Sudah dua hari suntuk saya meneras mengubah dan menyusun semula pokok-pokok saya. Kali ini bukan saja kerana kemarau tapi kerana memberi ruang laluan kepada motor kepunyaan anak bongsu yang menjadi ahli baru kelab di laman sekangkang tikus saya. Sekarang sudah ada dua motor, nasib kereta di parkir di luar. Jika tidak....
Hari ini selesai sudah kerja menyusun. Lega rasa apalagi bila melihat semua bunga sedang mekar berkembang. Jam baru 10.00 pagi tapi sinar matahari sudah kelihatan begitu terik sekali. Lihat padang rumput sebelah kediaman saya, semuanya sudah mulai mengering dan bertukar warna.
Sedangkan jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari laman homestay namun tumbuhan disini masih bertahan hijau. Ini bunga-bunga bahagian hujung hadapan homestay. Saya letak pagar dawai lindungi dari pencerobohan Che Kam.
Seronok tengok ros jepun yang mekar berbunga di ruang berdekatan pintu masuk. Bahagian ini tidak pun di pagar dan sangat terdedah. Saya segan hendak berbuat demikian kerana malu, takut tuan rumah rasa rimas pula. Sudahlah pintu pagarnya pun saya sudah pasang jaring juga.
Walaupun setiap hari hadir dan mencuri makan, namun kemarau musim ini Che Kam agak tidak berapa gelojoh untuk meratahnya walaupun kemarau sudah menghampiri sebulan sudah.
Ini pula salah satu bahagian luar rumah saya. Untuk sementara waktu dimusim ini, pokok-pokok disusun rapat dan bertingkat. Susunan begini boleh melindungi pokok-pokok kecil dan daun-daun dari menjadi lecur akibat lebihan penerimaan cahaya matahari yang banyak.
Walaupun begitu saya tidak berani mengambil risiko. Setiap hari kedua-dua bahagian ini ditutup dengan jaring jarang. Lihat pokok-pokok bahagian luar rumah ini kesemuanya masih subur menghijau. 2 kali sehari saya menyiramnya. Tidak peduli berapa bil air, janji pokok saya sentiasa sihat....
Masih diruang yang sama, morning glory biru ini mekar berbunga untuk musim kedua. Kali ini pokoknya agak tidak menjadi kerana pada awal pertumbuhannya Che Kam telah meragut hampir separuh dari pokok tersebut.
Sekarang sudut bahagian dalam yang telah dibuat penyusunan semula. Pening dan penat juga seketika, tidak tahu sudah bagaimana mahu menyusun pasu-pasu tersebut sebab kebanyakkan pokok dilaman dalam bukannya mesra matahari
Puas juga nak menolak dan mengheret pasu-pasu yang berat ini.
Bahagian paling kritikal. Sudah di kecilkan ruangnya. Separuh lagi pokok-pokok dibahagian ini sudah dipindahkan ke sudut lain. Lihat juga pokok-pokok morning glory yang terpaksa diubah ketepi.
Selain mengubah pasu saya juga mencantas mana-mana ranting yang berlebihan. Kelihatan sudah kurang serabut kini. Saya harap suami dan anak berpuas hati dengan pengorbanan saya ini....
Ini...nak cerita juga. Petunia saya sudah masuk 7 bulan sudah tapi masih bertahan lagi pokoknya. Saya semai dari biji. Walaupun agak lembab pada awal pertumbuhannya tapi berbaloi juga menantinya membesar begini.
Letih menunggu saya habis kerja, Kaspin dan Kastih ambil peluang berihat dan menyejukkan badan ditepi ruang yang lembab dan teduh.
Cerita kemarau dan bunga ini mungkin tidak akan berakhir setakat ini sahaja, masih ada lagi pokok-pokok baru yang sedang berlajar berbunga termasuklah simerah hati di atas ini. Kisah ini akan kita sambung lagi di entry yang berikutnya. InsyaAllah. Happy weekend and happy gardening to all of my friends!

















