Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Tuesday, 2 January 2024

Happy 2024

Selamat tahun baru 2024. Semoga semua kekawan bloggers di beri kemakmuran dan kebahagian yang berpanjangan. Juga semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan ceria disamping keluarga tercinta.

Ok kawan-kawan, please take care. happy blogging & happy gardening!  





 

 

Monday, 31 August 2020

Merdeka...Sebuah Catatan Kenangan.

Selamat menyambut hari Merdeka. Seperti biasa tiada acara untuk di rai. Hanya duduk-duduk mengenang dan melihat cerita sejarah di tv.

Cuma di hari yang bersejarah ini saya mahu berkongsi rasa kemerdekaan saya pada 31 tahun yang lalu.

Diari lama tahun 89 ini saya jumpa ketika renovate dapur September tahun lepas. Dik sibuk mengemas saya simpan tepi  dulu kemudiannya lupa terus.

Semalam waktu cari-cari barang entah macamana terjumpa semula diari lama ni. Sebaik di buka kelihatan sebahagian kertasnya telah dimakan anai-anai namun tulisannya masih jelas dan terang.

Asalnya diari ini kepunyaan cik suami. Catatan terakhirnya ialah pada 22 Feb 1989. Hari pernikahan kami. Jelas terlihat kegembiraanya bila dia menulis penuh semuka tentang hari bersejarah itu. Tulisan pun macam nak cepat sudah saja. Agaknya apa dia rasa hari itu. Tersangat bahagiakah sampai tutup diari terus...

Selepas dia berhenti menulis saya ambil diari dan sambung cerita. Setiap malam sebelum tidur saya akan tulis kisah harian juga luahkan segala rasa saya disitu. Semalam masa menyelak helaian, mata saya terpaku pada tarikh keramat 31 Ogos. Kenapa kosong. Oh..saya tulis dibahagian belakang muka rupanya...Apa yang saya tulis ?

Lalu saya baca satu persatu. Mmmh...tarik nafas panjang seketika. Aduhai...kenapa saya tersangat sedih pada hari tersebut. Kenapa banyak pertanyaan dan kekeliruan dihati saya ketika itu. Dah enam bulan bersama tapi kenapa hati saya tetap rawan. Apa yang terjadi kepada saya ketika itu?

Puas saya putar memori. Mungkin saya belum cukup bersedia atau mungkin ada kisah luka yang saya pendamkan. Sejujurnya saya tidak tahu kenapa saya jadi begitu rawan. Saya rasa mungkin saya menangis ketika menulis sedang suami sudah lama tidor....Betul lah orang cakap masa akan mengubah segalanya. Bahkan juga merawat dan melupai sebahagiannya...
Jadi setelah 31 tahun berlalu pergi....berjayakah saya miliki bahagia di setiap merdeka ?

Mmmm...of coz yes. Sebab saya sentiasa move on. Saya sentiasa memaafkan. Saya berlajar merdekakan perasaan untuk hadirkan bahagia dihati...
Saya buat apa yang saya suka dan saya sayang apa yang saya cinta

Jadi berakhir disini kali ini. Saya sudahi dengan assalamualaikum dan selamat sejahtera buat rakan bloggers. Staysafe.

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!















Sunday, 24 May 2020

Raya Aidil Fitri 2020

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua rakan bloggers.
Kita raya hari ini...
Walaupun dalam keadaan terbatas tetapi saya rasa tiada bezanya malah seronok sebab dapat lihat seisi warga taman 
ada di rumah masing-masing. 
Tiada siapa balik kampung termasuk saya.

 Semoga kawan-kawan semua dapat menyambut aidil fitri tahun ini dengan meriah. Kesempatan ini saya memohon ampun maaf jika ada salah silap  tanpa sengaja  tercoret di setiap posting dan komen yang saya tinggalkan. Sayang semua!
Stayhome & Staysafe.


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!





