Showing posts with label Kitchen Garden. Show all posts
Showing posts with label Kitchen Garden. Show all posts

Tuesday, 19 July 2016

Daun Sup & Daun Bawang - Chinese Celery & Spring Onion

Hujan berterusan lagi minggu ini. Semalam angin kuat melanda Langkawi. Trip perjalanan feri pun terpaksa di hentikan. Dalam berita hari ini pun dah keluar amaran hujan lebat & angin ribut. Saya di rumah cuma sesekali mundar mandir memeriksa kebun R&R yang digenangi air. Hasrat nak merumput minggu ini terpaksa dibatalkan. Mata & hati dah berbulu tengok rumput di kebun. Maklumlah sebulan puasa biar rumput makan dan tumbuh percuma.

Fikir nak posting pasal bunga tapi tak jadi pula. Cerita dulu pasal pokok yang paling susah nak tumbuh ni...Pokok yang saya rasa berbelas kali tanam tapi tak pernah pun menjadi. Baik tanam batang atau biji benih. Akhirnya setelah sekian lama mencuba, tuah memihak juga. Tumbuh eluk dan menjadi  daun sup ini...

Memang cepat kalau beli di kedai tapi lebih bagus kalau dapat tanam sendiri. Time-time malas, hujan lagi, tak tau nak makan apa petang-petang, selongkar almari jumpa maggi..boleh juga dibuat murtabak. Masuk daun sup dan daun bawang banyak-banyak..

Kannn.....makan panas-panas dengan cik abang sambil tengok TV. Kuih raya pun dah jemu...

Kisahnya, tahun lepas saya mulai menyemai. Tak sangka tumbuh meremut. Pertama kali menjadi ni...happy bukan main. Tapi untuk tumbesaran selanjutnya perit juga. Lambat sungguh dia membesar. Setelah beberapa bulan berlalu daun sup yang berjaya hidup cuma empat pokok sahaja. Ralat bila tengok kembali rupa anak benih ni..patut boleh buka ladang pun...

Tapi tak apa lah. Yang penting hidup. Berbanding temannya,  daun bawang adalah sangat-sangat mudah ditanam dan cepat membesar.  Tidah berbaja pun subur juga. Semua tanaman saya di campur tananhnya dengan kompos buatan sendiri. Begitu juga dengan baja dan booster adalah organik buatan sendiri juga.

Kompos yang dihasilkan dari sisa bahan dapur dan daun-daun kering. Semasa dalam proses, saya menutup sampah-sampah ni dengan plastik kemas-kemas sebab Che Kam suka merodok mencari  sisa  makan. Bukan saja pokok tanaman,  nak buat kompos pun terpaksa berbalah dengan dia juga. Siksa...

Ada dua jenis pokok ni adalah memudahkan kerja. Nak guna sikit-sikit cuma pergi kerat sedahan dua saja. Anak bongsu saya suka makan sup ayam style 'kakak' dia. Iaitu sup blended orang dalam pantang. Semua bahan..bawang putih & merah, halia, daun bawang, daun sup juga sedikit lada hitam di putar halus. Rebus dengan ayam kampung / ikan segar dan beberapa butir  halba. Tambah perisa. memang sedap & harum sangat. Tapi sup kat atas tu terlupa pi tumis. Berminyak sakan lah...

Time nak buat cucur ikan bilis ke..cucur udang ke..daun dah tersedia belakang rumah..potong dan masak.

Hampir setahun sudah, kini daun sup saya cuma tinggal dua pasu saja. Dua lagi tewas sebab hari-hari anak kucing suka masuk berehat dan tidur didalamnya. Pokok bawang pun harus direplant sentiasa sebab limpahan air hujan yang banyak membusukkan umbisinya. 


OK kawan-kawan, take care. Happy blogging & happy gardning!


Sunday, 24 April 2016

Mood Herba

Akhirnya hujan turun juga pada awal bulan ini setelah hampir dua bulan kekeringan dalam cuaca yang luarbiasa panasnya. Semua orang rasa lega dan bersyukur.

Seronok tengok air hujan yang mencurah-curah...rindu sebab lama tak turun.

Sekejap saja padang yang gersang kembali hijau semula. Cuma tinggal beberapa bahagian tompok tanah yang terbakar saja masih belum ditumbuhi rumput.

Sedang shooting di padang...tiba-tiba hujan pula  turun rintik-rintik. Model saya apalagi,  lari kelam kabut takut basah...aduhai..

