Thursday, 19 November 2015

Kitchen Garden: Roselle

Merupakan pokok buah yang mudah ditanam dan menjanjikan hasil walaupun tumbuh tanpa sebarang penjagaan. Tahan dalam sebarang cuaca. Nama botaninya ialah Hibiscus Sabdariffa L. 
Semasa kecil saya mengenali buah ini sebagai asam paya. Buah dan daunnya lebih kecil. Manakala kelopak kaliksnya kontot tidak panjang. Walaupun membesar di kampung tetapi saya tidak pernah lihat orang memanafaat pokok ini dari segi apa pun. Malah tumbuhan ini selalu ditafsir sebagai tumbuhan liar dan buahnya  tidak disukai mungkin kerana rasa masamnya. Di bawah ialah gambar asam paya kampung. 

Masuk tahun 80an, roselle telah diperkenalkan di kampung saya namun kami memanggilnya buah ribena. Pokoknya gaban besar. Nama roselle masa itu belum muncul. Ketika itu barulah tahu asam paya kampung  bersaudara dengan roselle. Pertama kali saya minum jus roselle  ialah pada umur 16 tahun. Pada waktu tersebut juga baru merasa asam pedas pucuk ribena dengan ikan puyu. Arwah mak masak.

Semenjak itu roselle di majukan oleh kementerian asas tani dan produknya di komersilkan dalam bidang pengindustrian   berasaskan  minuman, makanan sehinggalah ke produk kecantikkan, kesihatan, farmaseutikal juga industri ternakan, gentian dan kertas. Roselle juga terdiri dari beberapa variety dan bentuk. Gambar di atas menunujukan 3 siri bentuk buah roselle yang pernah saya tanam.   

Info baru bagi saya..roselle putih. Kawan post dalam fb. Ada juga roselle berbintik. Menariknya roselle putih dikatakan dapat mengurangkan obesiti ( Harian Kosmo ) Walaupun bermanafaat untuk penyembuhan pelbagai penyakit namun tanaman ini lebih popular dengan isian jusnya yang kaya dengan vitamin C, A dan zat  mineral.

Di rumah, roselle adalah tanaman tetap  kitchen garden. Sumber vitamin C yang paling murah dan segar. Lebih C dari citrus, anggur dan blackcurrent. Mmm...saya tidak boleh terlebih asam. Perut sensitif...tapi ada cara lain untuk menikmati rasa dan menghirup khasiatnya.

Saya buat kek roselle, buahnya tengah meranum. Terus terang cakap, saya  tidak mahir bab2 kek & pastri ni. Resepi pun adaptasi dari kek oren.

Bila siap, kek saya berubah warna. Coklat sebam kebiruan. Warna terbentuk  dari campuran kuning adunan tepung dan merah pati roselle. Hurmm...tak apalah, bukan nak masuk TV, masuk perut. 

Sesekali ambil pucuknya buat asam pedas dengan ikan. Boleh juga campurkan dalam tomyam, lemak cili padi atau sayur serai. Bagi yang rajin & kreatif boleh mencuba resepi baru. 

Beberapa hari lepas saya buat jem. Buah yang saya tanam kali ini jenis besar dan bersari. Kawan cakap roselle Morocco. 

Sedap makan panas-panas dengan lempeng..

Lebih simpan dalam botol. Boleh di makan dengan roti. Pokok ini juga sesuai ditanam dalam pasu. Dalam 3-5 bulan sudah boleh menuai buah. Sangat berbaloi untuk kesihatan sebab itu di beri jolokkan - pokok sekuntum bunga sejuta khasiat. Ayuh, mari memetik vitamin C dihujung jari.
Happy Gardening!




Monday, 9 November 2015

Organik Plant Booster - DIY

Sudah dibaja, sudah disiram..sudah digembur tanahnya tapi kenapa tanaman kita masih tidak mahu berbunga atau berbuah? Daun kekuningan dan pokok tidak bermaya..Pernah tak anda mengalami keadaan seperti ini?  Mesti pernahkan. Sebab itu minggu ini kita cari ubatnya...plant booster. Secara ringkasnya plant booster ialah penggalak tumbesaran dan kesuburan semulajadi tumbuhan.

