Showing posts with label Kupurama. Show all posts
Showing posts with label Kupurama. Show all posts

Wednesday, 15 June 2016

Bunga- Bunga Ramadhan 2016

Bunga-bunga saya banyak yang berkembang sepanjang Ramadhan ini tapi kadang-kadang terlepas pandang sebab hujan yang berterusan turun membataskan aktiviti meronda saya. Dari sebelum puasa hinggalah ke semalam  pokok-pokok tanaman terus bermandi hujan. Terlampau banyak air pun boleh merosakkan dan memudaratkan sesetengah pokok.

Kemboja Bali kuning pemberian Diana semasa datang ke Langkawi..2013, pertama kali berbunga. Cantik tapi tak dapat nak cium baunya sebab dah meninggi.

Kemboja pinkish kuning ni kembang di laman sebelah ( homestay ) Terpaksa tempatkan dia di situ untuk pancaran matahari penuh. Ruang rumah saya sudah dipenuhi. Walaupun sedikit jauh tapi saya tetap happy untuknya. Kesian..banyak bunga kembangnya berjauhan dari saya. 

Macam Lily Amarylis merah ini kembang tanpa sedar. Tau2 dah tersenyum dalam kebun R&R. Kalau boleh saya mau bawa semua bunga-bunga ini ke laman depan rumah. Saya nak mereka kembang beramai di situ tapi apakan daya... ruang terhad, cahaya tak mencukupi dan Che Kam pula saban waktu menghampiri.

Senasib, Lily Cameron merah putih ini juga kembang jauh. Kembang dalam kebun R&R.

Amaryllis saya ada 6 jenis variety dan warna tapi cuma dua jenis ini saja rajin berbunga. Yang empat lagi masih bertapa dari musim panas sampailah ke musim hujan. 

Portulaca pun tiada tempat di laman depan. Bila berjauhan kurang perhatian. Begitulah jadinya. Koleksi lebih dari 20 jenis warna sudah mengurang lebih dari separuh. Serangan kulapuk/fungus  dan lebihan air telah merosakkan, mereput  dan seterusnya mati tanpa sempat di replant.

Tahun ini pula kupurama kembali berpesta dan membiak sebebasnya. Boleh kata seluruh sayuran dan pokok bunga saya jadi perumah anak kupurama. Saya tidak pernah meracun. Tak larat jugalah  nak mengutip  buang ulat.

Memandangkan sekarang  bulan puasa,  jadi saya  abaikan kegemaran  merakam aksi gembira mereka sebab tak larat nak mengejar nanti kering kerongkong. Cuma snap apa yang ada depan mata saja..si Blue Pansy paling banyak mendominasi kawasan rumah.

Seperti portulaca, vinca juga banyak yang mati  sebab terlebih air. Untuk galakkan dia berbunga saya terpaksa tempatkan  mereka diluar walau terpaksa mengambil risiko di makan Che Kam. Di dalam pula cahaya tidak mencukupi.

Morning glory yang masih bersisa. Saya hilang hampir 10 jenis warna yang lain...frust juga tapi fitrah alam tidak dapat kita halang...

Gambar dulu-dulu. Trellisnya pun dah arwah. Seronok kalau dapat tanam semula secara terbuka begini..terhidang cantik depan rumah...namun sekarang adalah zaman kegemilangan Che Kam jadi hajat terpaksa dipendamkan. Saya plan untuk dirikan  pagar kayu luar rumah  tapi mungkin budget tahun hadapan.

Sebenarnya lama sudah berhajat  nak upgrade laman tapi masalah baru pula timbul. Berebut tempat pula dengan Cik hubby. Dia dengan burung-burungnya banyak merampas ruang terhad saya untuk membunga.  Terpaksa mengalah walau tak puas hati....sebab dulu dah janji ruang depan tu semuanya untuk bunga saya....

Tapi lelaki kan suka nak menang...jadi menanglah dia dan saya terpaksa berkongsi ruang...Ohhh...saya memang tak suka bila tahi burungnya banyak jatuh atas daun..bertapuk..siap dengan baunnya lagi....

Alah..kongsi tempat ja...itulah ayat dia...tapi saya selalu cakap abang tu pendatang..mana aci. Awal minggu bulan puasa saya beli lagi rose baru bila terserempak di market. 

Biasalah saya, hati mudah cair...bila hubby pun senyum saja tak rungut2...saya ambilah dua pokok..