Minggu kedua hujan lagi. Banyak  benih-benih yang terbenam di dalam tanah mulai bercambah termasuklah bayam kampung ini yang kelihatan tumbuh subur di merata tempat.

Hari ini saya petik dan sayurkan dengan buah betik tua. 

Sayur belacan...sedap di makan dengan ikan gelama masam.

Beginilah saya semenjak 'bersara'..rajin mencuba sayuran herba yang tidak pernah saya fikir nak masak pun sebelum ini. Saya sudah cuba Akar Som ini. Lihatlah dunia...dah masuk lima siri baru saya tahu ianya boleh di masak dengan pelbagai resepi pun.  Padahal kenal dah lama. Dulu kala saya tanam sebagai pokok bunga  saja. Pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisonal.

Saya suka bawang putih, Jadi macam ni lah kejadiannya Akar Som saya bila digoreng. Rasanya antara bayam malabar dan kangkung. 

Kebetulan sebelumnya saya masak kangkung goreng belacan yang saya petik fresh dari kebun R&R.

Walaupun ditanam dalam kuantiti yang kecil tapi sudah memadai untuk keluarga kecil saya.

Ini pula ketumbar jawa. Baunya sebiji macam daun ketumbar yang biasa di jual itu. Sesetengah orang tidak suka baunya. Termasuklah saya dulunya. Baunya tengik dan busuk. Macam bau pijat. Masyarakat Siam di sini gemar masukkan daun ini dalam Tom Yam atau sup mereka. 

Saya pun sekarang dah suka! Sekarang kalau masak sup ikan atau ayam gatal saja tangan nak masukkan ketumbar jawa ini. Malangnya  suami tidak suka dan menegur saya kenapa suka sangat masak yang "bukan-bukan" sejak akhir-akhir  ni...mmmm...kita baru nak berangan jadi chef herba...

Sedikit sejarahnya...saya terjumpa pokok ini di pasar, apalagi  terus beli. Kebetulan masa tu pokok ini cukup jadi bualan ahli grup fb. Balik rumah saya terus semai. Mudah saja dia hidup dan bercambah.

Generasi kedua bercambah melalui biji benih yang gugur. Pucuk muda beginilah sedap dibuat ulam. Seperti herba yang lain pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisi  melalui daun dan akarnya. Antaranya boleh merawat luka, demam, selsema, kembung perut, radang parau2 dan juga melawaskan kecing dan air besar.

Selain di campur dalam sup, boleh juga dijadikan bahan perisa dalam salad atau kerabu. Seterusnya saya cuba pula campurkan daunnya dalam masakkan lain walaupun suami tidak berapa gemarkan aromanya....

Stim....bila dah masak dan dihidangkan...senyap saja dia makan. Mmm...tekak dah boleh terimalah tu....tak pun mungkin malas nak komen...

Sebenarnya banyak lagi menu baru yang saya mahu cuba dari herba-herba dan 'rumput' tepi rumah ni...tapi bila rasa malas datang,..mood rajin tu hilang sekejab. Tambahan dalam cuaca panas  begini nak buat apapun rasa berat saja...tapi Kaspin ni relax je..panas ke hujan ke layan saja tidurnya....suka-suka kat mana saja....Seronoknya jadi kucing!

Ok kawan-kawan take care. Happy gardening & happy blogging!


























Tuesday, 8 March 2016

Daun Kaduk : Piper sarmentosum

Rasanya semua orang kenal daun kaduk kalaupun tidak pernah memakannya. Di rumah daun kaduk sentiasa ada dan hidup begitu subur merayap kemana saja. Selama berhenti kerja ini, saya rajin mencuba resepi herba dan ulaman dari kitchen garden. Betul-betul nak manafaat apa yang ada di sekeliling rumah. Tiada alasan lagi untuk tak ada masa. Cerita pasal bunga pun duk ketepi sat...

Daun kaduk saya sentiasa menghijau walau dalam cuaca ekstrim sekarang ini. Sekali tengok macam daun sireh. Memang dari satu famili pun - piper. Arwah nenek dan ibu saya suka makan daun kaduk. Resepi paling best disediakan waktu dulu ialah gulai lemak daun kaduk dengan ikan kering. Walaupun daun kaduk boleh di sediakan dengan pelbagai resepi tapi saya paling teruja sangat-sangat nak cuba satu resepi ini.

