Hari ini panas terik. Berminggu sebelum itu hujan, berangin dan sesekali ribut melanda tempat saya. Tahun ini memang banyak sekali hujan turun. Saya tercari-cari bunga apa nak diceritakan minggu ini. Pilih-pilih saya mahu bunga ini ...Marygold atau sangat dikenali dengan nama Tahi Ayam untuk panggilan setempat.
Ini adalah satu-satunya Marygold terbesar yang pernah saya tanam. Mungkin kerana faktor hujan lebat telah menghanyutkan butir-butir baja sayur kepangkal pokok tersebut lalu ia jadi subur begini.
Bila meriah berbunga semua orang tengok suka walaupun hakikatnya baunya tidak disukai dan jarang menjadi pilihan. Jenis ini sangat lasak dan benihnya mudah dicambah.
Dua bulan lepas saya beli benih online dari rakan fb. African Marygold. Ini bunga sulung. Sangat puas hati dapat jenis ini. Besar dan cantik. Warnanya pun sangat pekat memikat.
Tapi saya terpaksa letakkan di kebun saja. Sayang tak boleh nak ceriakan dilaman depan takut Che Kam makan.
Untungnya dalam satu peket saya dapat tiga jenis bentuk kelopaknya. Semua bunganya bersaiz besar.
Sejenis lagi...
Ramai tidak tahu sebenarnya bunga Marygold ini eluk di tanam di kebun sebagai 'companion plant'. Bunga ini dapat menghindari beberapa jenis serengga atau parasit tertentu didalam tanah yang bertugas merosakkan akar dan keseluruhan pokok terutamanya pokok-pokok sayuran.
Selain itu bunga ini juga mempunyai nilai herbanya sendiri. Dikatakan dapat menyembuh beberapa jenis penyakit yang mungkin kita tidak pernah tahu dan menduga. Sila rujuk khasiatnya di blog ini.
Sekarang saya tengah teruja nak mengumpul kembali jenis-jenis marygold ini. Beberapa tahun dulu saya juga ada menaman dari jenis dwarf . Malangnya seperti biasa saya alpa maka pupus terus pokok-pokok tersebut.
Yang dah pupus termasuklah dari jenis French Marygold ini. Saya beli benihnya di pasaraya saja..murah harganya masa tu.
Marygold jenis dwarf ini lebih mudah ditanam dengan keratan batang tapi saya kurang tahu waktu itu. Manakala benihnya tidak lansung mahu bercambah.
Sebahagian lagi...pupus.
Yang paling saya sayang. Marygold White Kilimanjaro. Besar bunganya. Siput makan habis.
Banyak sudah saya beli benih, ruginya saya kadang-kadang tidak pernah berlajar dari kesilapan. Patut ada sedikit info sebelum mahu menanamnya jadi sekurang-kurangnya kita tahu dan sempat membiaknya sebelum pokok itu mati atau pupus. Marygold yang besar gedabak pokoknya tu dah tumbang dan melayu masa ribut baru-baru ini.
Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!









