Sunday, 18 December 2016

Bawang Dayak - Eleutherine palmifolia L. Merr

Siapa pernah tanam & makan bawang ini? Saya masih ingat arwah bapa saya pernah buat sup  dengan ayam kampung. Saya ikut makan tapi malangnya sudah terlupa bagaimana rasanya. Cuma yang jelas di ingatan kuah sup tersebut berwarna merah. Kami tidak menanamnya   kerana ianya bukanlah amalan pemakanan lazim. Bapa cakap boleh jadi ubat. Ubat apa saya sendiri tidak tahu. Ketika itu rasanya saya baru berumur lapan atau sembilan tahun. Lama sangat kan. Berpuluh-puluh tahun yang lalu....

Setelah sekian lama, saya terbaca tentang bawang ini  di grup fb. Katanya dapat mengubati cancer. Teruja sangat jadi saya beli cara online. Tidak silap  RM5.00 sepokok. 

Pokoknya sebiji macam pokok orkid tanah. Satu famili.  Malah bunganya pun sangat cantik dan comel. 

Ini tuaian pertama minggu lepas. Cantikkan. Merah dan besar bawangnya. Bawang ini berasal dari benua Amerika . Melalui perkongsian kawan-kawan fb baru-baru ini  barulah saya tahu rupanya ia mempunyai pelbagai khasiat penyembuhan tradisi. Cara penyediaan samada bawangnya  direbus, dimakan mentah atau di supkan. 

Rupa isinya bila dibelah. Bergarisan kontour yang menarik. 

Closed up. Amalan pemakanan bawang ini dikatakan baik untuk si penyakit gastrik, cancer, batu karang, Hb rendah, muntah darah, kolestrol, gaout, senggugut, atrithis dan jantung sumbat. Orang Cina buat sup dengan ayam untuk buang toksik dan bagus juga untuk penyembuhan luka dalaman. Mungkin ini yang arwah bapa saya maksudkan dulu. 

Namun di Indonesia, mereka lebih mendahului kerana di sesetengah daerah pemakanan bawang ini menjadi amalan harian mereka. Malah  di ladangkan  secara komersil. Bawang ini juga di jadikan serbuk untuk kapsul  atau dikering, jadikan minuman teh.  ( Gambar ehsan google )

Rebusan air yang berwarna merah terang. Nampak sedap macam sirap tapi apa rasanya? Saya belum mencuba. ( Gambar ehsan google )

Tapi yang ini saya cuba. Buat sayur campur. Ini  pun hasil perkongsian dari kawan fb juga. Rasanya sedikit pahit tapi lemak. Tekstunya rapuh. Rasa macam makan ubi keledek  mentah atau kacang. Saya suka.

Bunganya yang comel. Ini yang paling menarik perhatian mata saya sebenarnya. Namun untuk resepi seterusnya saya pasti akan mencuba dalam masa yang terdekat. Sup bersama ayam atau air rebusannya untuk seorang makan. Suami dan anak pasti menolak...


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!



Monday, 5 December 2016

My Tomatoes Cherry

Tomato adalah pokok yang paling senang di tanam dan seperti cili, anak pokoknya kadangkala mudah dijumpai di tepi rumah. Namun begitu pokok tomato saya selalunya gagal berbuah lebat. Itulah masalah besarnya bila menanam pokok ini.

Kalau berbuah pun adalah empat atau lima biji sahaja macam dalam gambar ni.  Pernah juga berbuah sebiji saja sedangkan pokoknya tersangat subur.

Namun saya tidak pernah serik menanamnya kerana pernah satu ketika dulu sekitar 2010, tomato ceri yang saya tanam atas lunggok sampah belakang rumah berbuah lebat. Ini sebahagian ranting yang buahnya sedang memerah. Gambar lama dari camera handphone sekupang saya dulu. 

Setelah bertahun mencuba akhirnya menjadi juga tomato ceri saya kali ini. Tapi jenuh juga nak kekalkan bauh masak di pokok. Puas berpesan pada anak sebab dia suka makan buah muda. 