Resepi orang Thai. Miang Kham atau sireh kaduk. 'Snek' yang ingin saya makan dan cuba sejak sekian lama dulu tapi tidak pernah tertunai.  Nah, petang kemarin dah pun buat..rasanya? Perghhh...serius sedap...sekali kunyah, wah!! krup krap krup krap meletup dalam mulut....Tak boleh henti makan ni...sedap sangat rasa dia. Manis, wangi, pedas, masam, lemak..ehhh..memang sedap secukup rasalah! Rasanya sapa tak makan daun kaduk pun akan jatuh cinta punya!

Ini bahan isianya.  Udang kering, halia muda, bawang merah, serai, kacang tanah, ,cilipadi, bunga kantan, limau kasturi dan kelapa goreng...Kalau lihat senarai intinya memang tertanya-tanya..tak pelikah rasanya nanti..siap asam limau, udang kering  bagai...

Tapi itulah selalu orang kata, tak cuba maka tak tahu..tak kenal maka tak cinta..tak makan maka tak merasa....bila dah makan...mmmm..tak boleh henti pula jadinya...Aduh...kenapa orang Thailand ni pandai sangat...jujur cakap saya memang dah jatuh hati pada miang kham ini..menyesal tak cuba dari dulu..

Cara makan begini. Letak semua bahan isian diatas sehelai daun kaduk segar.  Taruh sosnya di atas. Lipat daun kemudian kunyah perlahan.lahan sambil pejam mata dan nikmatilah kesedapannya. Hehehe... Mungkin sesetengah orang tidak suka daun ini kerana rasa pahit tapi percayalah dengan miang kham rasa pahit tu tak rasa lansung...sedap je semata-mata.. Terima kasih pada Mat Gebu untuk resepi ini.

Tips untuk rasa lebih ummph..bahan inti seperti halia, serai, lengkuas, cili dan bunga kantan harus pilih dari batang yang segar dan muda.

Daun kaduk juga harus segar dan dari pucuk yang sedang-sedang. Baru boleh nikmati keranggupannya.

Gula thai untuk bahan sos. Di tempat saya memang senang didapati. Juga gula  untuk som tam. Tapi jika tiada boleh digantikan dengan gula kabung atau gula merah. Ada orang taruh madu dengan sos ikan saja. Apapun ikut selera sendiri ya. Kalau tak mahu manis kurangkan gula.

Selain di buat ulam, gulai lemak dan kerabu ...daun kaduk juga sering digunakan sebagai daunan melapik bahan isi otak-otak. Saya buat otak-otak isi tenggiri. Memang aroma daun kaduk cukup membuka selera...

Posing sikit..presenting kaduk dari kitchen garden...
Satu lagi yang tidak patut dilupakan kaduk juga mempunyai khasiat perubatan yang tersendiri. Boleh ubati sakit mata merah, sembelit dan berbagai lagi..Info lanjut sila lihat  disini..Jadi jangan lagi pandang sebelah mata pada kaduk walaupun dia tidak naik junjung ya...

OK kawan-kawan happy gardening & happy blogging!







Thursday, 25 February 2016

Selasih - Basil

Hari ini dalam sejarah.  Saya membuat sirap biji selasih yang ditanam sendiri. Sebelum ini saya selalu buang saja bunga-bunga keringnya. Betapa ruginya tidak manafaat benih pokok ini  sedangkan bijinya boleh disimpan dalam jangka masa yang lama.

Kalau minum sirap selasih ni selalu terkenang zaman bebudak. Minuman wajib bulan puasa dan dirumah kenduri. Dulu-dulu di kampung sirap di panggil air serbat. Biji yang mengembang macam telur katak ini mempunyai berbagai khasiat tapi selalunya dikatakan dapat menyejukkan badan.

Bunga kering yang saya pungut dan kumpulkan. Saya kisar dengan lesung batu. Mula-mula saya kopek satu-satu...oh, lecenya. Lambat. Mujur ingat nak buat cara ini. 

Sekejab saja terlerai. Teruja sungguh boleh kumpul biji dia...

Dirumah, saya cuma tanam tiga jenis basil saja. Pokok ini mempunyai berbagai jenis variety sebenarnya. Ada warna lain selain dari hijau iaitu merah kehitaman. Atau disebut juga basil hitam.  Di atas ialah  kemangi atau lemon basil. Saya sangat-sangat suka baunya yang sangat harum apabila di siram. Seakan campuran lemon & serai. Semerbak wanginya terbang ke udara...

