Monday 20 March 2017

Sayur Musim Kemarau

Musim kemarau tahun ini tidak lah seteruk dan sepanjang musim kemarau tahun yang lalu. Namun bahang panasnya tetap sama membara. Jika di tanya, ya saya sangat  suka musim kemarau kerana pada waktu ini banyak bunga akan berkembang. Warnanya lebih terang dan ceria. Sayuran pun tetap menghijau tidak terjejas lansung. 

Janji rajin siram saja. Pokok  akan menghijau seperti biasa. Gambar ini saya ambil kelmarin. Rose Jepun & Torenia mendominasi seluruh ruang kebun. Hidup sihat bersama sayuran yang lain.

Musim  ini juga  saya berlebihan sedikit untuk kebun R&R. Saya beli selori tanah untuk meyemai pokok-pokok yang saya beli dan juga untuk tapak tanaman sayuran saya. Tapak kebun ini adalah tanah  tambak laut yang dipenuhi batu batan  tidak bernutrisi. Jadi untuk menggemburkan tanah saya harus  campurkan dengan sekam bakar dan kompos buatan sendiri. Jenuh juga kalau nak membeli tanah peket. 

Petak sayuran dari kayu terpakai ini saya tempah dengan harga RM10 satu. Agak kecewa. Tidak seperti yang diminta. Ketinggian papan tidak sampai pun sepuluh inci. Jadi saya terpaksa lapik tapak ini dengan bata untuk lebih tinggi

Petak ini juga harus di lapisi plastik jika tidak rumput akar serabut akan memenuhi setiap ruang tanah dalam tanah semaian.  Penat juga nak merumput seluruh kebun. 


 Sebulan lebih, ini hasilnya. Dwarf pak choy dari petak pertama yang saya buat sendiri. 

Kailan Hongkong.

Salad Butterhead.

Salad Mascara.

Zucchini kuning. 

Sawi bunga

Sawi hijau kampung.

Yang montok tu sawi putih.

Timun menumpang panjat dipokok terung belanda.

Kohlrabi ungu. Percubaan pertama. Sudah nampak ketulan ubinya. 

Manakala buah kundur ini saya biarkan bergantungan di pagar kebun. Buah ini menjadi sumber pendapatan kebun bagi me nopap bil air. Mmm..bagus juga tanam dia. 

Tapi langit tidak selalu cerah....malam semalam dan hari ini hujan turun dengan lebatnya.  Kebanjiran sudah kebun R&R saya. Mungkinkah musim panas sudah berakhir. Pagi tadi pun saya tengok banyak sudah  kupurama kecil berterbangan dikebun setelah hampir tiga bulan menghilang. 

Masa memeriksa air dikebun, dua beranak ni tergedik-gedik mengekor saya tapi dek kerana air membanjiri dan deras masuk kelongkang,,,,.berlegar di tepian sajalah. Depa berdua ni memang takutkan air. Setakat ini dulu cerita kebun saya, Masih ada beberapa sayuran baru yang sedang  membesar. Lain hari kita tengok hasilnya. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!




Thursday 9 March 2017

Plain Coreopsis / Coreopsis Tinctoria

Musim panas tahun ini menyaksikan bunga-bunga dari benih yang saya semai tahun lepas dan awal tahun ini telah berbunga. Rata-rata di beli secara on line dan boleh dikatakan semuanya berasal dari luar dan tanah tinggi. Kadang-kadang rasa serik juga menunggu hasil dari biji benih ini. Puas menunggu apa lagi kita ini tidak pernah menanamnya sebelum ini. Cuma tengok gambarnya sahaja. Namun bila ia berjaya berbunga...wahhh, tak dapat nak cakap...happy!

Ini dia kelompok coreopsia pertama saya yang kembang. Tahan panas sebab itu saya memilihnya. 

Bunganya mirip bunga cosmos atau ulam raja hiasan mungkin kerana mereka dari famili yang sama..asteraceae.

Ketika ini umurnya sudah dua bulan tapi masih belum mahu berbunga. Daunnya sangat subur bak sayur. dan juga beraroma. Info yang diterima dari rakan fb, ia mengambil masa dari 5 ke 12 bulan untuk berbunga. Setahun? Aduhai...tak sukanya dengar...

Namun bulan berikutnya putik-putik bunga telah muncul dan melenyapkan rasa kecewa saya. Jadi benih saya ambil 3 bulan sahaja untuk berbunga.  Suka. 

Sudah meriah berkembang.

Berjaya juga saya. Nanti bila bunga kering saya mesti cepat kumpulkan benihnya untuk tanaman semula. Jika putus benih,  terpaksa beli lagi. Untuk tidak suka penantian dan kerja remeh menyemai benih, membeli bunga pekej siap adalah pilihan yang tepat.

 Kadang-kadang memang tidak berbaloi jika cuma mendapat sekuntum bunga dari sebatang pokok setelah berbulan dalam penantian. Namun bagi orang yang jiwanya seperti saya sebiji benih menjengul dari balik tanah pun sudah cukup menjadi satu kepuasan. 


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!