Showing posts with label Hibiscus. Show all posts
Showing posts with label Hibiscus. Show all posts

Thursday, 9 September 2021

Bunga Raya 1 / Hibiscus

 Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua rakan bloggers. Adoi....lama la tak menulis di sini. Dua bulan lebih. Tak tahu kenapa tangan dan hati menjadi berat sedangkan satu masa dulu di sinilah tempatnya saya  berkongsi cerita tentang hobi yang lahir sejak azali ini. Malah blog ini saya wujudkan semata-mata untuk menzahirkan rasa kasih dan sayangnya saya pada pokok-pokok tanaman saya di rumah. Ok tak mahu hanyut....saya sebenarnya masih lagi pembunga tegar....😀 Jom kita suburkan kembali laman ini dengan cerita bunga. 

Bermula awal tahun ini saya jatuh cinta kembali pada si bunga ros dan bunga raya. Kalau nak ikutkan hati semua jenis dan warna nak miliki tapi memandangkan ruang terhad jadi saya beli berpada-pada saja. 

 Sepasu 20-28rm begitulah harganya tapi rata-rata di jual dengan harga 25rm sepasu. Susah nak jumpa harga murah. 

Walaupun covid melanda satu negara dan pelbagai sekatan di kenakan namun saya masih boleh terus membeli secara on line. Ambil masa 3 hari dari Selangor ke Langkawi tapi dengan pembungkusan yang betul pokok sampai dalam kondisi segar bugar. Thumb up pada suppliernya. 

Berbanding ros rasanya lebih berbaloi menanam bunga raya hybrid ini.  Lebih berdaya tahan pada musim hujan sedangkan ros saya di kebun banyak yang sudah mati kerana timpaan air hujan yang berlebihan.

Rasanya 3 tahun lepas saya mula membuat koleksi bunga ini tapi banyak yang mati awal kerana kurang ilmu. Kali ini saya lebih bersedia dan alhamdulillah setakat ini semuanya hidup subur.

Antara yang mula di beli dulu. Tak tahu berapa jenis yang saya ada. Rasanya baru dalam 20 pasu kut...dan ada yang masih belum berbunga kerana kudupnya asyik gugur. Ini yang masih saya tak faham apa masalahnya. 

Bunga raya lebih elok di beli bilamana bunganya kembang di pokok. Boleh lihat dengan jelas apa corak dan warnanya. Semasa kudup agar sukar nak meneka warna sebenar. Terlihat merah keungguan tapi bila kembang keluarnya oren. 

Memerlukan cahaya matahari serta siraman mencukupi juga baja dan semburan racun yang berkala bunga raya akan membesar dengan subur dan berbunga cantik . Tapi tu la....kena rajin membelek  juga serangan ulat dan bena putih.

Ok rasanya berhenti di sini dulu. Ni kita warm up ja dulu. Banyak lagi menunggu dalam senarai. Nanti sambung lagi cerita bahagian sterusnya.

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening.
#staysafe



























Friday, 13 January 2017

Bunga Raya: Hibiscus

Cuaca sekarang sungguh tidak menentu. Sepatutnya bulan January merupakan musim kemarau tetapi hujan masih membanjir turun. Semasa balik kampung minggu lepas banyak juga pokok yang rosak akibat ditimpa air yang berlebihan. Banyak daun yang diserang kulat. Pada masa yang sama saya juga di hadiahkn dengan satu kejutan!

Bunga raya merah ini kembali berbunga setelah hampir tiga tahun merajuk. Rupanya pokok pun macam orang juga kena berubah suasana dan tempat. Saya ubah dari halaman ruman ke kebun. Baharu kembali pulih kesihatannya. 

Asal dari pemberian jiran yang membelinya semasa bercuti di Cameron Highland. Inilah kenangan yang tinggal kerana  jiran tersebut sudah pun berpindah  balik ke kampung halamannya  di Perak hampir lima tahun yang lalu. 

Sekarang terdapat pelbagai variati kacukan berada dipasaran. Kebanyakkan bunga raya hybrid besar kelopaknya dan  warnanya sangat terang dan menarik. Ada peminat tegarnya sanggup membeli biji benih dari luar negera dengan harganya yang mahal.

Setakat ini saya cuma ada tiga jenis bunga raya di rumah. Mungkin masa hadapan boleh bertambah lagi koleksinya.

Setakat ini dulu kisah bunga di laman. Sebenarnya banyak bunga baru berkembang tapi saya tidak ada masa untuk berkongsi cerita kerana masa banyak dihabiskan berkebun dan menjaga cucu. Minat saya pada bunga masih mendalam tidak berubah. Setiap bulan pasti ada benih dan pokok baru yang menyinggah cuma masa saja agak terbatas.


Ok kawan-kawan. please take care. Happy blogging & happy gardening!



Friday, 30 September 2016

Bunga-Bunga Hujan

Bermula bulan June yang lalu hinggalah kehari ini hujan sentiasa turun dengan lebatnya. Banyak juga pokok-pokok bunga dan sayuran saya mati samada terlebih air atau diserang fungus. Beberapa hari lagi akan masuk bulan.October.  Selalunya peralihan monsun berlaku dalam bulan ini dimana negeri-negeri di pantai timur pula akan disimbahi hujan lebat  namun isyarat hujan mengurang ditempat saya  belum ada menunjukkan tanda-tandanya lagi. 