Sedangkan saya suka makan buah masak. Ini tuaian pertama. 

Saya biasalah, suka makan mentah cara begini. Sebagai pengganti daun salad saya campurkan bayam Brazil segar bersama  sayuran lain. 

Menurut rakan saya, kebanyakan pokok sayuran dan bungaan sudah di patenkan jadi benihnya samada tidak ada atau kalau ada pun, bila ditanam tidak akan menjadi seperti yang kita harapkan. Sebelum ini benih tomato saya adalah dari buah yang saya beli di pasar. Jadi untuk mendapatkan hasil yang baik saya beli on line benih tomato  ceri anggur. Subur pokoknya dan sudah mulai berbuah.

Mmmm...nampak. Sebiji saja setangkai. Tak jadi bergugus macam anggur pun. Ke awal lagi....atau benih F1 pun tak menjanjikan buah yang lumayan juga...kena tunggu dan lihat lah...


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!



Tuesday, 22 November 2016

Buah Kundur - Wax Gourd

Saya mula menanam pokok kundur awal tahun ini di kebun R&R. Benihnya saya dapat dari buah yang di beri oleh seorang rakan. Selain labu sebenarnya kundur adalah antara sayuran berbuah yang boleh disimpan lama. Orang dulu-dulu selalunya berpantang larang dengan kundur ini kerana sifat sejuknya, Masakan tidak kerana isi kandungan airnya ialah 97%. Walaupun begitu ia tetap mempunyai manafaat tersendiri untuk penyembuhan tradisi. Lazimnya orang-orang Cina menggemari buah ini dam mereka memasak dengan campuran herba mereka sendiri. 

Ini buah sulung tanaman kundur saya di kebun. Pokok saya biarkan merayap di atas tanah. Cuma dua biji saja buahnya. Ini yang tebesar. Saya berniat nak buat kenduri untuk harijadi cucu yang ke tiga tahun.

Akhirnya bulan Ogos baru majlis berlansung ( harijadi sebenarnya jatuh pada bulan puasa ) Kerana sibuk di dapur saya tidak sempat merakam majlis yang meriah ini. Gambar ini  ibunya yang rakam dengan hphone. Tidak berapa terang. Apapun niat untuk buat kenduri kundur telah tercapai. Masak dalca dengan ayam. Semua orang dapat makan. Alhamdulillah.

Hampir empat bulan majlis berlalu inilah hasil yang saya dapat dari biji buah sulung. Biji ini tumbuh sendiri di pangkal pokok limau purut belakang rumah. Membesar cepat dalam musim hujan saya tidak ambil tahu langsung pasal pokok ini kerana saya tidak menanamnnya. Hinggalah pada satu hari saya mendongak baru perasan. Ada lapan biji semuanya dan pucuknya masih terus mengeluarkan putik baru.

Berkongsi ranting dengan limau purut yang tengah membesar. Jadi betul lah orang cakap, kalau tanam pokok jenis labu atau kundur ni biarkan saja begitu. Jangan ambil kisah sangat. Lagi banyak dia berbuah. Patutlah pokok yang dibelai di kebun naik dua biji saja. Sebab dimanja kut.

Teruja saya melihat buah yang bergayutan. Buah ni harus dikendurikan kerana saiznya yang besar sedangkan keluarga saya kecil sahaja.

'Berkelah' pertama saya buat masak lemak. Sebiji lagi saya buat pajri esuk harinya dan agihkan kepada jiran juga
 
Selang beberapa hari petik pula dua biji. Kawan-kawan suruh masak pajri sekali lagi untuk berkelah makan malam.  Makan dengan ikan gelama kering. Sepanjang minggu ini kiranya saya dan kawan-kawan kejiranan  berpesta kundur lah..... lagipun saya selalu kena bahagian masak sayur & s ulam.

Untuk sendiri saya lebih suka sayur air yang begini. Semangkuk besar boleh habis. Mujur setakat ini kesihatan baik. Tidak kena angin dan sakit urat. Antara produk kundur yang paling saya suka ialah minumkan airnya. Sedap. Segar dan wangi. Manakala satu lagi tentulah halwa kundur. Semua orang pasti tahu. 

