Showing posts with label Down Memory Lane. Show all posts
Showing posts with label Down Memory Lane. Show all posts

Friday, 27 December 2019

Ziarah Kasih (1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat rakan bloggers. Hari ini kita sudah berada di Jumaat terakhir untuk tahun 2019. Pejam celik sudah sampai ke penghujung tahun. Banyak suka duka bertandang dan berlalu. Banyak juga cerita
yang terbenam belum sempat di kongsi dan simpan di sini. Tak tahu siapa yang mengejar siapa. Samada saya atau masa. Berjalan berlari tapi tetap tak sampai di garisan penamat.

OK sebelum meneruskan cerita, ini saja gambar yang mampu dirakam dihalaman rumah saya sekitar jam dua petang tadi. Gerhana matahari yang fenomenanya cuma akan kita jumpa semula 20 tahun akan datang. Saya tidak pernah ingat sebelum ini, tapi hari ini pertama kali dalam hidup saya berasa sangat nyamanya berada dibawah pancaran matahari terik tapi tidak terasa langsung bahangnya. Subhanallah.

OK berbalik pada cerita. Saya pernah berkata di sini dulu, ingin menziarah kasih kawan-kawan lama saya. Kawan-kawan arwah ibu dan bapa juga kampung halaman semasa saya kecil. Bukan jauh sangat tapi keterbatasan masa melambatkan hajat. Akhirnya   saya berjaya juga menapak di kampung kelahiran. Perkara pertama yang buat saya terpegun.  Barisan pokok  itu... So amazing!  pokok pelam telor yang sering kami curi buahnya masih tesergam di situ. Masih utuh berdiri menjadi sempadan.
Banyak kenangan lama berlegar disekelilingnya. Buat saya terus tersenyum dan ketawa....

Rumah pemilik pokok pelam. Telah berubah rupa tapi anjungnya masih serupa. Satu waktu dulu pernah menjadi rumah dan laman tercantik di kampung. Hanya orang tertentu saja yang boleh datang dan berjalan melalui tanahnya yang dipagari kawad berduri. Sudah tentu tidak untuk saya dan sesetengah keluarga lainnya. 

Namun waktu itu tidak pernah saya lupa pada seorang gadis  yang menghuni di rumah tersebut. Dia ibarat sebutir permata yang bercahaya. Sangat suka melayan bebudak. Pernah curi-curi suapkan saya nasi di celah pagar. Maklumlah zaman budak dulu perut sentiasa lapar. Dan dia masih setia dirumah itu...... 

Bersempadan dengan tanah tuan pokok pelam ialah  tanah tuan rumah yang kami tumpang. Rumah keluarga saya dibelakang rumah-rumah ini. Zaman itu ada barisan pokok jambu batu berbaris di antara dua buah rumah ini. Masa itulah sekitar tahun 69 atau 70an saya pertama kali melihat Dr Mahathir datang merawat pesakit. Ramai jiran datang untuk merai. Saya ingat saya terpaksa memanjat pokok jambu bersama budak lelaki lain semata-mata untuk melihat Tun dari dekat melalui jendela yang terbuka luas. Dia tersenyum manis memandang kami. Ohhh.. segaknya Tun waktu itu. Kelihatan lembut dan sopan.

Ini pula rumah tuan tanah kami. Sangat daif sepi tiada penghuni. Jatuh juga air mata tatkala merakam gambar. Macam nampak-nampak saya dan anak tuan rumah berlarian bermain masak-masak di atas beranda.

Kini cuma tinggal sisa tangga batu dari sebahagian beranda kayu yang lama sudah roboh.

Saya juga jumpa sebiji  pelapik batu beranda kayu di situ.  Menurut anak bongsu tuan tanah tinggal dia seorang saja yang masih hidup. Kakak dan dua abangnya sudah meninggal. Sayu dan terharu dengar. Dulu dialah kawan lelaki  sepermainan saya. Kami sebaya. Setelah hampir 40 tahun berpisah akhirnya kami bertemu semula dengan penuh keterujaan di majlis perkahwinan anak saudara saya pada bulan September lepas.

 Lawatan sehari tidak mungkin melengkapkan hajat yang tersimpan sekian lama. Masih ramai lagi rakan taulan yang belum saya temui. Semoga saya masih punya waktu dan tidak terlambat. Saya berdoa moga hasrat saya dimakbulkan   In sha Allah.

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Thursday, 19 May 2016

Nostalgia Pinggan Lama

Saya bukanlah pengumpul barang lama jauh sekali barang antik tapi saya pasti semua orang bernaluri seperti saya, suka melihat barang-barang tersebut kerana ia pasti mengimbaukan  kita pada memori   kehidupan masa lalu yang mana pada satu waktu dan ketika kita pernah hadir bersamanya di sepanjang jalan kenangan.