Iaitu gabungan bahan-bahan  semulajadi yang melalui proses permentasi bersama mikroorganisma yang ada didalamnya berperanan merawat tumbuhan, tanah seterusnya merangsang  tanaman menyerap nutrisi dan baja untuk pembesaran. Oleh itu simpan kulit telur, bawang dan pisang. Buat sup! Tiga kulit ini amat berkhasiat dijadikan plant booster.  Bebas kimia lagi. Saya memilih   kaedah yang paling mudah dan tidak melalui proses pemeraman.

Rebus ketiga bahan setengah jam. Sejukkan dan blender. Siram di pokok. Sisanya boleh diletakkan di sekeliling pokok. Kulit telur ada kalsium. magnesium fosforus, iron sulfur. Boleh neutralkan asid dan meningkatkan kualiti tanah dan  pembentukkan akar. Pisang kaya kalium / potasium, fosfor penting untuk mengalakkan bunga dan pembuahan. Manakala kulit bawang pula  merangsang pengeluaran hormon, pucuk dan tunas baru. Cara lain penyediaan. Kulit telur & pisang di bakar, tumbuk kasar dan blender sampai halus. Boleh disimpan lama untuk bahan tabur.

Bunga rose saya mendadak subur dengan sup di atas. Sepatutnya saya ambil gambar sebelum dan selepas penggunaan baru boleh lihat dengan jelas hasilnya.  Tapi terlupa dan tidak sangka ia begitu cepat bertindak dan berkesan.

Bunga dari pucuk baru yang tumbuh. Tinggi menjulang. Walaupun begitu harus di ingat plant booster bukanlah baja, jadi pembajaan berjadual mesti dilakukan seperti biasa juga. Kulit udang, tulang dan air ikan juga bagus untuk pokok ini.

Ini pula nasi lebih yang dibiarkan basi dan berkulat putih di atasnya. Blender dengan air beras. Siram di pokok. Jadi jangan buang  nasi basi ya..sebab ianya mengandungi banyak bakteria berfaedah yang berpotensi mengembur bahan-bahan organik dalam tanah. Hampasnya boleh di tanam pada pokok besar. 

Sama fungsinya seperti di atas, Roti expired. Caranya: sekeping roti sandwich di carik halus masukkan dalam botol mineral 1.5 ml yang telah disi dengan air hujan / air tanpa klorin. Peram empat hari. Tapis sebelum guna. Kesannya pokok cepat subur. Dalam masa seminggu boleh lihat keberkesanannya. 

Thunbergia Black Eyed Susan. Gambar berbunga semasa seminggu penggunaan. Sebelah kanan masuk dua minggu. Pucuk dan daun merimba semula..

Pokok timun saya cabut sebab sudah tua dan daun pun kuning. Tinggal sepokok ini buat eksperimen. Gambar kedua hari kelima guna air roti. Daun mulai kehijauan. Seminggu lebih pucuk baru pula  tumbuh. Subur sangat. Lebih subur dari mula-mula tanam. Siap keluar buah lagi...

Torenia masa beli merimbun kemudian mulai mereput. Saya kerat sampai tinggal sikit. Siram air roti tiap minggu. Hasilnya rimbun balik. Penuh berbunga. Sukaa...

Daun morning glory kembali menghijau...pergola dah patah, Che Kam panjat 3 kali. Roboh terus.

Carolina Jasmine..yang saya menyesal membelinya satu waktu dulu..kembali berbunga. Kuntumnya pun lebih besar kali ini. Saya siram air sup. Wangi bunga dia...macam bedak baby Johnson!

Kali kedua berbunga setelah setahun lebih bertapa rasanya. Makan sup bawang juga..

Paling best jambu merah tut ini. Waktu sampai dekat saya habis patah riuk. Kotak pun terpenyek dan
basah lencun. Saya ingat 50-50 hidup pun..

Setiap minggu saya bagi sup kulit dan air roti berterusan. Berselang seli dengan baja. Beberapa bulan kemudian, hasilnya macam dalam gambarlah! Ranting yang patah pun sembuh. Buah berketul naik. Daun besar menghijau..pokok pun dah tinggi...