Masih ada beberapa lagi kundur di puncak pokok limau cuma ini sebiji sahaja yang berjuntai kebawah dan tercapai tangan, . Saya teringin sangat nak buat halwa kundur. Google internet tapi tiada satu resepi yang lengkap. Saya berharap kawan-kwan yang tahu akan membantu dan share resepinya disini. 



Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!











Wednesday, 2 November 2016

Marygold

Hari ini panas terik. Berminggu sebelum itu hujan, berangin dan sesekali ribut melanda tempat saya. Tahun ini memang banyak sekali hujan turun. Saya tercari-cari bunga apa nak diceritakan minggu ini. Pilih-pilih saya mahu bunga ini ...Marygold atau sangat dikenali dengan nama Tahi Ayam untuk panggilan setempat.

Ini adalah satu-satunya Marygold terbesar  yang pernah saya tanam. Mungkin kerana faktor hujan lebat telah menghanyutkan butir-butir baja sayur  kepangkal pokok tersebut lalu ia jadi subur begini.  

Bila meriah berbunga semua orang tengok suka walaupun hakikatnya baunya tidak disukai dan jarang menjadi pilihan. Jenis ini sangat lasak dan benihnya mudah dicambah. 

Dua bulan lepas saya beli benih online dari rakan fb. African Marygold. Ini bunga sulung. Sangat puas hati dapat jenis ini. Besar dan cantik. Warnanya pun sangat  pekat memikat.


Tapi saya terpaksa letakkan di kebun saja. Sayang tak boleh nak ceriakan dilaman depan takut Che Kam makan.

Untungnya dalam satu peket saya dapat tiga jenis bentuk kelopaknya. Semua bunganya bersaiz besar.

Sejenis lagi...

Ramai tidak tahu sebenarnya bunga Marygold ini eluk di tanam di kebun sebagai 'companion plant'. Bunga ini dapat menghindari beberapa jenis serengga atau parasit tertentu didalam tanah yang bertugas merosakkan akar dan keseluruhan pokok terutamanya pokok-pokok sayuran. 

Selain itu bunga ini juga mempunyai nilai herbanya sendiri.  Dikatakan dapat menyembuh beberapa jenis penyakit yang mungkin kita tidak pernah tahu dan menduga. Sila rujuk khasiatnya di blog ini.

Sekarang saya tengah teruja nak mengumpul kembali jenis-jenis marygold ini. Beberapa tahun dulu saya juga ada menaman dari jenis dwarf . Malangnya seperti biasa saya alpa maka pupus terus pokok-pokok tersebut. 

Yang dah pupus termasuklah dari jenis French Marygold ini. Saya beli benihnya di pasaraya saja..murah harganya masa tu. 

Marygold jenis dwarf ini lebih mudah ditanam dengan keratan batang tapi  saya kurang tahu waktu itu. Manakala benihnya tidak lansung mahu bercambah.

Sebahagian lagi...pupus.

Yang paling saya sayang. Marygold White Kilimanjaro. Besar bunganya. Siput makan habis.

Banyak sudah saya beli benih, ruginya saya kadang-kadang tidak pernah berlajar dari kesilapan. Patut ada sedikit info sebelum mahu menanamnya jadi sekurang-kurangnya kita tahu dan sempat  membiaknya sebelum pokok itu mati atau pupus. Marygold yang besar gedabak pokoknya tu dah tumbang dan melayu masa ribut baru-baru ini. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!






Saturday, 22 October 2016

Senduduk Putih & Senduduk Biru.

Lama juga mecari senduduk putih ini cuma baru bulan lepas saya terserempak di pasar tani berdekatan perumahan.  Saya berminat bukan kerana  ia mempunyai nilai perubatan tradisional atau kerana dia sering di kaitkan dengan alam mistik dan cerita misteri tapi kerana saya berkenan dengan bunganya yang comel  dan cantik untuk dijadikan pokok hiasan.

Selepas tiga minggu bertukar pasu, putik sulung mula muncul di setiap hujung dahan. Pokoknya pun kecil sahaja,  tidak sangka begitu cepat dia berbunga.

Kembang sudah. Saya tempatkan dia bersama pokok lain berdekatan pintu masuk rumah....hanya selepas beberapa hari selepas itu saya terjumpa info yang agak mengejutkan mengenai pokok ini dalam satu perbincangan di fb. Katanya pokok ini tidak wajar di tanam di kawasan berdekatan rumah kerana ia selalunya menjadi kesukaan makhluk tertentu untuk menumpang.  Di sertai lagi komen-komen oleh mangsa kejadian. Betul ke ni....Eeiii...seramnya....

Kemudian saya beli pula senduduk biru ini di ekspo pertanian semasa balik kampung. Ini abang kandung saya yang belanja. Murah RM10 sahaja. Pokoknya pun besar dan penuh dengan kudup.

Saya harap bila kembang penuh nanti ia akan jadi meriah begini. Membiru. Gambar ini saya ambil di Bukit Bendera awal tahun ini.

Tapi tak menjadi pun...masa mula kembang kelopaknya cepat terlerai bila di sentuh.

Mungkin kerana faktor hujan yang turun berpanjangan. Ini kira bonus dapat ambil gambar dua kuntum bunganya kembang dipagi hari. Yang selebihnya gugur begitu cepat.

Manakala  senduduk pink terang jenis menjalar ini sudah lama menjadi penghuni tetap kebun.  Tiada ruang dan cahaya yang mencukupi untuk gantungkannya di ruang depan rumah. 

Tanpa perlu penjagaan rapi senduduk jenis ini mudah menyesuaikan diri walau di atas tanah yang tidak subur. Setakat ini saya tidak mempunyai info awal mengenainya. Mungkin ada antara kawan-kawan yang tahu boleh kongsi bersama di sini.

 Dalam koleksi terdahulu senduduk ungu terang ini cukup tahan cuaca. Kelopak bunganya sentiasa bertahan dan tidak mudah terlerai walau dalam hujan lebat. Sentiasa meriah berbunga. Namun tidak tahu dimana silapnya, seperti  juga pokok Mandevilla senduduk ungu ini tiba-tiba beransur mati semasa sedang berbunga penuh.

Pun begitu masih ada beberapa jenis warna yang belum saya lengkapi. Antaranya jenis yang dwi color ini tapi belum ada jodoh bersua. Mungkin satu hari nanti. Jujurnya saya menanam kerana suka dan saya harap saya tidak di selubungi misteri dengan senduduk putih yang masih ada di ruang depan rumah....simpang malaikat 44...


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!












Wednesday, 12 October 2016

My Never Ending Story....

Tidak tahu bagaimana mahu mentafsir rasa hati bila masalah yang sama ini bagai tiada kesudahan atau penamatnya...Berbuih mulut bercakap dan kadang-kadang menghamun sesedap rasa tapi keadaan tetap tidak berubah malah makin menjadi dan membiak tanpa jalan penyelesaian yang memihak kepada orang yang seperti saya. Pekebun tegar kecil yang terpaksa bergelut dengan penternak suka hati. So..this is my never ending story ...

Beberapa hari lepas saya sibuk mengambil gambar sayuran & bunga2an di kebun. Maklumlah hujan semedang jadi inilah kerja yang boleh di buat pun. Kelihatan bunga terlebih banyak dari sayur pula.

Cosmos, Angelonia & marygold berlumba-lumba kembang sekebun..

Matahari campak-campak...sepokok saja hidup tapi meriah berbunga...tengok ni hati saya pun ikut kembang sekebun...

Tapi orang kata kebahgiaan tu tak lama..mmm biar saya bermelankolik sikit....Lihat apa yang saya jumpa di pagi Rabu yang dingin ini...dalam simbahan cahaya bening pagi sepasang mata menatap saya dengan penuh kesayuannn.....Zupppp!!! jantung saya seakan berhenti berdegup. Benarkah apa yang kulihat ini. Abannggggg.......