Thursday, 15 August 2019

Taufan Lekima

Berlaku pada hari Jumaat 9hb Ogos, selepas maghrib.  Mulanya saya ingat ribut biasa sebab hari sebelumnya pun sudah ada gangguan ribut diwaktu subuh.
( Sebelum itu saya ingin memberi ucapan doa semoga blogger Paridah Ishak segera cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan. Atas sebab teknikal saya tidak dapat menurun komen di ruang postingnya )

Ketika itu saya sedikit pun tidak merasa cuak dan risau sehinggalah tiba- tiba terdengar dentuman kuat di bahagian dapur. Ya Rabbi, sudah melayang bumbung. Semuanya berlalu terlalu pantas. Air hujan mencurah masuk. Saya dan suami cuma sempat ambil barangan letrik. Yang lain biar kebasahan. Keselamatan paling utama.

Besuk pagi baru jelas keadaan. Atap bergelimpangan. Pokok pasuan di depan rumah pun banyak yang tumbang dan berserakkan.

Bahagian bumbung dapur yang tanggal. Pokok lemon turut jadi mangsa. Serentak itu tak berhenti masuk berita dan video di wassup grup mengenai bencana ini. Takutnya tengok. Seluruh Langkawi dilanda musibah. Begitu juga dengan sebahagian negeri lain di sebelah utara.

 Manakala pagar kebun habis tumbang. Sedih hati. Dua hari lagi nak raya namun redo saja menerima ujian kecil dari Tuhan.
Inilah taufan yang paling ganas melanda Langkawi selama 30 tahun menetap disini. Taufan Lekima!

Dengan kelajuan angin yang di rekod oleh MetMalaysia 100.8 km sejam...semuanya bisa tumbang. Taufan ini dikatakan bermula dari timur negeri Cina. Kita cuma terkena bahagian ekornya saja.

Bayangkan kalau terkena kepala atau badannya. Mmmh....tak tahu nak cakap. Walaupun begitu bersyukur kami selamat. Tiada kematian direkodkan disini walau keadaan macam dilanggar garuda. Pokok tumbang dimana-mana. Gerai dan rumah berserakkan. Kereta dihempap. Bot nelayan pun ada yang karam.

Pokok lemon walau rebah masih selamat dari di tebang.  Tegak semula setelah ditompang dengan kayu. Begitulah juga dengan hidup ini. Dugaan apa pun yang melanda  harus  di terima dengan tenang. Harus kuat dan sabar juga redha dengan ketentuanNya. Hingga saat entry ini ditulis keadaan di tempat saya masih belum reda dengan hujan dan angin kuat. Sesetengah kawasan dilanda banjir kilat.

Pada pagi yang sama, ketika hati
 masih walang tak tahu nak senyum atau marah bila melihat cucu melerai kuntuman  bunga-bunga ros yang  sedang berkembang dilaman. Ingat nak buat penyeri raya. Redho aja la...😥😥😥😥


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!
🌿🌼🌿



Wednesday, 19 June 2019

Aidil Fitri 2019

Selamat Hari Raya untuk semua . Lama tak bersiaran.  Sibuk dari Ramadhan hingga ke Syawal. Raya tahun ini agak meriah kerana semua jiran baik diperumahan tidak balik kampung.  Jadi acara makan tu berlarutan sampai ke hari ini. Open house sentiasa  ada untuk menambah lemak. 

Beberapa hari lepas dapat jemputan raya dan kenduri doa selamat di sebuah resort kepunyaan bekas manager. Jauh masuk keceruk kampung. Majlis bermula selepas asar. Jadi waktu pulang dapat nikmati sunset.

Sesuai nama dan tempat. Resort Hujung Kampung. Tenang dan damai tempatnya. Hijau dikelilingi bukit dan rimba.

Saya pergi bersama anak dan cucu. Adib selesa berkaki ayam lawat kawasan.

Manakala Kasih pula seronok menangkap anak katak dicelah rumput. Enjoy sungguh dia.

Sudah dua minggu berlalu. Perumahan saya masih hangat lagi dengan suasana raya. Open house berlarutan. Bagi saya yang berumur ni kuih raya bukan lagi keutamaan. Semekut kering ini juga yang menjadi pilihan untuk kudapan 😀

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening! 
🌿🌼🌿



Tuesday, 7 May 2019

Salam Ramadhan.

Selamat berpuasa buat semua muslim bloggers.

Selama beberapa ketika saya akan pulang kekampung untuk menjaga adik bongsu yang bersalin. Jadi saya tidak dapat melawat setiap blog kekawan dan memberi komen  seperti biasa kerana liputan internet yang lembab di kawasan tersebut.  

Sepanjang ketiadaan, saya tawakal saja tinggalkan tanaman saya dirumah dan dikebun. Harap semuanya berada dalam keadaan baik dan dilindungi.  Umur panjang bertemu lagi ya kekawan. Semoga Ramadhan tahun ini memberi keberkatan kepada kita semua sepanjang melakukan amal ibadah puasa.

OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

Tuesday, 11 September 2018

Hijrah Kemerdekaan.

Hari ini telah bermula tahun baru dalam kalendar islam 1 Muharam 1440 Hijrah. Sebelumnya kita telah menyambut hari kemerdekaan yang ke 61 buat negara yang tercinta.  Buat orang  yang berumur lebih dari sepaaruh abad seperti saya ini kian terasa 'lama' dan pudar. Rasanya masih ada banyak lagi penghijrahan dalam memerdekakan hati dan minda yang belum dan tak tercapai. 

 
Walau pun berusaha sebaik mungkin kearah itu tetapi saya ini selalu terleka dan tidak pernah surut melakukan  kesilapan.  Alpa pada janji dan azam.  Mmmm.... manusia ni memang mudah lupakan... 

Sebut pasal lupa  ni teringat saya pada kejadian bulan  puasa  yang lepas.  Saya pulang untuk berbuka puasa bersama adik-adik di kampung juga ziarah bapa mertua yang kurang sihat. Dalam perjalanan kerumah bapa mertua hari itu saya tiba-tiba mendapat panggilan dari seorang lelaki Cina yang tak dikenali. Terkejut juga. Mula-mula saya ingat dia salesman yang talipon secara rambang. 

Tapi bila dia bagitau dompet duit saya terjatuh di depan kedainya. Allah... Kecut perut tiba-tiba.  Macamana boleh saya tak sedar.  Semua duit raya untuk adik dan mertua ada dalam tu. Berdesup adik pusing kereta menghala semula ke pekan Alor Setar.  Adakah lagi duit tu dalam dompet.... Dalam getar perut saya berdoa pada tuhan yang baik-baik walau otak duk pikir yang bukan-bukan. 

Sampai di kedai tersebut saya disambut oleh wajah-wajah yang ceria ini. Sangat ramah,  santun dan berbudi bahasa. Dompet saya dihulur dan saya disuruh membilang adakah wang saya mencukupi. Allah... Sebaknya dada saya ketika itu hanya tuhan saja yang tahu. Tak putus saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Syukur dompet ini dijumpai oleh insan yang berhati mulia. Saya bertambah terharu bila mereka berkata dompet ini harus sampai selamat ketuannya. 

Tauke kedai yang sentiasa tersenyum. Menurutnya mereka akan menghubungi kawan mereka  di  Langkawi sekiranya saya tidak dapat di hubungi. Mujur dalam dompet terselit kad kerja lama. Ada nombor talipon saya di situ.

Memang saya tak akan lupa jasa mereka sampai kemati. Orang baik orang jahat ada dimana-mana tapi orang yang  jiwa dan mindanya  merdeka sukar ditemui. Sempena tahun baru ini marilah kita semua memerdekakan diri dengan berhijrah ke arah kebaikkan dan kemajuan. 

Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening. 

Wednesday, 22 November 2017

Merai Cucu Kedua.

Berkongsi kegembiraan bersama rakan bloggers disini. Menimang cucu kedua pada hari Sabtu lepas. Memang sangat mengujakan saya dan suami. Maklumlah kami tidak ada anak lelaki. Kedua-dua anak saya perempuan. Cucu sulung pun perempuan. Syukur Alhamdulillah. Dapat juga seorang kan.....Terubat hati cik suami yang mengidam anak lelaki. Manakala saya pula, ini adalah merupakan hadiah harijadi yang amat bermakna sekali. Tahun depan dapatlah sama-sama meraikan harijadi pada bulan yang sama.. Dah dekat-dekat  tarikhnya. 

 Jadi sepanjang tempoh anak berpantang ini, saya terpaksa abaikan kebun dan pokok bungalah jawabnya. Seawal pagi saya dah menapak kedepan dan kebelakang. Sekejap kerumah anak dan sekejap kerumah saya. Harap-harap boleh turun beberpa kilo lepas ni.

 Ikut tumpang happy mestilah sikakak tapi dalam masa yang sama suka buat perangai minta perhatian. Tak boleh marah sikit menjadi-jadi rajuknya. Orang semua duk bercakap pasal adik saja jadi dia rasa macam dipinggirkan. Kecil-kecil pun dah pandai terasa hati.

Dalam kegembiraan merenung wajah munggil cucu, saya terpandang bantal peluk disisinya. Mmmm....bantal peluk ibunya 27 tahun yang lalu. Masih bersih dan baru. Arwah ibu saya yang jahitkan masa saya beranak sulung. Kalaulah dia masih ada....

Satu sikit, dua tidak cukup. Itu  yang saya rasakan. Jadi saya sarankan anak sulung saya beranak lagi selepas ini. Menjeling dia..hahahaha..Bukannya apa,  takut dia pun berhenti setakat dua juga macam saya. Pada kawan-kawan bloggers,  minta maaf sekiranya saya tidak sempat melawat dan lambat membalas komen buat sementara waktu. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!





Tuesday, 19 September 2017

Tragedi September

Seperti yang saya selalu tulis di sini memang tahun ini daerah saya menerima purata hujan yang cukup tinggi. Minggu lepas menyaksikan Langkawi di landa banjir dimerata tempat dek hujan lebat yang turun tidak berhenti. Angin kencang membuatkan lautan juga bergelora. Amaran bahaya di keluarkan dan para petugas keselamatan mengawal keadaan agar tiada kemalangan jiwa berlaku.

Namun apa yang lebih mengerikan  melihat kepala air membuak deras dari air terjun Temurun dan Telaga Tujuh. Rasanya selama 30 tahun menetap disini, inilah kali pertama kejadian ini berlaku. 

Sebahagian kawasan riadah yang dilanda kepala air. Sampai kesaat entry ini ditulis hujan dan angin kuat  masih melanda di sesetengah tempat.

Begitu juga keadaan di kebun. Rumput kembali memanjang. Benih-benih yang saya semai walaupun tumbuh tapi banyak yang tidak menjadi. Kelecuran daun dek ditimpa air berlebihan. Pokok juga banyak yang rebah. Petak-petak sayur juga terpaksa di abaikan.

Pagi ni cuba juga masuk melawat kebun walau air masih bertakung. Cosmos tiga saudara. Banyak pokoknya tumbang.

Morning glory sempat kembang sebelah pagi saja. Tengahari dah robek ditimpa hujan.

Saya dah tak kesah kat pokok bunga sangat sekarang ni...bukan jemu tapi kadang-kadang rasa frust sebab banyak yang mati dengan cuaca yang tidak menentu.

Yang mana berdaya tahan yang itulah saya simpan.

