Saturday 30 April 2016

Tridax Procumbens - Coat Button / Kancing Baju

Mesti biasa tengok pokok ini. Tumbuh liar di merata tempat dan kawasan tapi boleh kata hampir semua orang  tidak tahu namanya. Apalagi khasiatnya. Saya sendiri puas mencari. Susah bila nak search google tanpa tahu nama pokok.  Akhirnya saya berjumpa juga dengan nama melayunya iaitu Kancing Baju.

Dari kecil saya memang suka dan kagum dengan bunga comel ni. Selalu saya pungut bunganya kala berjalan pulang dari sekolah. Juga buat main masak-masak. Kawan masa kecil saya cakap namanya - Bunga Tahi Lembu - sebab pokok ni selalu tumbuh tepi tahi lembu. Katanya...

Bila-bila masa saya tetap teruja melihat pokok ini. Apalagi waktu dia berkembang penuh satu padang. Nampak suasana ala-ala luar negerilah konon. Lihat mangsa saya -  posing masa musim panas 2014.

 Walau di takrif sebagai rumpai tapi dimata saya ia tetap sebagai kelompok bunga yang comel dan manis di pandang. Hari ini saya mahu bercakap mengenai resepi baru yang saya dapat dari kawan grup fb. Saya sudah mencubanya. 

Buat teh bunga...sedapnya. Sebiji rasa macam crysanthemum tea. Sebab tu mereka panggil namanya kekwa liar/kampung. Waktu itu saya tidak tahu pun rumput ini rupanya ada khasiat tersendiri. Saya terus google. Wah.. info yang keluar cukup buatkan saya teruja. Sangat banyak kegunaanyya. 

Dari situ baru saya tahu nama botaninya ialah Tridax Procumbens. Di panggil juga Tridax Daisy. Berasal dari Amerika Tengah & Selatan.  Famili Asteraceae. Jadi boleh juga dipanggil daisy atau kekwa liar sebab datang dari kelompok yang sama. 

Namun dalam pembacaan, tidak ada info khusus mengatakan  bunganya sedap dibuat minuman. Rata-rata ditulis mengenai tentang khasiat keseluruhan pokoknya. Selain dari daunnya yang  boleh merawat luka, pokok ini juga boleh merawat radang kerongkong, rambut gugur, cirit birit, disentreri dan beberapa kajian untuk pemulihan hati dari penggunaan dos ubat  & toksid yang berlebihan.

Ini bukan kajian tapi saya lihat di kawasan rumah, kupurama  dan serangga kecil suka sangat hinggap di bunga ini. Mungkin madunya juga berkhasiat. Gambar-gambar ini saya ambil sekitar tahun 2014. 

Di Ghana, rumput liar ini digunakan dalam ramuan tradisi mengubati malaria dan serangan parasit bawaan lalat tsetse. Ada kajian juga untuk penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan chikugunya.

Sungguh hebat khasiat tradisi perubatannya sehingga ada yang membuat kajian termasuklah untuk kencing manis dan tekanan darah tinggi. Kalau rasa berminat bolehlah semai bijinya dari bunga yang kering atau dari anak-anak yang tumbuh meliar. 

Begitulah rahsia alam dan kebesaran Tuhan. Cuma kita manusia selalu memandang dan menilai dengan satu arah sahaja. Saya pula selalu menilai dari segi kecantikkan semata-mata. 

Model berjalan penuh perasan dalam rumpun daisy liar. Masih dimusim panas 2014. Homestay sebelah rumah.

Model kedua...bad mood masa ni...

Semua info menarik ini saya dapatkan dari laman web Mr Beng Jin Chee ( info lebih jelas )  yang saya jumpa dalam pencarian google. Penyelidik Bahagian Hasilan Semulajadi FRIM. Beliau juga telah mengeluarkan beberapa buku mengenai herba. Rencana berkaitan juga boleh di baca dalam makalah-makalah  semasa. Credit untuk beliau.

Jadi kawan-kawan memang terbukti rumpai berkhasiat ini sangat membahagiakan tekak dimusim panas begini. Sedap bila  di minum sejuk. Kutip bunga, basuh, rebus dengan gula/gula batu. Hidangkan samada panas atau sejuk. Mungkin ini saja rasanya kajian dari orang Malaysia setakat ini. Walaupun kecil tapi kearah sumbangan yang besar. Untuk selamat,  pungut bunga yang dijamin tidak tercemar kebersihannya. 

