersih.

Sekarang inilah tempat rehat dia kat luar. Selesa untuk dia nak duduk sambil membelek burung peliharaannya.

Sebenarnya tak mudah nak renovate ruang sejemput ni jika tak sehaluan. Nampak mudah tapi hampir sebulan  juga kami berperang mulut. Apalagi suami saya bukan basic garden walaupun dia orang kampung sejati. Selagi tidak siap  dia tidak dapat bayangkan diruang matanya apa dan bagaimana yang saya mahu.

Begitu la ceritanya. Jadi raya tahun ini memang sangat meriah. Cik suami pun sangat teruja selepas siap pagar, pintu, tingkap dan mini garden. Tahun depan kita renovate dapur pula. Itu kata dia. Wahhhh....melompat saya. Dah bayangkan dah ni nak buat macamana. Harap-harap tak tengkar lah pula ya...

OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening.