Tuesday 19 September 2017

Tragedi September

Seperti yang saya selalu tulis di sini memang tahun ini daerah saya menerima purata hujan yang cukup tinggi. Minggu lepas menyaksikan Langkawi di landa banjir dimerata tempat dek hujan lebat yang turun tidak berhenti. Angin kencang membuatkan lautan juga bergelora. Amaran bahaya di keluarkan dan para petugas keselamatan mengawal keadaan agar tiada kemalangan jiwa berlaku.

Namun apa yang lebih mengerikan  melihat kepala air membuak deras dari air terjun Temurun dan Telaga Tujuh. Rasanya selama 30 tahun menetap disini, inilah kali pertama kejadian ini berlaku. 

Sebahagian kawasan riadah yang dilanda kepala air. Sampai kesaat entry ini ditulis hujan dan angin kuat  masih melanda di sesetengah tempat.

Begitu juga keadaan di kebun. Rumput kembali memanjang. Benih-benih yang saya semai walaupun tumbuh tapi banyak yang tidak menjadi. Kelecuran daun dek ditimpa air berlebihan. Pokok juga banyak yang rebah. Petak-petak sayur juga terpaksa di abaikan.

Pagi ni cuba juga masuk melawat kebun walau air masih bertakung. Cosmos tiga saudara. Banyak pokoknya tumbang.

Morning glory sempat kembang sebelah pagi saja. Tengahari dah robek ditimpa hujan.

Saya dah tak kesah kat pokok bunga sangat sekarang ni...bukan jemu tapi kadang-kadang rasa frust sebab banyak yang mati dengan cuaca yang tidak menentu.

Yang mana berdaya tahan yang itulah saya simpan.

Dah tak peduli pun kat dia. Dah buang pasu letak ceruk. Baru nak keluar bunga sekuntum.

Sama dengan walking iris ni. Dua tahun lebih baru berbunga.

Sepasang kasut merah yang comel. Bunga pokok geti.

Di kebun ada juga satu dua tanaman yang menjadi walau dilanda banjir memanjang. Petola segi kampung. Gigih berbuah walau pokok kurus keding.

Tahan lasak pokok timun mini ni. Terus berbuah walau bertakung dalam air.

Peria katak musim kedua. Baru berlajar berbuah. Benih dari buah yang beli di kedai.

Kacang panjang jenis baru. Benih dari pemberian kawan. Kacang panjang ular nama dia.

Menurut ramalan cuaca hujan akan terus turun di Langkawi. Tidak tahu bila musim kering akan menjengah walau kadang kala angin timur yang sejuk sesekali bertiup. 

Bulan September ini bulan yang penuh tragedi. Dugaan tuhan . Kita hambanya harus menerima dengan redha.  Al Fatihah buat pelajar yang terkorban di Pusat  Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. Kat atas satu lagi tragedi melanda saya. Tragedi pos laju. Pokok yang saya beli on line mengambil masa 7 hari untuk sampai.  Kotak pun dah koyak hujungnya. Bila buka jatuh berderai daun yang sudah kehitaman. Nasib batangnya masih hijau. Ada juga harapan untuk hidup.


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!



















Tuesday 12 September 2017

Perginya Seorang Sultan.

Seluruh rakyat Kedah bersedih dan dukacita di atas kemangkatan seorang sultan yang sangat di kasihi rakyat, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu 'adzam Shah. Baginda mangkat semalam pada 11hb September 2017. Memerintah Kedah selama 58 tahun dan merupakan sultan Kedah yang ke dua puluh tujuh..  Saya berasa agak ralat kerana tidak dapat menonton berita ini di TV kerana tv rosak dan dihantar untuk dibaiki. Cuma dapat melihat beberapa keratan video di you tube sahaja. 

Sepanjang menjadi sultan Kedah ( 14 Julai 1958 - 11 September 2017 ) Sultan Abdul Halim sangat menjadi kebanggaan  dan disenangi rakyat. Tiada cacat celanya baginda dimata kami. Sangat di hormati dan disanjung. Sultan yang sentiasa terukir senyum dibibirnya.

 Tak dapat tidak saya pasti  terkenang kembali setiap memori zaman kanak-kanak. Bagaimana saya adik beradik dan kawan-kawan sekampung membesar dengan  saban waktu melihat kereta besar Rolls Royce hitam yang membawanya melalui jalan raya kampung kami untuk kelapangan terbang. 

Bagi kami sultan dan permaisurinya Sultanah Bahiyah adalah  pasangan di raja yang paling kacak dan jelita ketika itu. Zaman bebudak, kami  akan berlari kejalan raya kalau terdengar siren dari polis pengiring. Mesti sultan nak lalu. Ketika itu rumah saya berada ditengah kedudukan Istana Raja Anak Bukit  dengan Lapangan Terbang Kepala Batas.  

 Walaupun ketika itu kami cuma budak-budak kecil  yang comot atau belemoih kata orang Kedah tapi baginda akan membalas lambaian kami atau megangkat tangan. Melalui tingkap kereta yang terbuka separuh terlihat senyumanya yang mesra. Itu tanda kasihnya baginda kepada rakyatnya tanpa mengira darjat dan pangkat.

Satu peristiwa bersejarah yang tak dapat saya lupakan ialah bila seluruh orang kampung keluar menyambutnya pulang semula ke negeri Kedah setelah tamat penggalnya sebagai yang di Pertuan Agong ke 5 pada tahun 1975. Kami berbaris di kiri kanan jalan. Dari jauh terdengar siren kemudian bunyi hon dari orang kampung yang bermotor mengiringi baginda di barisan kedua.  Polis pengiring di bahagian depan sekali. Kereta baginda di barisan ketiga bergerak perlahan diatas jalanraya. Dari dalam kereta Sultan dan sultanah melambai tangan kepada kami dengan senyuman yang sangat mesra.

Balik  pada zaman kecilnya, baginda bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah. Saya juga bersekolah disitu sekitar awal 70an. Sekolah yang sama tapi pada tahun dan era yang berbeza. 

Sekolah rendah kami merupakan satu-satunya sekolah rendah melayu  yang  ada di sepanjang jalan airport ke istana. Dek kerana itu kami selalu menjadi duta kecil mengebar bendera untuk menyambut ketibaan di raja atau rombongan kerajaan. Jadi, siren polis trafik dengan kami dah  sinonim sangat.

Baginda juga telah bermurah hati membuka seluruh kawasan taman permainan  dan zoo istana untuk rakyatnya beriadah. Saya tidak pasti sejak bila pagar  istana dibuka untuk rakyat. Seingat saya dari saya belum sekolah lagi pun kakak dah bawa saya bermain buaian di situ.

Apa yang saya ingat kawasan istana sangat luas, nyaman dan hijau.  Lanskapnya  dikelilingi oleh  sungai utama dan anak sungai. Penuh dengan pokok bunga dan pepohon besar.  Istana pula  terletak di atas sebuah bukit kecil. Di bawahnya terdapat sebuah kolam ikan kaloi yang luas. Selalu kami memberi ikan makan roti. 

Orang yang kampungnya bersempadan sungai dengan istana akan datang dengan perahu. Ketika hari perayaan atau cuti tertentu 'garden' atau taman istana akan penuh dengan orang ramai terutamanya remaja dan kanak-kanak. Tentu orang zaman itu akan ingat sangat...ditempat inilah juga pasangan berdating dan ngorat mengorat.  

Namun tarikan utama istana ialah zoo mininya. Sultan Kedah sangat suka membela binatang. Ibu bapa selalunya akan bawa anak kesini untuk melihat monyet, burung kakak tua, burung merak,  beruang, burung kasawari, memerang dan pelbagai lagi binatang peliharaan. Masih terbayang dimata rupa rusa tua yang kandangnya terletak di sebelah kiri jalan masuk  istana. 

Saya juga masih ingat ada satu rumah kayu berpagar untuk menyimpan dan memelihara pokok bunga yang cantik-cantik. Kakak saya akan mengintai-intai cari peluang untuk  kidnap. Kalau ada tukang kebun yang baik hati dia akan berusaha memberi sedikit.  Itu pun setelah puas kakak merayu. 

Sekitar pertengahan 70an kawasan istana rasmi di tutup pada orang ramai. Tidak pasti kenapa. Sesetengah orang berkata untuk langkah keselamatan dan sesetengah orang berkata sultan murka kerana ada yang datang berbuat kelakuan tidak senonoh disitu. Walau apapun sebabnya, sebagai rakyat saya bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana ikhlas membuka ruang istana untuk rakyat beriadah terutamanya rakyat yang miskin. Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 kerana penyakit cancer yang dideritainya sekian lama. 

