Showing posts with label My Kliks. Show all posts
Showing posts with label My Kliks. Show all posts

Saturday, 24 January 2015

Langkawi Sunset

Bukan kerana tiada bunga untuk dibicara, tapi saja seronok melayan hobi baru yang lama terpendam dalam jiwa. Minggu lepas cuti berganda jadi saya ambil kesempatan untuk merakam moment-moment indah matahari terbenam.  Ambil kesempatan dari adik yang juga datang bercuti, dia lah yang menjadi drebar saya kehulu hilir mencari tempat yang menarik untuk di rakam. Minggu ini kita belanja mata pula dengan poskad -poskad sunset di Langkawi.

Semasa menyelusuri jalan airport, saya terlihat ranting mati ini di tepi laut. Terus saja melekat di hati. Sedang ramai yang lain menghala kamera ditepi pantai, saya dengan selesanya merakam moment ini dari sudut keinginan saya sendiri.

Memotret ranting mati berlatarkan mentari jingga amat memberi kepuasan dihati saya. Memang jatuh cinta benar saya pada moment indah begini. Pohon ini terletak di jalan belakang yang jarang di lalui.


Pemandangan sinonim pokok kelapa ditepi pantai. Rakam dari dalam kereta yang bergerak laju. 

Ramai orang suka merakam sunset di Pantai Chenang sebab boleh lihat dengan jelas disitu detik-detik matahari terbenam. Saya pula lari dari kebiasaan itu, mahu melihat matahari jatuh di balik bukit dari sudut kuala sungainya,  pun masih tetap indah untuk dihayati.


Helang yang sentiasa setia menanti. Di simbahi cahaya kuning mentari petang. 

   Sebenarnya saya tidak ada sebarang pelajaran asas dalam bidang photography. Semuanya berlaku hanya dengan  berbekalkan minat yang mendalam di samping sebuah kamera gaban yang sudah pupus dipasaran. Minat ini sudah lama berputik dari zaman remaja tapi saya tidak pernah berjuang untuknya. Cuma baru sekarang saya mahu bermula, di ukur dari segi umur mungkin sudah agak terlambat, tapi saya tidak peduli itu semua  kerana saya suka apa yang saya sedang  buat sekarang ini. Harap semua kawan-kawan senang menatapnya. 

Sunday, 30 November 2014

Somewhere In Time..

Saya suka tajuk ini. Mengingatkan saya kepada sebuah filem romantis sedih  yang betul-betul meninggalkan kesan dihati saya ketika itu. Tengah meniti usia remaja, filem-filem syahdu begitu  memang senang melekat di hati.  Tapi hari ini, saya bukan mahu bercerita pasal tentang filem tersebut, cuma mahu meminjam judul ini untuk kisahkan lawatan saya ke satu tempat di Cameron Highland sekitar March lepas. Biarlah kita lupa pada cerita bunga seketika, 'My green Eyes' mahu berlayar ke terowong masa bersama anda. 

Ianya tentang sebuah galeri yang mengumpul beribu barangan lama, kegunaan harian, yang boleh membuatkan kita terpaku seketika, tersenyum, ketawa dan di resapi rasa sedih yang halus dihati. Galeri ini  betul-betul mengingatkan saya pada satu waktu dan satu ketika di mana saya masih lagi  berada di alam budak-budak. Melihat barang-barang lama di galeri ini cukup membuatkan saya terimbau kenangan yang lalu. Sebuah kehidupan yang pernah saya lalui. Saya membesar bersama barang-barang tersebut. Ya, satu waktu dulu saya pernah berada disana. Sungguh nostalgia. 

Berlatarkan cahaya suram, barangan lama sekitar tahun 50an-70an ini diatur dan disusun disetiap ruang dan sudut di sertai juga beberapa penerangan penjelasan. Seperti dapur kayu di atas, semua barangan lama kelihatan masih eluk dan segar..Siapa pernah guna dapur kayu dulu? Orang berumur seusia saya pasti pernah melihat kalaupun tidak  menggunakannya. Saya pernah, dirumah nenek..

Dalam empat jeni barang ini, radio transistor inilah  yang paling saya ingat. Pernah ada di rumah. Pakai bateri. Kalau bateri dah kurang, keluarkan dan jemur. Dulu-dulu bateri sais besar..merata pakat usung radio ini. jenuh cari siaran. Arwah ibu dan ayah suka dengar siaran lagu  Hindustan. 

Tahu tak lambang apa ini...? Mmm..saya tersenyum, serta merta teringat arwah ayah. Dia pernah hisap rokok ini. Rokok 3..5. Rokok sekerip/sekeret  ( cigarette )

Ada juga gambar orang Asli Cameron Highland.

Ini gambar Lee Kuan Yew dan anaknya.

Suasana ruang dapur masyarakat Cina. 

Yang paling membuatkan saya terkedu dan terpegun...Mainan masak-masak zaman saya kecil dulu pun ada...pisau kecil, pinggan kecil..periuk kecil..sebesar duit 50 sen lama. Ohh..saya sungguh rasa kagum kepada tuan punya galeri ini. Rasanya mungkin usia saya dan dia tidak jauh berbeza. 