OK kawan-kawan happy blogging & happy gardening.











Sunday 24 April 2016

Mood Herba

Akhirnya hujan turun juga pada awal bulan ini setelah hampir dua bulan kekeringan dalam cuaca yang luarbiasa panasnya. Semua orang rasa lega dan bersyukur.

Seronok tengok air hujan yang mencurah-curah...rindu sebab lama tak turun.

Sekejap saja padang yang gersang kembali hijau semula. Cuma tinggal beberapa bahagian tompok tanah yang terbakar saja masih belum ditumbuhi rumput.

Sedang shooting di padang...tiba-tiba hujan pula  turun rintik-rintik. Model saya apalagi,  lari kelam kabut takut basah...aduhai..

Minggu kedua hujan lagi. Banyak  benih-benih yang terbenam di dalam tanah mulai bercambah termasuklah bayam kampung ini yang kelihatan tumbuh subur di merata tempat.

Hari ini saya petik dan sayurkan dengan buah betik tua. 

Sayur belacan...sedap di makan dengan ikan gelama masam.

Beginilah saya semenjak 'bersara'..rajin mencuba sayuran herba yang tidak pernah saya fikir nak masak pun sebelum ini. Saya sudah cuba Akar Som ini. Lihatlah dunia...dah masuk lima siri baru saya tahu ianya boleh di masak dengan pelbagai resepi pun.  Padahal kenal dah lama. Dulu kala saya tanam sebagai pokok bunga  saja. Pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisonal.

Saya suka bawang putih, Jadi macam ni lah kejadiannya Akar Som saya bila digoreng. Rasanya antara bayam malabar dan kangkung. 

Kebetulan sebelumnya saya masak kangkung goreng belacan yang saya petik fresh dari kebun R&R.

Walaupun ditanam dalam kuantiti yang kecil tapi sudah memadai untuk keluarga kecil saya.

Ini pula ketumbar jawa. Baunya sebiji macam daun ketumbar yang biasa di jual itu. Sesetengah orang tidak suka baunya. Termasuklah saya dulunya. Baunya tengik dan busuk. Macam bau pijat. Masyarakat Siam di sini gemar masukkan daun ini dalam Tom Yam atau sup mereka. 

Saya pun sekarang dah suka! Sekarang kalau masak sup ikan atau ayam gatal saja tangan nak masukkan ketumbar jawa ini. Malangnya  suami tidak suka dan menegur saya kenapa suka sangat masak yang "bukan-bukan" sejak akhir-akhir  ni...mmmm...kita baru nak berangan jadi chef herba...

Sedikit sejarahnya...saya terjumpa pokok ini di pasar, apalagi  terus beli. Kebetulan masa tu pokok ini cukup jadi bualan ahli grup fb. Balik rumah saya terus semai. Mudah saja dia hidup dan bercambah.

Generasi kedua bercambah melalui biji benih yang gugur. Pucuk muda beginilah sedap dibuat ulam. Seperti herba yang lain pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisi  melalui daun dan akarnya. Antaranya boleh merawat luka, demam, selsema, kembung perut, radang parau2 dan juga melawaskan kecing dan air besar.

Selain di campur dalam sup, boleh juga dijadikan bahan perisa dalam salad atau kerabu. Seterusnya saya cuba pula campurkan daunnya dalam masakkan lain walaupun suami tidak berapa gemarkan aromanya....

Stim....bila dah masak dan dihidangkan...senyap saja dia makan. Mmm...tekak dah boleh terimalah tu....tak pun mungkin malas nak komen...

Sebenarnya banyak lagi menu baru yang saya mahu cuba dari herba-herba dan 'rumput' tepi rumah ni...tapi bila rasa malas datang,..mood rajin tu hilang sekejab. Tambahan dalam cuaca panas  begini nak buat apapun rasa berat saja...tapi Kaspin ni relax je..panas ke hujan ke layan saja tidurnya....suka-suka kat mana saja....Seronoknya jadi kucing!

Ok kawan-kawan take care. Happy gardening & happy blogging!


























Thursday 14 April 2016

Limau Purut - Kaffir Lime


 Pokok limau purut belakang rumah saya berbuah sepanjang tahun. Pokok ini adalah hasil dari pemberian kawan. Menurutnya anak benih ini tumbuh sendiri dari buah yang gugur ke bumi di kampung neneknya. 