 Di taman istana itu tersimpul pelbagai kenangan manis saya dan kawan-kawan bermain buaian sambil menyanyi. Dari kecil sampai ke gadis sunti. Paling tak lupa perasaan takut nak melintas jambatan sungai yang ada batu belah batu bertangkup di bawahnya. Disitu juga kami berehat sambil tersenyum-senyum kambing melihat gelagat orang dewasa berdating. Gambar atas isteri kedua sultan Kedah. Sultanah Haminah. 

Semoga bersemadi dengan aman dan tenang disana. Al Fatihah buat sultan dan sultanah yang sangat kami sayangi dan sanjungi.  ( Semua gambar ehsan google )



OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!

Tuesday 5 September 2017

Bila Masa Berlalu.

Saya balik kampung pada hari raya kedua baru-baru ini. Balik dengan anak sulung dan cucu saja kerana yang lain tidak bercuti. Setelah kematian abang tahun lepas saya cuba balik sekerap mungkin memandangkan yang tinggal dirumah itu kini cuma adik bongsu perempuan  bersama dua adik lelaki.

 Maksu pula walaupun boleh memilih untuk tinggal diluar dengan keadaan yang lebih selesa tapi dia masih setia menjaga rumah arwah mak dan pak.  Menjaga dua abangnya yang tidak sihat  walaupun dia sendiri ada sakit jantung. Sebelum ini abang sulung pun  dia juga yang menjaga. Pengorbanannya cukup besar buat kami semua.

Sebab itu saya dan adik beradik lain berusaha balik kampung walaupun sekejab  untuk membuatkan mereka gembira. Apalagi kalau ada buah hati yang seorang ini. Telatahnya boleh jadi ubat lupa kesedihan buat seketika. 

Beberapa tahun lepas keadaan suasana rumah kampung saya  cukup berbeza. Ceria dan meriah dengan pokok-pokok bunga. Namun kini  semuanya beransur hilang dan pudar setelah maksu mengalami masalah kesihatan. Ini gambar tiga tahun lepas.

Dulu-dulu waktu menyambut hari raya seluruh ruang taman akan di hias dengan pelbagai pokok bunga. Walaupun keadaan rumah agak usang tapi maksu berusaha perbaiki dan tambah ruangan tertentu untuk membuatkan kami adik beradik  selesa berkumpul.

Balik kali ini saya lihat dua parit kiri dan kanan rumah saya penuh dengan pokok air ini. Ruang laman pun sudah kurang pokok bunga dan nampak kosong.

Batas ban depan rumah tempat arwah abang berkebun pun penuh semak samun dengan rumput. Rasanya sekelip mata keadaan berubah.

Kebun pisang arwah abang  juga nampak semak dan kelam. Tak ada orang yang nak rajin menebas. Sayu hati melihatnya. Saya pernah berjanji pada abang untuk membina sebuah rumah kecil untuknya berehat di kebun  tapi tak kesampaian. InsyaAllah kalau ada rezeki tetap saya usahakan sebagai menunai janji.

Seorang demi seorang ahli keluarga saya telah  pergi mengadap ilahi. Lebih terasa sunyi kali ini bila ketiadaan abang sulung. Raya tahun lepas kami masih sempat bermaafan.  Hilang sudah orang yang rajin mengaji quran di rumah.

Beberapa bulan lepas adik ada mengupah orang membersih kawasan rumah. Buang  pokok-pokok yang  usang. Saya pesan jangan tebang pokok jambu batu dan pokok buah salad depan rumah. Itulah saki baki kenangan hasil tangan mak dan pak. Pokok jambu batu itu saya tanam dengan arwah bapa sekitar akhir 70an dulu dan pokok salad adalah  tanaman pokok  ibu yang terakhir.

Sungguh rindu saya pada masa lalu. Masa waktu semuanya masih ada bersama tapi setiap yang hidup pasti mati. Itu ketentuan Ilahi. Yang tinggal hanyalah kenangan abadi. Terpaksa simpan sendu dihati. Pedih tapi manis untuk dikenang. 



OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!