Showing posts with label R&R. Show all posts
Showing posts with label R&R. Show all posts

Sunday, 4 October 2015

R&R: The Survival

Setelah hampir sebulan setengah berlalu, hari ini barulah dapat saya posting perkembangan pokok-pokok yang di ubah dari homestay ke tapak R&R ( Rehat & Rawat ) saya. Pokok yang terselamat dan hidup ini adalah rentetan peristiwa dari pokok-pokok saya yang telah ditebang, ditarik keluar pasunya  dan di tebas. 

Hari ini dalam jerebu yang tebal,  sepagi saya merakam pokok di R&R. Lihat, matahari pun dah jadi sakit...Ini pukul 10.00 pagi...walaupun ada cahaya tapi nampak suasana mendung dan gelap..

Kalau hari sihat, pukul lapan pagi dah nampak ceria walaupun selepas hujan..

Saya mulakan dengan kelansungan hidup pokok Avocado dulu. Kalau dinilai dari daunnya nampak macam sudah sihat dan boleh sesuaikan diri namun akar baru belum pun lagi tumbuh dari lubang pasu. Tinggi dah melebihi 7 kaki. Ranting yang merendang dulu  habis kena cantas.

Nasib yang sama juga menimpa cotton rose ini. Sebelum ini pokoknya cukup tinggi dan rendang Kini berjuang hidup dengan  sejambak daun yang ada. Saya andaikan ia sihat kerana berjaya berbunga di R&R.

Roselle sempat saya pindahkan 3 pokok sudah mulai berbuah tapi entah kenapa buahnya tidak 
membesar...jadi terbantut dan kerdil..tanah tidak sesuaikah?

Mulberi yang pokoknya tinggi hampir sama dengan bumbung, saya tanam dari potongan keratan batangnya yang ditebang, berpucuk tapi akhirnya semua mati mungkin kerana air hujan yang bertakung ditapak ini. Selalunya mulberi cukup liat nak mati...

Namun begitu Torenia sangat mesra dimana saja. Monopoli hampir keseluruhan tapak R&R. Dialah kembang yang menceriakan tapak ini.. Benihnya senang merebak.

Begitu juga dengan kembang pagi liar ini..semasa di homestay dulu terbantut saja..

Angelonia pun mudah sesuaikan dirinya disini. Saya tanam di luar pagar.  Che Kam pula setakat ini tidak suka mungkin kerana bau masam manis pokok itu...

Tapi yang paling buat saya happy  ialah garlic vine ini. Bertahun  di homestay  tidak berbunga. Masuk saja R&R dua kali sudah berkembang...

Lain-lain bunga yang hidup dan terselamat termasuklah vinca putih dari Diana Kebun Bahagia Bersama. 

Akar Dani, telang putih & biru juga berbunga. Cuma saya kehilangan cypres vine pink. Yang tinggal putih sahaja. Sampai kehari ini saya masih mencari kelibat pokoknya di homestay namun tidak ada.

Pagi ini semasa saya sibuk merakam, dua ekor supervisor ini pun sibuk sama melawat tapak. Syukur,  Kaspin sudah 90% sihat dan menambahkan berat badan. Tahap kecergasan juga meningkat. Cuma sesekali dia kelihatan penat. Terima kasih kepada semua yang mendoakannya ya! 

Alhamdulillah walaupun ada satu dua pokok  yang mati, sebahagian besarnya berusaha berjuang dan hidup dengan jayanya. Kini tapak R&R ini makin meriah. Saya juga menyelit dengan sayur dan pokok buah2an. InsyaAllah dilain posting kita bercerita tentang ulam dan sayuran pula. Selamat berhujung minggu dan jagalah kesihatan diri jika di sana  juga berjerebu. Saya baru pulih dari sakit tekak. Happy gardening!


