Lama juga mecari senduduk putih ini cuma baru bulan lepas saya terserempak di pasar tani berdekatan perumahan. Saya berminat bukan kerana ia mempunyai nilai perubatan tradisional atau kerana dia sering di kaitkan dengan alam mistik dan cerita misteri tapi kerana saya berkenan dengan bunganya yang comel dan cantik untuk dijadikan pokok hiasan.
Selepas tiga minggu bertukar pasu, putik sulung mula muncul di setiap hujung dahan. Pokoknya pun kecil sahaja, tidak sangka begitu cepat dia berbunga.
Kembang sudah. Saya tempatkan dia bersama pokok lain berdekatan pintu masuk rumah....hanya selepas beberapa hari selepas itu saya terjumpa info yang agak mengejutkan mengenai pokok ini dalam satu perbincangan di fb. Katanya pokok ini tidak wajar di tanam di kawasan berdekatan rumah kerana ia selalunya menjadi kesukaan makhluk tertentu untuk menumpang. Di sertai lagi komen-komen oleh mangsa kejadian. Betul ke ni....Eeiii...seramnya....
Kemudian saya beli pula senduduk biru ini di ekspo pertanian semasa balik kampung. Ini abang kandung saya yang belanja. Murah RM10 sahaja. Pokoknya pun besar dan penuh dengan kudup.
Saya harap bila kembang penuh nanti ia akan jadi meriah begini. Membiru. Gambar ini saya ambil di Bukit Bendera awal tahun ini.
Tapi tak menjadi pun...masa mula kembang kelopaknya cepat terlerai bila di sentuh.
Mungkin kerana faktor hujan yang turun berpanjangan. Ini kira bonus dapat ambil gambar dua kuntum bunganya kembang dipagi hari. Yang selebihnya gugur begitu cepat.
Manakala senduduk pink terang jenis menjalar ini sudah lama menjadi penghuni tetap kebun. Tiada ruang dan cahaya yang mencukupi untuk gantungkannya di ruang depan rumah.
Tanpa perlu penjagaan rapi senduduk jenis ini mudah menyesuaikan diri walau di atas tanah yang tidak subur. Setakat ini saya tidak mempunyai info awal mengenainya. Mungkin ada antara kawan-kawan yang tahu boleh kongsi bersama di sini.
Dalam koleksi terdahulu senduduk ungu terang ini cukup tahan cuaca. Kelopak bunganya sentiasa bertahan dan tidak mudah terlerai walau dalam hujan lebat. Sentiasa meriah berbunga. Namun tidak tahu dimana silapnya, seperti juga pokok Mandevilla senduduk ungu ini tiba-tiba beransur mati semasa sedang berbunga penuh.
Pun begitu masih ada beberapa jenis warna yang belum saya lengkapi. Antaranya jenis yang dwi color ini tapi belum ada jodoh bersua. Mungkin satu hari nanti. Jujurnya saya menanam kerana suka dan saya harap saya tidak di selubungi misteri dengan senduduk putih yang masih ada di ruang depan rumah....simpang malaikat 44...
OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!