Thursday, 25 February 2016

Selasih - Basil

Hari ini dalam sejarah.  Saya membuat sirap biji selasih yang ditanam sendiri. Sebelum ini saya selalu buang saja bunga-bunga keringnya. Betapa ruginya tidak manafaat benih pokok ini  sedangkan bijinya boleh disimpan dalam jangka masa yang lama.

Kalau minum sirap selasih ni selalu terkenang zaman bebudak. Minuman wajib bulan puasa dan dirumah kenduri. Dulu-dulu di kampung sirap di panggil air serbat. Biji yang mengembang macam telur katak ini mempunyai berbagai khasiat tapi selalunya dikatakan dapat menyejukkan badan.

Bunga kering yang saya pungut dan kumpulkan. Saya kisar dengan lesung batu. Mula-mula saya kopek satu-satu...oh, lecenya. Lambat. Mujur ingat nak buat cara ini. 

Sekejab saja terlerai. Teruja sungguh boleh kumpul biji dia...

Dirumah, saya cuma tanam tiga jenis basil saja. Pokok ini mempunyai berbagai jenis variety sebenarnya. Ada warna lain selain dari hijau iaitu merah kehitaman. Atau disebut juga basil hitam.  Di atas ialah  kemangi atau lemon basil. Saya sangat-sangat suka baunya yang sangat harum apabila di siram. Seakan campuran lemon & serai. Semerbak wanginya terbang ke udara...

Ini pula Thai basil.Sebenarnya saya tidak berapa gemar makan secara mentah . Tanam pun sekadar seronok dan nak bagi ada saja. Tapi selera saya mula berubah bila makan sos spaghetti yang dicampurkan dengan daun ini.  

Sedapnya.....berulang  saya makan spaghetti ni walaupun sebelumnya ini bukan feveret. Aroma segar daun ini cukup membangkitkan selera..

Selain bunganya, daun basil juga boleh dikeringkan dan di buat teh.

Boleh disediakan begini atau terus masukan daun kering tersebut dalam air panas. Campur beberapa butir gula jika tidak suka rasa tawar. Boleh segarkan badan dan pernafasan.

Ruku-ruku atau holy basil . Satu color lagi warna merah gelap. Dikenali juga dengan nama Thulasi/Tulsi Ruku-ruku mudah di jumpai tumbuh di sekitar  kampung, perumahan  dan semak. Arwah bapa saya pernah masak gulai ikan keli campur daun ruku-ruku. Sedap tapi sayang saya dan arwah ibu tidak tahu resepinya. 

Mmm..mulai hari ini saya tidak akan buang lagi bunga-bunga kering bsail yang ada. Simpan bijinya. Mana-mana kawan yang ada tanam pokok basil ini bolehlah cuba buat sirap selasih sendiri ya..

Ok  kawan-kawan..happy blogging & happy gardening!



Wednesday, 10 February 2016

Bukit Bendera - Penang Hill

....sambungan cuti ...

Pertama kali naik Bukit Bendera.  Kami sampai ketika awal pagi. Cuaca agak mendung. Kabus pagi pun masih melitupi laut dan bukit. Saya ambil gambar dari jauh. Takut nak hampiri ketepi pagar..gayatt...

Mujur semasa naik train saya rasa tidak apa-apa. Harganya  RM10 seorang. Bersih, selesa dan laju. Saya sempat  ambil gambar  dari dalam keretapi yang bergerak laju. Ini pemandangan  bersebelahan  tapak rel.

Sampai di atas. Cantik sangat, nyaman, bersih dan penuh dengan bunga-bunga. Macam mini Cameron Highland pula. Terasa sedikit dinginnya bila angin meniup Morning glory biru melaut disepanjang tembok menuju kepuncak dimana terletaknya masjid dan kuil hindu. Tengok bunga ni teringat kat Cameron...

Seronoknya tengok bunga...ada beratus tumbuhan berdaun dan berbunga melatari landskap disini. Biasalah saya kalau jumpa bunga. Rasa kagum sentiasa membara walau seribu kali tengok pun...

Bunga raya pastel color..

Sebenarnya pada zaman remaja saya suka Penang. Ada sesuatu yang istimewa tentang  mereka yang membuat saya terpikat. Saya suka melihat gaya hidup orang-orang Tanjung. Social life mereka sangat pelbagai. Sekitar 80an saya pernah menetap disana seketika tapi saya tak pernah pijak kaki pun ke tempat ini. Rasa menyesal pula....

Dan ini pula condo yang kami pilih untuk menginap. Eden Seaview, Batu Ferringhi.   Kepunyaan  persendirian.Tak sangka adik pilih aras 17. Kecut perut saya lagi. Sudahlah jalan ke sini pun bengkang bengkok. Berbalik zaman muda dulu, saya pernah  menetap bersama kawan baik di Jelutong. Malam-malam kalau lapang kami suka ke padang Kota Lama. Makan pasembur atau rehat-rehat ambil angin malam...

 Namun setelah masa berlalu saya telah lupakan Penang dan orang-orangnya...hampir-hampir 32 tahun lamanya baru saya kembali semula ketempat ini.  Makan pasembur juga....rasanya ya..mungkin agak  sama. Ramai orang tapi saya rasa hambar. Rasa  macam ada sesuatu yang hilang.  Hilang dimata hilang dihati...Saya tak dapat menjiwai suasana masa lalu lagi....
....