Tapi yang ini dah hampir sepuluh hari tak mahu kembang kudupnya..rasa ralat lah juga

Jadi saya buka kelopaknya cara paksa...setakat ni saja kembangnya..mmmh!

Bunga baru juga..beli sebelum puasa. Puas la nak mengatur pasu.  Alih sana alih sini. Serba tak kena. Laluan tak boleh padat nanti tuan burung tersepak pasu sebab mata dia melangut ke atas saja...

Gambar lama. Dalam hati sentiasa rindu nak biarkan pokok-pokok saya open air macam dulu. Berkembang meriah setempat. Tiada gangguan Che Kam segala. Bebas nak gantung dan letak pokok kat mana pun. Sampai tinggal lorong kecil pun tiada siapa nak komen...atau tersepak pasu..Mmmm..lambatnya nak tunggu setahun lagi...biarlah saya berangan dulu....

OK kawan-kawan, selamat berpuasa. Take care..hapyy blogging & happy gardening!

Thursday, 29 January 2015

Bunga dan Musim Kemarau - 1

Sekarang musim kering/kemarau sudah melanda di tempat saya. Sudah hampir tiga minggu hujan tidak turun. Kawasan padang rumput yang menghijau sudah bertukar warna. Saya agak risau dengan situasi ini kerana ini bermakna kelompok Che Kam akan beralih kepada pokok-pokok saya seratus peratus sebagai ganti rumput yang makin mengering. Banyak pokok-pokok dilaman homestay yang tidak dapat menahan terik mentari, menjadi layu dan mati. Menjadikan laman ini separuh kosong.

Musim kemarau juga menyaksikan kembalinya kupurama kelaman homestay. Walaupun cuaca kering namun masih ada lagi bunga-bunga yang tahan lasak berkembang segar  menarik unggas cantik ini berterbangan untuk menghisap madu.

Saya perasan ada seekor kupurama jenis baru  dengan corak dan warna yang begitu menarik melawat pokok kemuning saya. Agak malang saya tidak sempat merakam dengan sempurna, terkejut dengan kehadiran, dia cepat-cepat terbang lari. Saya berharap satu hari nanti dia datang lagi..

Walaupun mengharap kupurama tadi  melawat lagi, namun dalam masa yang sama saya  mulai risau dengan kembalinya  mereka kesini kerana ini bermakna  akan ada ulat-ulat yang memakan bunga dan daun. Lihat bunga Zinnia di atas, sudah ada yang bersarang dikelopaknya.

Bunga-bunga dilaman homestay adalah yang paling terdedah dengan cuaca ekstrim ini. Yang paling banyak mengering ialah pokok Torenia. Namun cosmos green lime  berlapis pemberian dari Julie M kelihatan segar berkembang tanapa sebarang masalah.

Cosmos yang berasal dari Amerika Latin ini bersaudara dekat dengan Ulam Raja yang memang terkenal mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan bagus untuk makanan kesihatan.

Ceria dalam panas terik.

Ini pula Daisy Butter. Bunga Peace.  Itu nama yang saya kenali pada zaman 70an dulu ketika mu;la-mula menanamnya. Namanya di gelar begitu kerana ia sering dijadikan pelekat dan ikon lambang keceriaan pada zaman hippies melanda.  

Saya memang suka sangat bunga comel ini. Agak lama juga ia hilang dari koleksi. Pemberian dari seorang kawan, kini saya mula menyemai benihnya untuk menceriakan taman. Daisy Butter kini sering dijadikan tanaman landskap.

African Marygold. Jenis  ini saja yang masih tinggal. Manakala tiga lagi jenis Dwarf French Marigold saya sudah pun putus benih.  

Berasal dari Mexico dan Guatemala, bunga  ini juga dikenali panggilan tempatan sebagai bunga Tahi Ayam. Walaupun berbau busuk tapi saya tetap menyenanginya kerana ia rajin sekali berbunga.

Termasuk dalam senarai paling tahan panas adalah bunga Satay ataupun bahasa botaninya Angelonia.

             
Juga berasal dari Amerika Latin, bunga ini sering dijadikan pokok pilihan untuk taman ala Inggeris. Dirumah, saya menanamnya kerana bunganya yang cantik,comel dan berbau masam manis, bukan kerana konsep.

Angelonia kedua saya. Berwarna pink belacan. Masih mencari lain-lain warna untuk disatukan.

Si Biru Brazilian Snapdragon, sangat cantik dan amat tolerate dengan terik matahari. Bunga ini sentiasa ramah berkembang setiap hari tanpa terkesan pun. 