Antara pokok yang suka hujan dan panas adalah Alamanda. Tidak payah risau tentang dia. Pokok yang sangat lasak dan sentiasa menjadi perhatian ramai. Lagi dipangkas lagi mengembang jadinya...

Ini pun tahan cuaca juga tapi belalang sangat suka makan daun dan putik bunga...Bila kembang mesti tidak sempurna kelopaknya..

Hujan yang banyak turun musim ini juga membuatkan kemboja saya berbunga tidak putus. Kemboja pink lembut ini kembang lagi..

Begitu juga dengan kesayangan yang harum ini. Kali ini pasu kedua pula berbunga rendah. Dapatlah hari-hari saya mencium baunya...

Manakala heliconia merah kuning ini tidak mampu menahan beratnya sendiri. Merunduk ketanah akibat timpaan air hujan. Banyak batangnya patah. Bersusah payah saya mengikat dan menarik pokoknya dengan tali agar  tidak menyembah bumi.

Thai Jasmine antara yang  tolerate dengan cuaca semasa. Kelopak bunganya sentiasa berada dalam keadaan mekar sempurna sehingga gugur kebumi. Tidak layu. 

Namun ada juga yang tertewas. Sangat menyedihkan. Bunga Mandevilla putih yang sedang subur berbunga lebat sepanjang masa ini tiba-tiba saja mengecut dan beransur-ansur kering dan layu. Tidak pasti kenapa mati mengejut secara tiba-tiba. Sudah 14 bulan bersama saya.

Pokok yang selalu dibelai biasanya begitulah ragamnya sedangkan pokok zinnia merah menyala yang terabai  begitu saja di homestay sebelah cantik pula kejadiannya. Ini adalah zinnia terakhir saki baki dari benih yang saya tabur tahun lepas sebelum rumah ini  disewakan. 

Thunbergia kuning ini sangat cantik dan comel.

         Namun tidak mampu melenyapkan kekecewaan saya pada kakaknya yang juga tertewas. Black eyed susan yang saya ambil benihnya di Cameron pada tahun 2014.

Plambago biru kali ini tidak meriah berbunga akibat terlindung dari cahaya matahari penuh.

Pada masa yang sama hydrangea saya makin menyusut kelopaknya. Bunganya tidak membulat bagai dulu. Mungkin faktor umur agaknya. Harus buat sesuatu ....belasan tahun sudah...

   Crossandra oren ini mampu hidup subur walau menyelit dicelah pokok lain dan berkongsi pasu.

Kekwa kuning pemberian kawan...setelah lama mencari bunga ini akhirnya dapat juga. Orang dulu-dulu suka tanam pokok ini. Belum lengkap tanpa warna putih dan purple juga pink. Setakat ini dulu. Selamat bercuti dan berhujung minggu untuk semua. 


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!




Saturday, 11 October 2014

Never Ending Story

Memang saya seronok sangat..setelah sekian lama menantinya, berbunga juga morning glory yang saya tidak tahu namanya ini. Asal dari Cameron Highland.  Bunganya besar, warna biru stripe purple. Kembang secara berkelompok. Memang cantik sangat. Kalau cuaca agak mendung kembangnya sampai kepetang...


Tanam melalui keratan batang. Pokok ini saya bawa balik dari kampung masa raya puasa lepas. Saya membeli kayu dan membuat trellis khas untuknya memanjat.

Kembang pertama kali pada waktu hujan. Pagi-pagi buta saya keluar ambil gambar. Kalau hujan turun lebat kuntum bunga akan jadi layu dan tak cantik.

Ini Solid Choc pertama kali berbunga. Pokoknya kecil saja. Daun pun ada tiga helai.

Waktu mula bunga, saya sudah perasan kudup bunganya panjang sekali dan saya ternanti-nanti bagaimana rupanya.

Memang besar betul bunganya. Panjangnya melebihi tiga inci. Tengok lebih besar dari tapak tangan. Kembang sampai kemalam. Beli dari Mieyza ( Seed Galore )

Ini japanesse rare morning glory. Juga pertama kali berbunga. Purplenya begitu solid. Susunan kelopaknya begitu teratur dan kemas. Rajin berbunga. Kelopaknya tidak goyah dan carik walau ditiup angin kencang. Kembang sampai kepetang.

Masih japanesse rare. Pink pekat. Bunga sulung kembang pagi tadi. Terkoyak pula kelopaknya..

Untuk kesekian kalinya  saya tewas lagi. Tidak tahan godaan. Baru minggu lepas cakap nak stop order online. Tapi  Lihat apa yang saya buat minggu ini...

Dua pasu comel airplant datang bersama Janggut Tok Adam. Saya order dari Gadek Nursery Melaka.
Puncanya saya lihat posting  tentang pokok ini di fb.

Inilah yang dinamakan never ending story..kalau filemnya yang sebenarnya pun sudah lama ada penamatnya tapi buat Normala binti Saad, tidak tahu dimana penyudahnya. Dimata bunga..dihati bunga, tidur bunga..makan pun bunga....
Saya akhiri minggu ini dengan sekuntum bunga raya comel kembang pagi tadi dimana setahun yang lalu pokok induknya dimakan licin oleh Che Kam. Ini dari tunas yang baru.