Disasterrrrr!!! Ada se ekor kerbau dengan tali hidungnya  yang masih tersangkut dipukat pagar kebun saya. Dari semalamlah begitu rasanya.   Terpaksalah hubby keluar kelam kabut untuk mengunting tali yang terbelit. Berdepus-depus bunyi kerbau manakala saya dengan hati yang luluh memandang saja dari jauh sambil suruh hubby berjaga-jaga. Takut di sondolnya pula perut.  Sat gi habis set2 baju tidur...pengsan pula kerbau tengok..jenuh!

Manalah tak luluh hati...Tengoklah keadaan pagar kebun saya yang patah riuk ini. Tanah yang lunyai dengan tahi yang bertompok-tompok.

Pokok-pokok bunga sepanjang pagar ini habis terbungkas dan ranap di lanyak. Tu mujur se ekor...

Kalau datang sekawan macam ni...dengan jiwa-jiwa saya habis punah...

Rasanya baru semalam  saja duk tengok thunbergia biru ni berlajar menjuntai...

Angelonia pun...semuanya tinggal kenangan. Bersusah payah saya membangun semula pagar yang roboh secara ala kadar sementara menunggu suami balik kerja dan baik pulih kembali.  Kudrat perempuan tak terdaya nak memasak kayu ke tanah yang keras.

Inilah cabaran terbesar saya bila berkebun. Kalau jiwa & semangat tak kental memang lama dah saya gantung cangkul.

Pemandangan  biasa padang tepi rumah. Puak Che Kam sedang menjamu selera..

Puak Che Mbu...tuan dia yang duk ronda tengok atas motor tu...relax saja lepas lembu masuk kawasan..

Tali dia terbelit di batang pokok nyior jadi  habis pokok daun pandan saya di kendurikan. Orang semua duk dalam rumah. Bila keluar tengok..dah licin pun...sapa nak jawab. Kaspin yang ada tepi tu pun tak boleh buat apa..pandang2 saja...

Pernah beberapa kali   di angkut oleh penguatkuasa majlis tempatan tapi kemudian lepas kembali. Orang kata ada campur tangan politik....begitulah kalau tidak ada intergriti ya...

Habis tu mana tuan dia tak naik lemak. Dia nak heran apa...meronda sakan lagi la Che Kam..

Memang kalau ikut hati yang sakit macam saya nak ketuk hidup-hidup tapi saat melepaskan mereka sayalah pula cepat-cepat ingatkan suami..'tolong jangan pukul bang..depa tu binatang..bukan tau apa...'  Walau nilai kemusnahan yang di alami agak  besar namun pada saya bukan rugi dari segi  wang ringgit yang saya kirakan. Tapi kemusnahan  dari dalam diri saya sendiri. Itu yang lebih parah.

Apabila melihat pokok yang kita belai siang malam musnah sekelip mata. Daun koyak rabak. Batang patah riuk...sakitnya jiwa tuhan saja yang tahu.. Dalam kenangan. Berbelas tahun saya cari rose ni. Sanggup beli dengan harga yang mahal lagi pula bunga feveret arwah ibu tapi sekarang saya sudah kehilangannya setelah berkali-kali direntap oleh Che Kam walaupun berpagar. Sampai saya rasa Che Kam ni adik beradik hantu sebab sentiasa dapat meloloskan diri. 

Walau binatang ini tiada akal tapi kadang-kadang kemulian mereka lebih jelas kelihatan dari tuannya. Kerbau yang dilepaskan tadi beberapa kali berhenti dan menoleh kearah suami dan saya. Mungkin nak ucapkan terima kasih kut sebelum pergi.

 Tak apa, pergilah kerbau saya maafkan & dan halalkan kamu. Memang saya redha dalam sedih dan sakit. Untuk meneruskan hari yang mendatang dengan tenang saya sentiasa cuba bersikap positif dan memaafkan. Cara begitu akan buat saya mudah lupa dan ceria kembali dengan tanaman lain yang masih ada. Hidup akan mudah jika di permudahkan! InsyaAllah.


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!