Nyawa di hujung Pedang. Bukan novel zaman saya, tapi saya ingat saya biasa melihatnya di perpustakaan awam di tempat lahir saya dulu kala. Kisah berlatarkan semasa pemerintahan zaman Jepun, dikeluarkan pada tahun 1946. Karya oleh Ahmad Murad Nassarudin. 

Air botol..minuman ringan dulu-dulu semunya di isi dalam botol kaca. Minuman kegemaran kanak-kanak zaman saya dulu ialah lemonade yang dimakan dengan kacang tanah goreng. 

Siapa pernah makan nasi dalam pinggan ini? Pinggan tin...masih adakah di jual dipasaran sekarang ? Pinggan tin yang besar kami panggil pinggan tapak gajah. Selalu emak simpan ikan goreng dalam pinggan tersebut.

Cupak dan Gantang. Semua pekedai dan rumah orang kampung yang menanam padi, pasti ada menyimpan bekas sukatan untuk beras ini. 4 cupak bersamaan dengan 1 gantang..ukuran yang terlekat di kepala saya sampai sekarang..

Heehehe...lihat benda ini buat saya ketawa . Ada juga dalam koleksi disini. Kedai gunting rambut Cina mesti ada punya 'sarang' rambut ini...Tengok..besarkan..siap dengan cermin muka yang kelabu bersopak.  Time ni zaman orang karan/kerinting rambut. Pernah dengar karan kobis? Saya tidak pernah karan rambut seumur hidup..

Sudut kedai kopi Cina..

Lihat satu persatu barang yang ada...Masihkah kau ingat..?

Gerek jual ais kerim..Nostalgia betull..

Iklan air oren botol zaman dulu...

Melihat potret wajah lelaki inilah yang membuatkan saya teringat kisah Somewhere in Time..tapi ini adalah Jim Thompson, warga Amerika yang hilang ketika berjalan-jalan di Cameron Highland sekitar tahun 1946. Sehingga  ke hari ini beliau masih tidak ditemui.

Saya cuma tertarik pada beg peti bukan pada almarinya. Saya pun pernah bawa beg peti kesekolah. Kalau budak-budak sekarang harus ketawa berdekah-dekah.

Time Tunnel. Tidak rugi masuk melawatnya. Saya cuma merakam beberapa keping gambar sahaja sebagai kenangan. Rasa menyesal pula tidak snap semuanya. Namun lebih dari itu saya amat mengkagumi tuan punya galeri ini yang cukup gigih menjaga dan menghimpun setiap kenangan kehidupan masa lalunya didalam sebuah galeri. Kerana daya usahanya jugalah  membolehkan saya menyentuh waktu lampau saya dihujung jari. Walau semua kenangan itu sudah berlalu pergi, tapi di ingatan ia tetap segar dan abadi. Terima kasih Mr See.

Monday, 17 November 2014

Belanja Mata

Minggu ini saya dapati saya agak sibuk dengan benda lain yang tidak berfaedah. Niat untuk posting disini jadi tertangguh beberapa kali sedangkan banyak benda yang mahu di kongsikan bersama. Sebelum ke cerita bunga mari saya belanja mata anda semua dengan pemandangan yang indah ini.

Cantik tak? Ini pemandangan yang tidak di duga berada dibelakang rumah kawan saya.  Pada waktu itu saya terpegun..kalaulah belakang rumah aku macam ini..mau aku ..bla bla..bla seribu impian mula bermain di kepala...tapi bagi kawan saya ...biasa saja..ohhh...kalaulah aku..mmmm...mungkin dia sudah biasa sangat..

Sebenarnya saya kerumahnya untuk mengambil gambar bangau yang dikatakan banyak terdapat di persekitaran kampungnya. Malangnya wrong timing. Saya sepatutnya datang pada waktu pagi atau petang. Waktu saya sampai tengahari jadi cuma nampak beberapa ekor saja bangau  bersidai disitu...

Bukan senang untuk merakam gambar bangau dan kerbau dengan lensa biasa. Tak dapat nak zoom jarak dekat. Bangau asyik terbang lari. Bila saya turun kebawah sikit dah kerbau pula tidak suka..tengok..marah saya..

Lama sikit baru dia beredar dengan muka yang tak puas hati..menganggu ketenteraman awam agaknya saya ini...

Waktu balik, saya singgah sebentar di nursery. Dapat bunga ini. Sudah lama mencari tapi saya sudah lupa namanya. Mungkin Diana @ Julie boleh membantu

Juga bunga vinca color merah cili ini..

Saya juga menerima kiriman orkid pinang bunga kuning & putih  dari adik di kampung. Dia tolong belikan dan kirim melalui bot. Wahh..happy. Dapat juga..

Sebenarnya ini pertama kali saya lihat orkid pinang color kuning. Color putih pula masih belum berbunga. Nanti mahu cari color merah pula.