Begitu juga saya. Tahun lepas ketika dipasar karat, mata saya terpandang pada pinggan berbunga biru ini. Serta merta kenangan silam datang bertandang.  Saya pernah makan kuih raya dalam pinggan ini di awal tahun 70an. Masih bersekolah rendah. Saya masih ingat ada kuih buah kana, kuih sampan, samperit dan kuih bakar disusun penuh dalam pinggan. Kami makan sambil pandang-pandang pinggan yang cantik itu. Maklumlah kat rumah tak ada kan...

Mak Ram begitulah nama tuan si pinggan raya tersebut. Ibu kawan baik saya. Hanya kat rumah dia saja yang ada kuih raya moden dan sedap. Hampir  45 tahun sudah berlalu. Apa khabarlah dia sekarang...

Saya juga jumpa pinggan kekwa merah ini. Dulu kala mak pernah ada pinggan ni kat rumah.

Walaupun warna dah agak pudar  tapi kenangan makan nasi dalam pinggan ni masa kecil-kecil dulu  bersama-sama mak, pak dan adik beradik lain tetap terang dan subur di ingatan. 

Nak langkah kaki tak boleh saya ambil juga pinggan berdaki ini. Pinggan ini juga merupakan antara  pinggan di sepanjang jalan kenangan saya....Siapa pernah guna pinggan corak ini masa dulu-dulu?

Walaupun ada banyak lagi barang lama yang menggamit memori di jual dipasar itu namun saya cuma memilih membeli 3 biji pinggan di atas saja dengan harapan lain kali datang beli lagi...

Yang ini lain pula ceritanya. Ini pinggan lama keluaran Johnson Bros. England. Keluaran sekitar tahun 40an. Era zaman Jepun.  Saya tidak membelinya tapi  dapat percuma. Adik beri. Untungkan kerana pinggan ini bernilai dan sangat di gemari oleh pengumpul koleksi pinggan lama. 

Kisahnya pinggan-pinggan  lama ini tersimpan berkurun lamanya  didalam jelapang padi. Kepunyaan syarikat/pakat kenduri sebuah kampung. Meraka sedekahkan kepada orang ramai. Adik tahu pun sudah lewat jadi dapatlah sedikit saki baki yang di tinggalkan orang. Bertuahlah orang pertama yang datang ya...

Cantik motif bunga raya yang melatari permukaan pinggan ini. Bayangkan beratus pinggan lama disedekahkan. Terpikir sejenak..tak tahukah mereka pinggan-pinggan ini cukup bernilai dipasaran dan sukar di temui lagi sekarang ini.

Tertera cop mohor dan nombor siri di belakang pinggan. Nama pinggan keluaran ini Khyber. Saya agak terkejut kerana adik saya sendiri tidak tahu pinggan lama ini bernilai sebab dia tidak punya kenangan dan tidak pernah tengok pun.  Zaman dia  pakai arcoroc dah...

Dapat sebiji saja corak ini itu pun sudah mulai retak seribu.

Motif bunganya agak berlainan dan tidak tahu buatan negara mana. Cuma di belakangnya tertera cap crown.

Pinggan-pinggan made in China pun ada juga. Saya angkut bawa balik  semua corak yang adik dapat. Bukan senang nak jumpa pinggan lama original ini.

Corak bunga hitam yang biasa kita lihat. Arwah tuk saya banyak yang corak-corak begini tapi malangnya pinggan peninggalan tuk habis hilang dari rumah saya  selepas kematian mak. Perhiasan koja dan tembaga mak pun juga tiada. Sampai kehari ini saya tidak tahu siapa yang mengambilnya. Sayang betul...

Saya percaya ada antara kawan-kawan yang memiliki corak begini di rumah sendiri tak pun di rumah kampung. Nenek atau  ibu pasti ada menyimpannya.

Kebanyakkan corak banyak bermotifkan bunga raya.

Ada juga corak bunga mawar kembang penuh.

Pernah tak makan kenduri dalam pinggan ni masa bebudak dulu...teman sezaman saya pasti ingat.

Corak mawar hitam ini istimewa sikit sebab ada campuran warna biru kehijauan yang lembut.

Ada set mangkuk. 

Tanda pinggan yang digaris dengan batu kawi. Mesti pernah tengok kan..

Cuma dua biji ini saja made in Japan. Corak bunga lebih kecil dan warna lebih ceria, Berbeza dari buatan Cina kuntuman bunganya lebih besar. Lebih banyak warna hitam dan lembut.

Comelkan piring ini.

Semua pinggan-pinggan ni saya bawa balik dari kampung minggu lepas. Teruja sangat dengannya. Beruntung lagi dapat percuma...cuma yang malang tak ada tempat nak display. Rumah saya tak ada almari hiasan jadi display kat blog sajalah. Kongi tatapan dengan kawan-kawan.

OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!