Seluruh rakyat Kedah bersedih dan dukacita di atas kemangkatan seorang sultan yang sangat di kasihi rakyat, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu 'adzam Shah. Baginda mangkat semalam pada 11hb September 2017. Memerintah Kedah selama 58 tahun dan merupakan sultan Kedah yang ke dua puluh tujuh.. Saya berasa agak ralat kerana tidak dapat menonton berita ini di TV kerana tv rosak dan dihantar untuk dibaiki. Cuma dapat melihat beberapa keratan video di you tube sahaja.
Sepanjang menjadi sultan Kedah ( 14 Julai 1958 - 11 September 2017 ) Sultan Abdul Halim sangat menjadi kebanggaan dan disenangi rakyat. Tiada cacat celanya baginda dimata kami. Sangat di hormati dan disanjung. Sultan yang sentiasa terukir senyum dibibirnya.
Tak dapat tidak saya pasti terkenang kembali setiap memori zaman kanak-kanak. Bagaimana saya adik beradik dan kawan-kawan sekampung membesar dengan saban waktu melihat kereta besar Rolls Royce hitam yang membawanya melalui jalan raya kampung kami untuk kelapangan terbang.
Bagi kami sultan dan permaisurinya Sultanah Bahiyah adalah pasangan di raja yang paling kacak dan jelita ketika itu. Zaman bebudak, kami akan berlari kejalan raya kalau terdengar siren dari polis pengiring. Mesti sultan nak lalu. Ketika itu rumah saya berada ditengah kedudukan Istana Raja Anak Bukit dengan Lapangan Terbang Kepala Batas.
Walaupun ketika itu kami cuma budak-budak kecil yang comot atau belemoih kata orang Kedah tapi baginda akan membalas lambaian kami atau megangkat tangan. Melalui tingkap kereta yang terbuka separuh terlihat senyumanya yang mesra. Itu tanda kasihnya baginda kepada rakyatnya tanpa mengira darjat dan pangkat.
Satu peristiwa bersejarah yang tak dapat saya lupakan ialah bila seluruh orang kampung keluar menyambutnya pulang semula ke negeri Kedah setelah tamat penggalnya sebagai yang di Pertuan Agong ke 5 pada tahun 1975. Kami berbaris di kiri kanan jalan. Dari jauh terdengar siren kemudian bunyi hon dari orang kampung yang bermotor mengiringi baginda di barisan kedua. Polis pengiring di bahagian depan sekali. Kereta baginda di barisan ketiga bergerak perlahan diatas jalanraya. Dari dalam kereta Sultan dan sultanah melambai tangan kepada kami dengan senyuman yang sangat mesra.
Balik pada zaman kecilnya, baginda bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah. Saya juga bersekolah disitu sekitar awal 70an. Sekolah yang sama tapi pada tahun dan era yang berbeza.
Sekolah rendah kami merupakan satu-satunya sekolah rendah melayu yang ada di sepanjang jalan airport ke istana. Dek kerana itu kami selalu menjadi duta kecil mengebar bendera untuk menyambut ketibaan di raja atau rombongan kerajaan. Jadi, siren polis trafik dengan kami dah sinonim sangat.
Baginda juga telah bermurah hati membuka seluruh kawasan taman permainan dan zoo istana untuk rakyatnya beriadah. Saya tidak pasti sejak bila pagar istana dibuka untuk rakyat. Seingat saya dari saya belum sekolah lagi pun kakak dah bawa saya bermain buaian di situ.
Apa yang saya ingat kawasan istana sangat luas, nyaman dan hijau. Lanskapnya dikelilingi oleh sungai utama dan anak sungai. Penuh dengan pokok bunga dan pepohon besar. Istana pula terletak di atas sebuah bukit kecil. Di bawahnya terdapat sebuah kolam ikan kaloi yang luas. Selalu kami memberi ikan makan roti.
Orang yang kampungnya bersempadan sungai dengan istana akan datang dengan perahu. Ketika hari perayaan atau cuti tertentu 'garden' atau taman istana akan penuh dengan orang ramai terutamanya remaja dan kanak-kanak. Tentu orang zaman itu akan ingat sangat...ditempat inilah juga pasangan berdating dan ngorat mengorat.
Namun tarikan utama istana ialah zoo mininya. Sultan Kedah sangat suka membela binatang. Ibu bapa selalunya akan bawa anak kesini untuk melihat monyet, burung kakak tua, burung merak, beruang, burung kasawari, memerang dan pelbagai lagi binatang peliharaan. Masih terbayang dimata rupa rusa tua yang kandangnya terletak di sebelah kiri jalan masuk istana.
Saya juga masih ingat ada satu rumah kayu berpagar untuk menyimpan dan memelihara pokok bunga yang cantik-cantik. Kakak saya akan mengintai-intai cari peluang untuk kidnap. Kalau ada tukang kebun yang baik hati dia akan berusaha memberi sedikit. Itu pun setelah puas kakak merayu.
Sekitar pertengahan 70an kawasan istana rasmi di tutup pada orang ramai. Tidak pasti kenapa. Sesetengah orang berkata untuk langkah keselamatan dan sesetengah orang berkata sultan murka kerana ada yang datang berbuat kelakuan tidak senonoh disitu. Walau apapun sebabnya, sebagai rakyat saya bersyukur dan berterima kasih kepadanya kerana ikhlas membuka ruang istana untuk rakyat beriadah terutamanya rakyat yang miskin. Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 kerana penyakit cancer yang dideritainya sekian lama.
Di taman istana itu tersimpul pelbagai kenangan manis saya dan kawan-kawan bermain buaian sambil menyanyi. Dari kecil sampai ke gadis sunti. Paling tak lupa perasaan takut nak melintas jambatan sungai yang ada batu belah batu bertangkup di bawahnya. Disitu juga kami berehat sambil tersenyum-senyum kambing melihat gelagat orang dewasa berdating. Gambar atas isteri kedua sultan Kedah. Sultanah Haminah.
Semoga bersemadi dengan aman dan tenang disana. Al Fatihah buat sultan dan sultanah yang sangat kami sayangi dan sanjungi. ( Semua gambar ehsan google )
OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!