Showing posts with label Hydrangea. Show all posts
Showing posts with label Hydrangea. Show all posts

Friday, 30 September 2016

Bunga-Bunga Hujan

Bermula bulan June yang lalu hinggalah kehari ini hujan sentiasa turun dengan lebatnya. Banyak juga pokok-pokok bunga dan sayuran saya mati samada terlebih air atau diserang fungus. Beberapa hari lagi akan masuk bulan.October.  Selalunya peralihan monsun berlaku dalam bulan ini dimana negeri-negeri di pantai timur pula akan disimbahi hujan lebat  namun isyarat hujan mengurang ditempat saya  belum ada menunjukkan tanda-tandanya lagi. 

Antara pokok yang suka hujan dan panas adalah Alamanda. Tidak payah risau tentang dia. Pokok yang sangat lasak dan sentiasa menjadi perhatian ramai. Lagi dipangkas lagi mengembang jadinya...

Ini pun tahan cuaca juga tapi belalang sangat suka makan daun dan putik bunga...Bila kembang mesti tidak sempurna kelopaknya..

Hujan yang banyak turun musim ini juga membuatkan kemboja saya berbunga tidak putus. Kemboja pink lembut ini kembang lagi..

Begitu juga dengan kesayangan yang harum ini. Kali ini pasu kedua pula berbunga rendah. Dapatlah hari-hari saya mencium baunya...

Manakala heliconia merah kuning ini tidak mampu menahan beratnya sendiri. Merunduk ketanah akibat timpaan air hujan. Banyak batangnya patah. Bersusah payah saya mengikat dan menarik pokoknya dengan tali agar  tidak menyembah bumi.

Thai Jasmine antara yang  tolerate dengan cuaca semasa. Kelopak bunganya sentiasa berada dalam keadaan mekar sempurna sehingga gugur kebumi. Tidak layu. 

Namun ada juga yang tertewas. Sangat menyedihkan. Bunga Mandevilla putih yang sedang subur berbunga lebat sepanjang masa ini tiba-tiba saja mengecut dan beransur-ansur kering dan layu. Tidak pasti kenapa mati mengejut secara tiba-tiba. Sudah 14 bulan bersama saya.

Pokok yang selalu dibelai biasanya begitulah ragamnya sedangkan pokok zinnia merah menyala yang terabai  begitu saja di homestay sebelah cantik pula kejadiannya. Ini adalah zinnia terakhir saki baki dari benih yang saya tabur tahun lepas sebelum rumah ini  disewakan. 

Thunbergia kuning ini sangat cantik dan comel.

         Namun tidak mampu melenyapkan kekecewaan saya pada kakaknya yang juga tertewas. Black eyed susan yang saya ambil benihnya di Cameron pada tahun 2014.

Plambago biru kali ini tidak meriah berbunga akibat terlindung dari cahaya matahari penuh.

Pada masa yang sama hydrangea saya makin menyusut kelopaknya. Bunganya tidak membulat bagai dulu. Mungkin faktor umur agaknya. Harus buat sesuatu ....belasan tahun sudah...

   Crossandra oren ini mampu hidup subur walau menyelit dicelah pokok lain dan berkongsi pasu.

Kekwa kuning pemberian kawan...setelah lama mencari bunga ini akhirnya dapat juga. Orang dulu-dulu suka tanam pokok ini. Belum lengkap tanpa warna putih dan purple juga pink. Setakat ini dulu. Selamat bercuti dan berhujung minggu untuk semua. 


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!




Monday, 30 June 2014

Ramadhan Hari Pertama..


Alhamdulillah. Selamat berpuasa kepada semua hari ini. Bermula sahur pagi tadi, saya berdoa agar dipermudahkan puasa dan amalan saya di bulan Ramadhan yang mulia  ini. Pagi hari tadi saya mulakan dengan membelek pokok dahulu. Seperti biasa bunga, daun, ulat dan kupurama adalah sebahagian dari rutin pagi.  

Bermula dengan sambungan cerita Hydrangea terlebih dahulu. Keputusannya kedua-dua pasu berbunga biru juga. Sahlah bunga pink sudah pupus. Agak kecewa. 
   
 Namun tanpa  diduga, selang beberapa minggu kemudian jambak kedua yang keluar dari pasu pertama berwarna pink sedangkan dua jambak yang lain berwarna biru. Miracle!