Seperti yang dikatakan, saya terleka sebentar dengan perkara yang tidak berfaedah sampai heliconia sexy pink lady saya keluar bunga pun tidak sedar. Tengok-tengok sudah turun pun..tak sempat nak rakam saat-saat kelahiran....

Lebih malang kemboja merah sulung kembang pun tak sedar juga...

Gugur sudah yang sekuntum itu..

Tapi masih ada yang saya nampak walau dalam leka...gardenia putih  kembali berbunga

Cotton Rose juga kembali berbunga..

Hydrangea round kedua. Entah kenapa kali ini color bunganya cukup pudar & lembut. Tidak berapa terserlah kebiruannya. Pun begitu masih ada beberapa tangkai lagi yang sudah  berputik.  

Lebih menggembirakan Antagonon/Coral Vine pink sudah mulai berlajar berbunga.

Kecil dan sedikit saja  tapi rasa sangat bahagia..


Lagi yang berlajar berbunga. Batang tinggi. Ruellia Pink color.

Dan Purple Ruellia. Juga jenis batang tinggi. Sebenarnya masih ada lagi bunga-bunga lain yang mulai berbunga. Saya simpan untuk posting minggu depan saja. Happy gardening semua.






Monday, 27 October 2014

Pantai Dan Isi Alamnya.

Ke pantai..? Mmmhh! saya pada mulanya agak keberatan dengan ajakkan adik bongsu untuk kesana. Saya masih dalam mood letih kerana baru selesai mengadakan majlis kenduri aqiqah cucu sulung pada sehari sebelumnya. Sebenarnya berkelah di pantai bukanlah kesukaan dan pilihan. Hakikatnya saya tidak suka mandi laut  kerana selalunya cuaca panas laut amat kering dan saya tidak begitu selesa dengan air masin dan rasa melekit di kulit. Lainlah kalau memancing dan mencari siput, itu hobi saya...Pun begitu saya begitu suka melihat pantai, ombak, cengkerang dan kulit siput...

Tahun ini adalah untuk yang pertama kali saya berkelah di pantai...rasanya bagus juga sekurang-kurangnya saya boleh mengambil gambar. Lari sedikit dari cerita bunga. Pantai ini terletak dalam kawasan hutan dan perbukitan.

Waktu kami sampai sudah ramai orang bermandi manda di laut. 

Tidak buang masa saya terus klik dimerata tempat. Ini  batu kelikir  kecil yang terletak disatu sudut.

Air pasang. Walaupun pantai kelihatan bersih tapi banyak daun-daun kering terapung-apung didalam air  dipukul ombak  ketengah dan ketepi.

Pandangan indah dari hujung pantai yang dipenuhi dengan batu-batuan.

Jernihnya air.

Saya mencari-cari kulit siput dipantai tapi tidak jumpa kecuali yang ada ketam angin kecil ini. 

Bila saya mahu mendekatinya terus dia lari masuk lubang.

Mmm..tengok masih ada juga cerita bunga walaupun dalam episod pantai.

Morning Glory atau kangkung pantai. Asal saja namanya begitu, mestilah menjadi bunga favourite saya. Tumbuh dan berbunga cantik di pinggiran.

Gugur sekuntum dari kelompoknya, tidak tahu apa nama. Bunga putih bertompok merah ditengah ini cukup harum baunya. Seakan-akan bau bunga kemboja. 

Landscape pantai ini cukup indah dan dipenuhi dengan kepelbagaian bio. Kelebihan terletak dalam hutan yang tertua, banyak pokok-pokok yang berusia ratusan tahun masih lagi kelihatan utuh berdiri.

Mata saya terpikat pada pokok yang menjalar dalam lubang di batang pokok.


Tumbuhan ini pun tampak selesa tumbuh di pasir bergaram.

Kayu nan sebatang....

Teruja melihat batu-batuan yang terdampar di hujung pantai ini. Pelbagai corak dan pelbagai warna. 

Hakisan air dan angin telah membentuk lubang-lubang kecil yang begitu artistik.

Antara yang saya jumpa. Suka lihat garisan kontor yang terbentuk.

Karang mati yang dipukul ombak ketepian.

Lopakan yang terbentuk oleh hakisan. 

Dan apa yang membuatkan saya cukup-cukup terkejut ialah bila menemui kupurama cantik ini sedang berehat di atas pasir. Ohhh...kat sini pun ada dia....Saya berdoa-doa dalam hati. Bukalah sayapmu...

Satu..dua...tiga...Ohhh...dia dah buka sayapnya! Cantiknya warna, Biru firus.

Tuhan itu maha kaya kerana  menemukan si biru firus ini disini padahal masa musim panas yang lalu saya gagal untuk mengambil gambar kupurama yang sama jenis ini di laman rumah. Terima kasih kerana tertunai juga hajat.

Jadi...sekarang apa masalahnya ke pantai..? Saya mula dah jatuh cinta..dan mencongak-congak pantai mana lagi yang ada...