Ini pula Thai basil.Sebenarnya saya tidak berapa gemar makan secara mentah . Tanam pun sekadar seronok dan nak bagi ada saja. Tapi selera saya mula berubah bila makan sos spaghetti yang dicampurkan dengan daun ini.  

Sedapnya.....berulang  saya makan spaghetti ni walaupun sebelumnya ini bukan feveret. Aroma segar daun ini cukup membangkitkan selera..

Selain bunganya, daun basil juga boleh dikeringkan dan di buat teh.

Boleh disediakan begini atau terus masukan daun kering tersebut dalam air panas. Campur beberapa butir gula jika tidak suka rasa tawar. Boleh segarkan badan dan pernafasan.

Ruku-ruku atau holy basil . Satu color lagi warna merah gelap. Dikenali juga dengan nama Thulasi/Tulsi Ruku-ruku mudah di jumpai tumbuh di sekitar  kampung, perumahan  dan semak. Arwah bapa saya pernah masak gulai ikan keli campur daun ruku-ruku. Sedap tapi sayang saya dan arwah ibu tidak tahu resepinya. 

Mmm..mulai hari ini saya tidak akan buang lagi bunga-bunga kering bsail yang ada. Simpan bijinya. Mana-mana kawan yang ada tanam pokok basil ini bolehlah cuba buat sirap selasih sendiri ya..

Ok  kawan-kawan..happy blogging & happy gardening!



Wednesday, 3 February 2016

Sudu Itik & Kacang Parang

Pernah dengar tak pokok sudu itik ni..? Saya rasa ramai yang tidak tahu pun pokok ni wujud. Apatah lagi memakannya. Saya sendiri pun kenal pokok ni sekitar akhir 70an ketika berpindah ke kampung saya sekarang iaitu  kampung yang dikelilingi oleh bendang dan taliair. 

Ini pokoknya. Saya beli dipasar malam  dua bulan lepas. Semasa membeli saya pun tak perasan ini sudu itik sebab pokoknya kurus sangat. Lagipun bila ditanya, penjual cuma bagi nama dalam bahasa Siam. Bila cek dengan grup fb ternyata ini sudu itik. Sudah berbelas tahun tak makan dan tak pernah jumpa dengan pokok ni....itu yang buat saya terlupa ID nya seketika..

Balik cuti, stok kosong. Jenguk kebun belakang rumah nampak pokok  ni terbuai-buai segar ditiup angin.  Apalagi terus tuai dan di kerabukan dengan sotong rebus. Di kampung saya  dulu-dulu daun ini di kerabukan dengan udang padang. Udang yang di tangkap dengan menggunakan tangkul berumpankan  dedak di petak sawah. atau sungai ban iaitu tali air yang mengairi sawah disekitarnya. Selalunya di tangkul pada musim timur/kemarau atau selepas waktu menuai padi.

Rupa dari dekat. Ada bunga biru kecil-kecil. Cepat membiak dengan keratan batang. Daunnya ada bau berangin. Biasa tengok tak? Mmm...selalunya orang muda tak kenal. Yang tua macam saya ni mungkin..

Ini hasil yang saya  tanam dalam kampit beras 5 kilo punya...Hidup sihat juga. Kalau di ikutkan pokok ini suka tempat berair dan lembab. Berhabitat di tepian bendang, tali air, parit dan kawasan berlembah. Dulu di kampung jiran tanam dalam parit depan rumah..gemuknya bukan main...Ada orang makan ulam mentah atau rebus. Daunnya terasa sedikit pedar dan pahit tapi bila dibuat kerabu rasa tersebut hilang bila di bumbukan. 

Ini pula kacang parang saya sudah mengeluarkan buah sulung. Gambar ini saya ambil sehari sebelum bercuti. 

 
Seminggu kemudian ini hasilnya. Pokok pun dah reban ke para kacang kelisa yang mabuk bunga tapi tak berbuah... Kebun R&R saya banyak patah kayunya dek di sandar oleh lembu.

Memandangkan bumbu sudu itik masih bersisa saya pun kerabukan pula dengan kacang parang ini. Sehari suntuk makan kerabu lah saya...

OK kawan-kawan happy blogging & happy gardening.


P/S; Sebagai catitan kenangan: Pemimpin yang rakyat Kedah sayangi  Daktuk Mukhriz Mahathir  telah meletak jawatan sebagai MB Kedah hari ini. Kemelut politik yang berkepentingan telah menidakkan usaha beliau dan juga suara kami. Moga beliau terus tabah dan cekal. Hidup Mukhriz!!