 Hajat hati dipenuhi. Alhamdulillah. Lihat betapa cantiknya bunga yang tidak dipedulikan dahulu  ini berkembang. Lalu saya mula mencari beberapa lagi pokok yang turut diabaikan selama ini.

Salah satu darinya. Copper leaf bertahun-tahun terperuk di ceruk. Ada secotek ubi dan daun kecil semasa saya jumpa. Sebulan sahaja dibelai, lihat hasilnya.

Contra antara warna bunga dan daun begitu memikat.

Purple Heart. Waktu gambar ini di ambil  bunga comelnya dah layu. Pun waktu jumpa dah tinggal nyawa-nyawa ikan. Sekarang sudah cantik. Harap selepas ini tiada pengabaian lagi.

Panas terik tiba-tiba disimbahi hujan yang begitu lebat. Alhamdulillah hujan di hari pertama Ramadhan. Sejuk suasana. Kesian pula tengok pokok jambu ini. Sebahagian besarnya  bakal dikorbankan dalam waktu terdekat.

Dalam hujan lebat saya terpandang Heliconia ini, seolah-olah  berteduh dibawah daunannya sendiri.

Memang ralit melihat kecantikkan didepan mata. Bersyukur kehadrat Ilahi kerana memberi kemakmuran ini kepada kita semua. Sebab itu tidak perlu kita membazir dan berlebihan segala.

Masih ramai diluar sana yang susah dan kelaparan. Bayangkan kalau hidup kita diumpamakan seperti kucing-kucing berkeliaran ini. Sentiasa mengharapkan belas simpati pada orang untuk sesuap nasi.

Sebab itu mesti banyak beringat. Terutamanya saya. Bulan Ramadhan kali ini mungkin menuntut lebih banyak kesabaran dalam diri ini . Tidak boleh marah-marah. Kena henti semua hamun dan kata nista. Mesti banyak sedekah.

Dan juga amal jariah. Terimalah sesuatu itu dengan penuh kesyukuran. Jauhi prasangka.
  
Apalagi yang perlu saya katakan....kalau melihat setia menanti dan berharap  begini. Tambahan saudara baru pula ... 

    Sedangkan kesayangan saya ini kekenyangan dan enak-enak saja  tidur lena dipermaidani indah..

Thursday, 8 May 2014

Siti Hydrangea...

Nama Baru ? Tidak salahkan mencantum dua nama ini - Siti Zubaidah dan Hydrangea.  Masih pada rupa dan pokok yang sama. Saya, baru tahun ini tahu rupanya dia dinamakan sedemikian.  Nama yang sangat nostalgia.Tersenyum sendirian. Siti Zubaidah sebenarnya mengingatkan saya kepada sebuah syair indah dan merdu  yang selalu kami nyanyikan beramai-ramai pada zaman sekolah rendah dahulu, dengan penuh perasaan dan perasan. Apalagi kalau ada gerombolan pelajar lelaki melintas. Makin nyaringlah lagi suara bergema...Mmm..lucu dan sungguh indah bila dikenang..

Seindah jambak pertama yang dihadiahkan kepada saya tahun ini. Saya patut mengucapkan terima kasih kepada bunga yang asalnya dikenali sebagai Bunga Tiga Bulan ini. Masakan tidak, bertahun-tahun lamanya saya telah mengabaikan dia. Terperuk di tempat gelap tanpa  perhatian.

Sehinggalah bulan lepas saya mula membaja dan memindahkannya keluar pagar. Hasilnya putik bunga mulai keluar. 

 Dulu saya ada tiga pasu pokok ini. Salah satunya berbunga pink lembut. Sekarang tinggal dua kerana satu pasu lagi saya biar2kan sampai mati keterpaksaan. Dia tidak mahu mati sebenarnya tapi saya patah2kan.

Pasu yang pertama bunganya biru keungguan. Mungkin tanahnya lebih berasid.

Lihat, jambak kedua dan ketiga sedang berkembang dari pasu pertama.

Ini jambak pertama dari pasu kedua. Masih belum tahu apa warnanya. Mungkinkah pink lembut ? Saya berharap sangat ia begitu. Kalau tetap biru, bermakna yang saya paksa matikan dulu itulah berbunga pink. Padan lah muka saya...