Inilah hasil penggunaan dari penyediaan mudah dan ringkas plant booster ini. Semuanya dari sisa makanan yang sudah expired. Walaupun ada banyak lagi cara penyediaannya, tapi saya lebih suka memilih tiga cara yang mudah ini. Selain baja plant booster ini benar-benar membantu menyuburkan pokok. Saya sudah, Kawan-kawan?
Ayuh, mari mencuba!
Happy gardening!















Monday, 2 November 2015

Senduduk/Keduduk - Melastoma Malabathricum

Pertama kali tengok keduduk blue velvet ini pada sekitar tahun  2005. Pokok ini dijadikan tanaman lanskap di apartment  kami bermalam semasa cuti bersama keluarga. Arwah emak masih ada waktu itu. Pertama kali tengok hati terus saja jatuh cinta...cantiknya...keduduk biru keungguan ....

Selepas itu saya mula tercari-cari pokok ini. Malangnya,   saya tidak pernah berjumpa keduduk hiasan ini  dijual di nursery setempat.

Tapi kalau keduduk hutan ini selalulah  ditemui di mana-mana. Terutamanya dalam semak atau dipinggiran hutan dan bukit. Saya rasa semua orang kenal dan pernah tengok pokok ini. Walaupun kelihatan terpinggir namun pokok ini bermanafaat dan mempunyai khasiat perubatan.

Keseluruhan pokoknya  bermula dari pucuk, batang, buah hinggalah ke akarnya semuanya berfungsi sebagai ejen penyembuhan. Daun, akar, batangnya  boleh dijadikan mandian  untuk wanita lepas bersalin dan juga diminum untuk memulihkan sistem dalaman peranakan dan juga buasir. Pucuknya yang muda boleh dijadikan ulam  untuk. cirit birit, Manakala daunnya yang kering boleh merawat keputihan jika direbus bersama dengan halia, bonglai  dan sedikit gula. Untuk menghilangkan kesan parut terutamanya cacar /campak giling akarnya bersama daun dan tampal dibahagian bermasalah. 

Ini buahnya yang matang. Masa mengambil gambar ini saya tercari-cari buah masak tetapi tidak berjumpa. Teringin nak makan semula. Sudah berpuluh tahun saya tidak menikmati rasa buah ini. Di katakan air perahan buahnya yang masak mampu melegakan luka yang berdarah. 

Kenangan terindah. Tersenyum bila dikenang. Makan buah masaknya masa zaman kecil dulu.  Inilah antara buah liar hutan yang menjadi makanan budak kampung sezaman saya. Berebut bila jumpa. Bukannya sedap sangat pun. Habis biru hitam gigi dan lidah.  Sebab warna tersebutlah keduduk mendapat nama botaninya iaitu melastoma yang bermaksud mulut hitam dalam bahasa Greek. Airnya yang bersifat kelat dan agak masam ini juga boleh dijadikan sebagai bahan pewarna.

Selain ungu dan biru, keduduk putih adalah satu-satunya bunga keduduk yang menjadi  buruan dan bernilai dipasaran satu masa dulu. Di buru bukan saja pada  nilai perubatannya, malahan pada aura dan mistiknya yang tersendiri. Banyak  terdengar mitos dan cerita misteri  mengenainya. Antara yang terkenal adalah pencarian untuk mendapatkan batu geliganya. Ramai orang percaya mereka akan mendapat harta karun jika tiba-tiba terjumpa pokok keduduk putih dalam hutan. 

Namun kini  keduduk putih sudah berlambak dipasaran. Sebenarnya tauke nurserilah yang kaya pun....hehee.. Begitu juga dengan keduduk blue velvet ini, Akhirnya tahun ini  bertemu dan  terbeli juga sepokok.

 Saya ingin bertanya, sebelum ini pernah ke tidak kawan-kawan memenafaatkan pokok ini untuk kesihatan. Secara jujur, saya tidak pernah....Seperti biasa fokus saya semata-mata pada kecantikkan. Adakah kita akan memilih alternatif ini bila terdesak cuma...Hurmmm...

Happy Gardening & Happy Weekend to all dear friends!