Setelah  beberapa tahun berlalu pokok yang saya tanam dalam bekas cat kecil itu  membesar sampai melepasi bumbung rumah. Akarnya dah tembus ke bumi walaupun berlapikan tar yang keras. 

Tahun ini menyaksikan  limau purut saya begitu menjadi. Bergugus-gugus buahnya keluar.  Geram tengok...

Melihat bergantungan begini selalu berangan..kalaulah ini limau bali ka...sunkist ka...atau limau madu...wahhh...bestnya....

Setelah membesar saya  tidak lagi membaja. Cuma saya ikut nasihat kawan agar memerun setiap pagi atau petang. Perun di tempat saya ialah membuat unggun api dari daun-daun dan batang-batang kayu kering. Asap yang keluar akan meransang pembesaran dan kesuburan pokok. Juga dalam masa yang sama dapat menghalau serangga perosak. 


Namun tidak seperti di negeri lain, di tempat saya buah ini tidaklah berharga. Pekedai runcit setempat tidak menerimanya. Harga pasaran market cuma RM3.00 sekilo sedangkan ada rakan beritahu ditempatnya RM2.00 sebiji dan harga tolak ialah RM17.00 sekilo. Lumayan kan...

Di rumah saya manafaatkan buah ini sebaik mungkin. Jus minuman & masakkan, campur dalam serbuk cucian, basuh rambut & badan, pewangi toilet & bilik juga buat hilang hanyir ikan & ayam. Namun bila sudah terlalu banyak akhirnya membusuk dan terbuang juga.

Tidak seperti buah yang terhad kegunaannya, daun limau purut lebih komersil dipasaran kerana penggunaannya yang meluas  dalam bahan masakkan.  Tak ada daun ini tak sahlah masak Tom Yam. 

Lihat limau purut saya cukup besar dan juicy...namun semua jiran saya  menolak bila di pelawa untuk mengguna air limau ini dalam bahan masakkan. Takut pahit. Saya selalu guna tapi Ok saja. Nampaknya rata-rata lebih selesa  dengan jus asam limau. Bagi yang pandai dan biasa, buah ini sedap dibuat acar. Malangnya saya tidak pernah mencuba.

Bila disebut tentang buah, baru teringat ada satu info amat menarik yang saya dapat dari kawan grup fb. Sebenarnya buah ini ada jantan dan betinanya. Ya ka...? Saya tergelak juga, dah lima siri umur baru tahu tentang ini. Menurutnya lagi, jantan berkepala muncung dan betina pula berlopak macam dalam gambar. Mmm...pernah jumpa tak...nanti tengok-tengoklah buah kat rumah.

Bagi yang mempunyai masalah buah banyak seperti saya dan tidak tahu nak buat apa bolehlah mencuba info dibawah ini yang saya kongsi dari rakan grup. ....Sila share di sini  jika ada lain2 tips kegunaannya yang menarik yang mungkin kawan-kawan tahu.

1. Hiris limau 3kilo. Gula merah/putih 1 kilo, air 10L. Simpan 3 bulan dalam balang bertutup . Tapis       Boleh buat spray enzim pewangi.
2. Blend kesemua buah dengan baking soda. Tapis dan guna airnya untuk mop lantai.
3. Buat acar. Rendam semalaman buah dengan air. Kikis kulit. Masak air gula & rendam buah.
4. Air tawar: Blend keseluruhan buah dengan air. Ambil patinya campur dengan air biasa. Agak2 air       bau wangi. Baca ayat Kursi dan 3 Qul. Mandi pagi & petang.
5. Untuk wangian rumah, bilik & tandas. Hiris nipis2 masuk dalam bekas letakkan di sudut
6. Jus limau segar dan masakkan. Untuk kekalkan vitamin C, masukkan air dan ais dulu kemudian         baru perah air  limau.
7. Mandian, cuci ketiak, rambut & kepala. Cuci kuku bagi putih & bersih dari kotoran.
8. Untuk cucian pinggan mangkuk. Campur dengan serbuk @ pencair cucican. 
9. Hilangkan hanyir ikan & ayam. Guna air perahan dan kulit buah sekali. Basuh. 
10. Buat detox. Hiris nipis masukkan dlam bekas dan simpan dalam peti ais. Minum.
11. Perubatan tradisional
12. Menghindarkan ular dikawasan rumah. Boleh tabur hirisan buah.

      Selamat mencuba! OK kawan-kawan please take care. Happy gardening & happy blogging!