Cantik kalau ditanam dalam kelompok yang banyak.

Mengakhiri kisah, RJ jenis baru yang di beri oleh adik saya, membesar cepat dengan suburnya. Saya letakmya ditempat yang tidak diterjah cahaya panas sepanjang hari. 

 Rare? Begitulah katanya. Pun pemberian dari adik. Manakala dua lagi jenis RJ rare mati gagal diselamatkan. Memandangkan bumi homestay sudah lama tidak disimbahi hujan, saya telah mengambil keputusan untuk membuang mana-mana pokok yang layu. Kecilkan kuota tanaman dan siraman. Begitulah yang mampu saya buat dimusim kemarau ini. Moga di musim yang seterusnya saya dapat meriahkan  laman ini kembali.

Monday, 27 October 2014

Pantai Dan Isi Alamnya.

Ke pantai..? Mmmhh! saya pada mulanya agak keberatan dengan ajakkan adik bongsu untuk kesana. Saya masih dalam mood letih kerana baru selesai mengadakan majlis kenduri aqiqah cucu sulung pada sehari sebelumnya. Sebenarnya berkelah di pantai bukanlah kesukaan dan pilihan. Hakikatnya saya tidak suka mandi laut  kerana selalunya cuaca panas laut amat kering dan saya tidak begitu selesa dengan air masin dan rasa melekit di kulit. Lainlah kalau memancing dan mencari siput, itu hobi saya...Pun begitu saya begitu suka melihat pantai, ombak, cengkerang dan kulit siput...

Tahun ini adalah untuk yang pertama kali saya berkelah di pantai...rasanya bagus juga sekurang-kurangnya saya boleh mengambil gambar. Lari sedikit dari cerita bunga. Pantai ini terletak dalam kawasan hutan dan perbukitan.

Waktu kami sampai sudah ramai orang bermandi manda di laut. 

Tidak buang masa saya terus klik dimerata tempat. Ini  batu kelikir  kecil yang terletak disatu sudut.

Air pasang. Walaupun pantai kelihatan bersih tapi banyak daun-daun kering terapung-apung didalam air  dipukul ombak  ketengah dan ketepi.

Pandangan indah dari hujung pantai yang dipenuhi dengan batu-batuan.

Jernihnya air.

Saya mencari-cari kulit siput dipantai tapi tidak jumpa kecuali yang ada ketam angin kecil ini. 

Bila saya mahu mendekatinya terus dia lari masuk lubang.

Mmm..tengok masih ada juga cerita bunga walaupun dalam episod pantai.

Morning Glory atau kangkung pantai. Asal saja namanya begitu, mestilah menjadi bunga favourite saya. Tumbuh dan berbunga cantik di pinggiran.

Gugur sekuntum dari kelompoknya, tidak tahu apa nama. Bunga putih bertompok merah ditengah ini cukup harum baunya. Seakan-akan bau bunga kemboja. 

Landscape pantai ini cukup indah dan dipenuhi dengan kepelbagaian bio. Kelebihan terletak dalam hutan yang tertua, banyak pokok-pokok yang berusia ratusan tahun masih lagi kelihatan utuh berdiri.

Mata saya terpikat pada pokok yang menjalar dalam lubang di batang pokok.


Tumbuhan ini pun tampak selesa tumbuh di pasir bergaram.

Kayu nan sebatang....

Teruja melihat batu-batuan yang terdampar di hujung pantai ini. Pelbagai corak dan pelbagai warna. 

Hakisan air dan angin telah membentuk lubang-lubang kecil yang begitu artistik.

Antara yang saya jumpa. Suka lihat garisan kontor yang terbentuk.

Karang mati yang dipukul ombak ketepian.

Lopakan yang terbentuk oleh hakisan. 

Dan apa yang membuatkan saya cukup-cukup terkejut ialah bila menemui kupurama cantik ini sedang berehat di atas pasir. Ohhh...kat sini pun ada dia....Saya berdoa-doa dalam hati. Bukalah sayapmu...

Satu..dua...tiga...Ohhh...dia dah buka sayapnya! Cantiknya warna, Biru firus.

Tuhan itu maha kaya kerana  menemukan si biru firus ini disini padahal masa musim panas yang lalu saya gagal untuk mengambil gambar kupurama yang sama jenis ini di laman rumah. Terima kasih kerana tertunai juga hajat.

Jadi...sekarang apa masalahnya ke pantai..? Saya mula dah jatuh cinta..dan mencongak-congak pantai mana lagi yang ada...