Dah tak peduli pun kat dia. Dah buang pasu letak ceruk. Baru nak keluar bunga sekuntum.

Sama dengan walking iris ni. Dua tahun lebih baru berbunga.

Sepasang kasut merah yang comel. Bunga pokok geti.

Di kebun ada juga satu dua tanaman yang menjadi walau dilanda banjir memanjang. Petola segi kampung. Gigih berbuah walau pokok kurus keding.

Tahan lasak pokok timun mini ni. Terus berbuah walau bertakung dalam air.

Peria katak musim kedua. Baru berlajar berbuah. Benih dari buah yang beli di kedai.

Kacang panjang jenis baru. Benih dari pemberian kawan. Kacang panjang ular nama dia.

Menurut ramalan cuaca hujan akan terus turun di Langkawi. Tidak tahu bila musim kering akan menjengah walau kadang kala angin timur yang sejuk sesekali bertiup. 

Bulan September ini bulan yang penuh tragedi. Dugaan tuhan . Kita hambanya harus menerima dengan redha.  Al Fatihah buat pelajar yang terkorban di Pusat  Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Kat atas satu lagi tragedi melanda saya. Tragedi pos laju. Pokok yang saya beli on line mengambil masa 7 hari untuk sampai.  Kotak pun dah koyak hujungnya. Bila buka jatuh berderai daun yang sudah kehitaman. Nasib batangnya masih hijau. Ada juga harapan untuk hidup.


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!



















Tuesday, 12 September 2017

Perginya Seorang Sultan.

Seluruh rakyat Kedah bersedih dan dukacita di atas kemangkatan seorang sultan yang sangat di kasihi rakyat, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu 'adzam Shah. Baginda mangkat semalam pada 11hb September 2017. Memerintah Kedah selama 58 tahun dan merupakan sultan Kedah yang ke dua puluh tujuh..  Saya berasa agak ralat kerana tidak dapat menonton berita ini di TV kerana tv rosak dan dihantar untuk dibaiki. Cuma dapat melihat beberapa keratan video di you tube sahaja. 

Sepanjang menjadi sultan Kedah ( 14 Julai 1958 - 11 September 2017 ) Sultan Abdul Halim sangat menjadi kebanggaan  dan disenangi rakyat. Tiada cacat celanya baginda dimata kami. Sangat di hormati dan disanjung. Sultan yang sentiasa terukir senyum dibibirnya.

 Tak dapat tidak saya pasti  terkenang kembali setiap memori zaman kanak-kanak. Bagaimana saya adik beradik dan kawan-kawan sekampung membesar dengan  saban waktu melihat kereta besar Rolls Royce hitam yang membawanya melalui jalan raya kampung kami untuk kelapangan terbang. 

Bagi kami sultan dan permaisurinya Sultanah Bahiyah adalah  pasangan di raja yang paling kacak dan jelita ketika itu. Zaman bebudak, kami  akan berlari kejalan raya kalau terdengar siren dari polis pengiring. Mesti sultan nak lalu. Ketika itu rumah saya berada ditengah kedudukan Istana Raja Anak Bukit  dengan Lapangan Terbang Kepala Batas.  

 Walaupun ketika itu kami cuma budak-budak kecil  yang comot atau belemoih kata orang Kedah tapi baginda akan membalas lambaian kami atau megangkat tangan. Melalui tingkap kereta yang terbuka separuh terlihat senyumanya yang mesra. Itu tanda kasihnya baginda kepada rakyatnya tanpa mengira darjat dan pangkat.

Satu peristiwa bersejarah yang tak dapat saya lupakan ialah bila seluruh orang kampung keluar menyambutnya pulang semula ke negeri Kedah setelah tamat penggalnya sebagai yang di Pertuan Agong ke 5 pada tahun 1975. Kami berbaris di kiri kanan jalan. Dari jauh terdengar siren kemudian bunyi hon dari orang kampung yang bermotor mengiringi baginda di barisan kedua.  Polis pengiring di bahagian depan sekali. Kereta baginda di barisan ketiga bergerak perlahan diatas jalanraya. Dari dalam kereta Sultan dan sultanah melambai tangan kepada kami dengan senyuman yang sangat mesra.

