Friday 30 May 2014

Bulan Ini

Bulan ini bulan hujan. Hujan rahmat ini  telah menyuburkan semua tumbuhan yang di tanam. Secara tidak lansung kesuburan ini memberi makanan kepada makhluk lain yang berada di kitaran sekeliling. Bulan ini juga saya perasan banyak rama-rama muncul di halaman. Begitu juga dengan belalang, kumbang dan serengga perosak yang lain. Banyak pokok yang jadi mangsa. Memang saya tidak berpuas hati sangat. Namun terpaksa hadapi juga ancaman semulajadi ini dengan pasrah.

Bagai berjanji tiga ekor rama-rama telah  muncul berselang hari pada waktu senja di sekitar halaman dalam. Ini hari pertama.

Hari kedua..

Hari ketiga..kebetulan hinggap dipokok yang sama. Walupun mereka kelihatan cantik tapi hati saya tidak berapa seronok..

Kerana saya tahu banyaklah pula nanti pokok saya yang akan jadi korban

Bulan ini ulat begitu meriah berpesta

Ulat di pokok Dahlia dan Pukul Sepuluh..

Ulat di pokok bayam, Asystasia dan pokok Marigold.

Seperti rama-rama, belalang kuning  dewasa ini kelihatan cantik dan tenang ketika sedang berehat

Tapi kemusnahan yang di sebabkan olehnya begitu besar. Pokok bayam merah saya yang subur, habis berlubang daunya.

Dua jenis belalang ini mendominasi tanaman. Anak-anak belalang kuning sangat suka pada pokok dan bunga matahari. Belalang kacung pula mendominasi semua pokok yang ada.

Kumbang-kumbang kecil ini juga tidak kurang pentingnya dalam memusnahkan pokok sayuran 

                                                                   Dan juga pokok bunga saya

Bulan hujan juga begitu bermakna pada siput dan anak kumbang dipokok kari. Sedap makan percuma.

Namun bagi kambing-kambing ini tiada bulan untuk mereka, setiap hari adalah harijadi.Petang tadi sekali lagi dua elor anak kambing di atas membolosi ruang pintu pagar homestay. Seronok mereka berpesta.
  
Kesannya. Asystassia SP tinggal sekerat. Bauhinia cuma tinggal dua helai daun. Morning Glory kali ketiga makan kontot terus.

Begitu juga dengan pokok Roselle dan bunga telang, turut jadi mangsa.. 
  

Bulan dan Helang...bukan kisah perosak cuma saja  kita sejukkan mata dengan photo ini kerana bulan ini juga merupakan bulan dimana burung-burung helang ini banyak berkeliaran di atas bumbung rumah dan kawasan lapang rumah saya. Gambar ini di ambil lebih kurang 2 nminggu yang lepas. Kalau camera saya boleh zoom lagi jelaslah gambarnya.

Monday 26 May 2014

The Amazing Pod

Ohhh...!!!  Saya betul-betul terkejut tatkala pod ini dibelah dua. Subhanallah, cantiknya. Itulah yang terdetik di dalam hati saya ketika pertama kali  menatap  isi yang berwarna kuning keemasan ini. Tidak menjangka keanihan ini  yang saya akan lihat. Betul-betul di luar dugaan kerana apa yang ada difikiran amat berbeza seperti apa yang ada didepan mata. Tahukah anda siapakah pemilik pod yang unik ini..?
  
Berwarna kuning keemasan biji benih ini mirip dengan biji benih bunga Angsana ( Sena ). Berbentuk bulat sebesar duit siling lima sen dan benih tunggalnya dibaluti oleh sayap nipis lembut seperti kertas. Mari kita lihat sejarahnya.

Berbuah  pertama kali pada umur tujuh tahun. Berwarna hijau. Berbentuk lonjong dan sangat pipih. Panjang lebih kurang 2 inci. Ukurlilit tidak pasti tapi lebar bahagian tengahnya lebih kurang 1.5  inci.  Sekali tengok sebiji macam putik buah rambutan.

Berbulan-bulan juga ia mengambil masa untuk matang. Pagi tadi saya lihat buah sudah masak. Warna sudah bertukar dari kuning ke kehitaman. Terus saya petik. Teruja untuk melihat rupa biji  benihnya. Saya beranggapan biji benihnya semacam kacang, cuma sebiji dan sebesar buahnya.

Tapi lihat apa yang ada didalamnya..sungguh menakjubkan. Saya terpana seketika. Betapa indahnya kejadian ciptaan Tuhan.  Rupa-rupanya ia lebih cantik dari apa yang disangkakan. Benihnya tersusun rapi dan padat didalam kelompang yang bagaikan cengkerang. Tahukah anda berapa biji benih yang dikandungnya?

Dua puluh tujuh biji...saya macam tidak percaya. Banyaknya....


Menakjubkan...Bagaimana dia membesar dengan sekata dengan berhimpitan dalam kelompang yang sebesar itu? Ayuh kita lihat siapakah tuan yang si empunya ini ...

