Sekarang musim kering/kemarau sudah melanda di tempat saya. Sudah hampir tiga minggu hujan tidak turun. Kawasan padang rumput yang menghijau sudah bertukar warna. Saya agak risau dengan situasi ini kerana ini bermakna kelompok Che Kam akan beralih kepada pokok-pokok saya seratus peratus sebagai ganti rumput yang makin mengering. Banyak pokok-pokok dilaman homestay yang tidak dapat menahan terik mentari, menjadi layu dan mati. Menjadikan laman ini separuh kosong.
Musim kemarau juga menyaksikan kembalinya kupurama kelaman homestay. Walaupun cuaca kering namun masih ada lagi bunga-bunga yang tahan lasak berkembang segar menarik unggas cantik ini berterbangan untuk menghisap madu.
Saya perasan ada seekor kupurama jenis baru dengan corak dan warna yang begitu menarik melawat pokok kemuning saya. Agak malang saya tidak sempat merakam dengan sempurna, terkejut dengan kehadiran, dia cepat-cepat terbang lari. Saya berharap satu hari nanti dia datang lagi..
Walaupun mengharap kupurama tadi melawat lagi, namun dalam masa yang sama saya mulai risau dengan kembalinya mereka kesini kerana ini bermakna akan ada ulat-ulat yang memakan bunga dan daun. Lihat bunga Zinnia di atas, sudah ada yang bersarang dikelopaknya.
Bunga-bunga dilaman homestay adalah yang paling terdedah dengan cuaca ekstrim ini. Yang paling banyak mengering ialah pokok Torenia. Namun cosmos green lime berlapis pemberian dari Julie M kelihatan segar berkembang tanapa sebarang masalah.
Cosmos yang berasal dari Amerika Latin ini bersaudara dekat dengan Ulam Raja yang memang terkenal mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan bagus untuk makanan kesihatan.
Ceria dalam panas terik.
Ini pula Daisy Butter. Bunga Peace. Itu nama yang saya kenali pada zaman 70an dulu ketika mu;la-mula menanamnya. Namanya di gelar begitu kerana ia sering dijadikan pelekat dan ikon lambang keceriaan pada zaman hippies melanda.
Saya memang suka sangat bunga comel ini. Agak lama juga ia hilang dari koleksi. Pemberian dari seorang kawan, kini saya mula menyemai benihnya untuk menceriakan taman. Daisy Butter kini sering dijadikan tanaman landskap.
African Marygold. Jenis ini saja yang masih tinggal. Manakala tiga lagi jenis Dwarf French Marigold saya sudah pun putus benih.
Berasal dari Mexico dan Guatemala, bunga ini juga dikenali panggilan tempatan sebagai bunga Tahi Ayam. Walaupun berbau busuk tapi saya tetap menyenanginya kerana ia rajin sekali berbunga.
Termasuk dalam senarai paling tahan panas adalah bunga Satay ataupun bahasa botaninya Angelonia.
Juga berasal dari Amerika Latin, bunga ini sering dijadikan pokok pilihan untuk taman ala Inggeris. Dirumah, saya menanamnya kerana bunganya yang cantik,comel dan berbau masam manis, bukan kerana konsep.
Angelonia kedua saya. Berwarna pink belacan. Masih mencari lain-lain warna untuk disatukan.
Si Biru Brazilian Snapdragon, sangat cantik dan amat tolerate dengan terik matahari. Bunga ini sentiasa ramah berkembang setiap hari tanpa terkesan pun.
Cantik kalau ditanam dalam kelompok yang banyak.
Mengakhiri kisah, RJ jenis baru yang di beri oleh adik saya, membesar cepat dengan suburnya. Saya letakmya ditempat yang tidak diterjah cahaya panas sepanjang hari.
Rare? Begitulah katanya. Pun pemberian dari adik. Manakala dua lagi jenis RJ rare mati gagal diselamatkan. Memandangkan bumi homestay sudah lama tidak disimbahi hujan, saya telah mengambil keputusan untuk membuang mana-mana pokok yang layu. Kecilkan kuota tanaman dan siraman. Begitulah yang mampu saya buat dimusim kemarau ini. Moga di musim yang seterusnya saya dapat meriahkan laman ini kembali.