Balik  pada zaman kecilnya, baginda bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah. Saya juga bersekolah disitu sekitar awal 70an. Sekolah yang sama tapi pada tahun dan era yang berbeza. 

Sekolah rendah kami merupakan satu-satunya sekolah rendah melayu  yang  ada di sepanjang jalan airport ke istana. Dek kerana itu kami selalu menjadi duta kecil mengebar bendera untuk menyambut ketibaan di raja atau rombongan kerajaan. Jadi, siren polis trafik dengan kami dah  sinonim sangat.

Baginda juga telah bermurah hati membuka seluruh kawasan taman permainan  dan zoo istana untuk rakyatnya beriadah. Saya tidak pasti sejak bila pagar  istana dibuka untuk rakyat. Seingat saya dari saya belum sekolah lagi pun kakak dah bawa saya bermain buaian di situ.

Apa yang saya ingat kawasan istana sangat luas, nyaman dan hijau.  Lanskapnya  dikelilingi oleh  sungai utama dan anak sungai. Penuh dengan pokok bunga dan pepohon besar.  Istana pula  terletak di atas sebuah bukit kecil. Di bawahnya terdapat sebuah kolam ikan kaloi yang luas. Selalu kami memberi ikan makan roti. 

Orang yang kampungnya bersempadan sungai dengan istana akan datang dengan perahu. Ketika hari perayaan atau cuti tertentu 'garden' atau taman istana akan penuh dengan orang ramai terutamanya remaja dan kanak-kanak. Tentu orang zaman itu akan ingat sangat...ditempat inilah juga pasangan berdating dan ngorat mengorat.  

Namun tarikan utama istana ialah zoo mininya. Sultan Kedah sangat suka membela binatang. Ibu bapa selalunya akan bawa anak kesini untuk melihat monyet, burung kakak tua, burung merak,  beruang, burung kasawari, memerang dan pelbagai lagi binatang peliharaan. Masih terbayang dimata rupa rusa tua yang kandangnya terletak di sebelah kiri jalan masuk  istana. 

Saya juga masih ingat ada satu rumah kayu berpagar untuk menyimpan dan memelihara pokok bunga yang cantik-cantik. Kakak saya akan mengintai-intai cari peluang untuk  kidnap. Kalau ada tukang kebun yang baik hati dia akan berusaha memberi sedikit.  Itu pun setelah puas kakak merayu. 

Sekitar pertengahan 70an kawasan istana rasmi di tutup pada orang ramai. Tidak pasti kenapa. Sesetengah orang berkata untuk langkah keselamatan dan sesetengah orang berkata sultan murka kerana ada yang datang berbuat kelakuan tidak senonoh disitu. Walau apapun sebabnya, sebagai rakyat saya bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana ikhlas membuka ruang istana untuk rakyat beriadah terutamanya rakyat yang miskin. Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 kerana penyakit cancer yang dideritainya sekian lama. 

 Di taman istana itu tersimpul pelbagai kenangan manis saya dan kawan-kawan bermain buaian sambil menyanyi. Dari kecil sampai ke gadis sunti. Paling tak lupa perasaan takut nak melintas jambatan sungai yang ada batu belah batu bertangkup di bawahnya. Disitu juga kami berehat sambil tersenyum-senyum kambing melihat gelagat orang dewasa berdating. Gambar atas isteri kedua sultan Kedah. Sultanah Haminah. 

Semoga bersemadi dengan aman dan tenang disana. Al Fatihah buat sultan dan sultanah yang sangat kami sayangi dan sanjungi.  ( Semua gambar ehsan google )



OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!