Mmm...Alamanda maroon..ini lah tuannya. Secantik biji benih yang dilahirkannya.

  Saya menanti giliran Alamanda kuning pula yang berbuah.

 Ohh..tidak lupa, yang mesti di kongsikan bersama..ucapan teima kasih tidak terhingga buat kucing tercinta yang bersedia menjadi model 'carpet bulu '  pagi tadi.




Saturday 24 May 2014

Good Morning Scarlet!

Scarlet O'Hara -  satu  nama yang cukup klasik dalam sebuah novel yang di angkat ke dunia perfileman - Gone With The Wind.  Namun hari ini saya bukanlah nak menceritakan pasal filem tersebut melainkan kisah morning glory Scarlet O'Hara kepunyaan seorang penggemar yang selalu kecundang untuk memiliki bunga morning glory dari jenis yang lain.  Siapakah  orang malang tersebut ?

Saya lah orangnya.....Setelah gagal pada musim kedua, saya telah mencuba melakukan beberapa perubahan hasil dari pembacaan dan pengalaman sendiri.

Setinggi terima kasih harus ditujukan buat  Diana - Kebun Bahagia Bersama. Darinya benih ini mula didapati setelah sekian lamanya saya mencari.
  
Sebenarnya saya pernah menanamnya sekitar awal 90an dulu. Beli benih dipasaraya. Ia tumbuh dengan subur dan warna bunga yang keluar sebiji macam di peket. Pelbagai.  Kali kedua tanam saya tidak sempat menyimpan sebiji pun biji benih kerana pokok mati muda akibat serangan bena putih.
  
Ini adalah antara contoh bunga-bunga yang menemui kegagalan samada layu sebelum kembang, bantut atau mati begitu saja akibat silap teknik penjagaan. Tiada waris....

Ini pun contoh kegagalan...cukup-cukup frust...sebab saya sangat mengharap!

  Setelah itu baru saya faham dan pelajari. Bunga ini memerlukan cahaya matahari penuh untuk membesar  walaupun berasal dari tempat yang sejuk. Sebab itu musim ketiga ini saya letakkan dia diluar pagar.

Ini percubaan pertama letak dekat pagar homestay sebelah. Panas dari pagi sampai kepetang. Eluk pun dia...

Ini pula morning glory jadian dari benih Black Eyed Susan Vine..lain yang tanam lain yang timbul...

Kitaran hidup morning glory. Kembangnya seketika sahaja.

   Tapi keceriaan dan kebahgiaan yang diberikan berkekalan.....

Thursday 22 May 2014

The One And Only...

Saya tidak pernah ada rose yang lain selain daripada yang ini dalam tempoh lapan tahun kebelakangan ini. Saya amat sayang dan menghargainya kerana bunga  ini merupakan salah satu bunga mawar kegemaran arwah emak.

Pokok pertama saya tanam selepas pemergian emak pada tahun 2006. Saya bawa balik bunga ini dari kampong dan tanam dipagar depan rumah tapi terpaksa ditebang sebab menganggu perjalanan bila di adakan majlis perkawinan anak pada tahun 2011.

Pokok kedua tidak sesubur pokok pertama. Terpaksa berkongsi dan bersaing tempat dengan tanaman lain. Keadaan tidak selesa ini mempengaruhi pengeluaran bunganya yang sepatutnya berkembang dalam jambak besar dengan berbelas kuntuman bunga.

Dari jenis climbing roses, saya tidak pernah peduli apa namanya kerana ia memang cantik. Dalam tempoh hampir dua tahun,  inilah jambak yang agak besar di hadiahkan.  Ada lapan kuntum bunga.

Waktu awal berbunga, warnanya antara cream dan peach dan putih bila kembang sepenuhnya

 Setiap pagi saya  tidak pernah lupa untuk merakam setiap detik perkembangannya.

Memandangnya membuatkan saya terkenangkan kepada arwah emak setiap ketika. Saya rindu.....How I miss her so much!

 Sebab itu, pada saya tak mengapalah kalau  tidak ada mawar lain di taman asalkan ada dia, yang ada kenangan. Moga terus subur dalam ingatan.

Sunday 18 May 2014

Ati-Ati - Coleus

Pokok Ati-Ati mempunyai tarikan dari segi corak dan kombinasi warna yang amat memikat. Mengenalinya dari zaman budak-budak, Ati-Ati terus berkembang dan bertahan dalam kelompoknya yang tersendiri. Saya mula mengumpul koleksinya dari sekitar awal tahun lepas. Petang tadi bila mengambil gambar baru saya sedar koleksi Ati-Ati saya rupanya sudah menghampiri angka dua puluh. Saya ingat cuma ada sepuluh jenis sahaja. Tapi kalaulah tidak kerana Che Kam telah meratah habis corak baru yang saya beli dari Berseri, Perlis awal tahun ini kemungkinan besar Ati-Ati saya telah mencapai ke angka itu. Ok,  jom enjoy kecantikannya!