Saturday, 27 June 2015

Meneras Ramadhan

Kisahnya, hari pertama Ramadhan yang lalu, saya mendapat khidmat kerja dari seorang hamba Allah yang  menjelma secara tiba-tiba sahaja didepan rumah untuk menjual orkid hutan. Saya cakap tidak mahu orkid tapi nak minta buat kerja lain. Dia bersetuju tanpa banyak soal. Saya apalagi... bagai pucuk dicita ulam mendatanglah....

Sebenarnya dari awal tahun lagi saya berkira-kira untuk membuat projek tapak semai dan R&R untuk pokok-pokok saya yang berselerak keliling rumah termasuklah yang disebelah homestay. Malangnya tak tahu dimana mahu mencari orang yang sanggup membuat kerja rencam begini.

Nah, sekarang dah dapat pun. Walaupun dibulan puasa tapi lelaki ini membuat kerja dengan tekun, Menebang kayu bakau, mengheretnya ketapak kerja dengan motor buruknya yang bising satu taman mengorek tanah yang keras dan memacak tiang dilakukan seorang diri saja. 

Dia juga dengan sukarela pergi mencari pukat terbuang untuk dibuat penghadang buat sementara waktu sebelum saya membeli pukat yang baru. Tadaa...dah siap dalam sepetang saja. Upah yang diminta RM120.00 ..

Hari ke dua puasa, saya minta dia buat rak kayu untuk letak pokok semaian juga mengangkat bata-bata dan kayu pallet. Upah yang diminta RM50.00. Puas hati saya dengan kerjanya. Cepat dan jadi. 

hasilnya...Ini dia tapak semai merangkap taman kedua saya. Bertempat dipadang sebelah rumah. Saya sudah pun membuat permohonon kepada syarikat perumahan terlebih dahulu. Tapi.. masih belum siap sepenuhnya. Banyak lagi pokok-pokok perlu diangkut masuk kesini. Harus dilakukan perlahan-lahan dibulan puasa ini. Cuaca begitu panas..

Ini kisah hari ini. Buah pelam sala saya baru berbuah setelah hampir 9 bulan bertapa. 

Tapi sebenarnya ada kisah sedih disebalik buah ini...kemungkinan besar separuh pokok ini terpaksa ditebang kerana mahu memberi laluan kepada mesin steamroll  tar yang akan datang beroperasi dalam masa terdekat. Semua pokok jiran telah ditebang. Pokok saya seorang masih bertahan kerana ada buah.

Sayang..tak sempatlah saya merasa. Sudahlah bahagian ini yang paling banyak berputik. Tapi bukan pokok pelam saja, pokok bunga saya yang dipinggir jalan pun kena ubah  juga..aduhaii.....

Ini rak baru yang saya tempah. 3 biji semuanya. Kerana memakan ruang terpaksa saya letakkan rak ini di luar sahaja. 

 Satu yang kecil saya letak didalam. Belum habis lagi saya merapi pasu-pasu bunga dibahagian ini.

 Nampaknya rak bukan lah jalan penyelesaian terbaik untuk pasu-pasu bunga saya. Masih banyak yang tidak dapat disusun.  Lebihan yang saya selit-selit di bawah inilah yang mesti diubah takut disondol oleh steamroll.

Satu lagi rak sebelah kanan laman. Lihat dibelakang rak sudah tiada lagi  pokok alamanda. melur dan rose prosperity. Semuanya saya tebang. dan saya tempatkan pokok-pokok rose yang baru saya beli dibelakangnya. Namun saya dapati pucuk2 baru pokok yang ditebang sedang galak keluar pucuknya dari tunggul yang tidak ditarik keluar..

Mmmm...nampak gayanya banyak lagi kerja saya kena buat minggu ini...pembantu sudah bersedia bila-bila masa, masalahnya budget pula tergendala sebab perlu diutamakan pada perbelanjaan puasa dan hari raya. Di atas adalah  gambar kenangan rose huntington bersidai riang diatas pergola sebelum dimakan oleh Che Kam. Kini rak baru mengambil alih tempat. Selamat berhari minggu dan happy gardening!