Barang yang lepas janganlah di kenang....Mmm...emo pula. Banyak kenangan masam manis saya di Pulau Mutiara ini. Simpan je dalam poket...Macam gerabak lama  ni tak apalah, ada nilai sejarah untuk di kongsikan....Menurut driver@ guide  buggy yang kami naiki, ini adalah gerabak lama yang mula-mula digunakan di Bukit bendera. 

Alat penyukat hujan tertua dan tong pos zaman kolonial yang masih wujud. Cuma ada 2 biji seumpama ini di Malaysia. Satu lagi  ada di Melaka. 

Lagi bunga...Cosmos double petal  dan Corn flower.

Kasih tersenyum bergambar di depan deretan  pasu  yang dipenuhi bunga-bunga comel..Sebenarnya kat atas ni bermacam daya tarikkan ada menunggu untuk di teroka tapi kami tidak dapat menikmatinya kerana mengejar masa untuk check out dan shopping. Agenda anak & adik-adik.

Kedengaran menarik jadi kami memilih untuk naik buggy untuk melawat bungalow-bungalow mewah peninggalan British yang  kini dimiliki oleh hartawan dan taikun Malaysia. Gayat menuruni lereng-lereng bukit di situ. Mujur driver berbangsa Cina tu ramah dan pandai bergurau. Bungalow pun cuma nampak sipi2 saja sebab lokasinya  di atas dan terlindung dengan pohon-pohon besar. Jadi dengar dia bercerita sejarah  sajalah....

Selesai melawat bungalow kami berehat di Cliff Cafe atau Astaka. Cafe tiga tingkat  yang terletak di lereng bukit. Tingkat bawah ada musuem burung hantu. Tidak sanggup tengok kebawah untuk ketingkat ke tiga. Jadi saya di tingkat kedua saja. Ada gerai minuman & makanan ringan dan kedai sovenir disitu. 

Kerana ralit duk tengok bunga saya terlupa nak panjat ke atas untuk melawat masjid di mana terdapat juga sebuah kuil hindu di situ.  Juga ada David Brown Cafe berlokasi di teres teh zaman British. Saya cuma lihat-lihat dari bawah saja. Menyesal tidak naik ke atas.

Lagipun masalah besar saya ialah takut tempat tinggi dan gayat. Sudahlah jalan ke condo di Batu Ferringhi pun melalui lereng bukit, naik parking aras 17 pula sempit...Ni naik pula Bukit Bendera...adoi..nyeri, ngilu satu badan..nak kejang pun ada...

Kerana masalah gayat saya terlepas peluang  untuk mengambil gambar-gambar cantik di lokasi yang menarik. Seperti dek menara tinjau. Gambaran penuh panorama dan view sekitar pulau tidak dapat saya rakamkan. Ada anak tangga untuk jejak kebawah tapi saya takut nak menapak. Ada ubat tak untuk penyakit gayat ni..? Kawan-kawan please...

Lain kali cuti  rasanya eluk duduk 2 malam satu-satu  tempat baru puas nak menikmati keindahan sekitarnya. Tak payah nak rushing...

Di Penang...rindu saya hilang lenyap begitu saja. Asing dan berubah. Sibuk dan sesak. Mujur Bukit Bendera cantik. At least ada sesuatu yang segar untuk di kenang. Mmh! Walau apapun si kecil kami happy sangat. Tahun ketiga bercuti bersamanya barulah boleh dengar dia komen.."Kashih syonok tokk..Kashih heppi.."

Ok kawan-kawan happy blogging & happy gardening!



Sunday, 7 February 2016

Taiping yang Hijau...

Ada kawan tersenyum sinis tanya saya, bercuti ke Taiping? Ada apa di situ...Memang pada mulanya tidak terlintas ke sini tapi memandangkan mahu membawa cucu melawat zoo, jadi kami memilih Taiping sebagai salah satu destinasi percutian kali ini selain dari Batu Ferringhi. Sewaktu google tentang Taiping saya terjumpa web site tentang resort yang rasa saya menepati jiwa.Terus suruh adik booking. Sentosa Villa Resort. Jom enjoy bersama.

Sepanjang perjalanan mata saya dijamu dengan pemandangan  landskap yang begitu hijau dan menyamankan. Belum apa-apa saya sudah jatuh hati pada bandar ini apalagi bila melihat berek-berek dan banggunan lama ditepian jalan. Seakan melihat sejarah lalu yang masih segar di depan mata.


      Masuk saja ke Taman Tasik Taiping... ...aduhhh..jatuh cinta terus. kenapa kampung saya tidak disini? Sungguh cantik taman lagenda ini ..damainya. Hijau di mana-mana. Nyamannya jiwa.


Kasih pun teruja juga...


Melihat jalan yang dibarisi pohon-pohon tua ini  sangat menggamit memori saya pada kartunis Lat yang femes dengan buku kartunnya..from Taiping With Love...


Sungguh nostalgia...siapa yang pernah bercinta disini..?


 Akhirnya sampai juga. Deretan signboard yang ada disepanjang jalan sangat membantu. Memang tak salah pilih...semua suka tempat ni...Seluruh kawasan ini redup di kelilingi dengan pokok buah2an macam dusun. Kelihatan pokok durian di kiri dan kanan villa kami.


Tapi waktu kami sampai musim buah telah berlalu. Cuma tinggal buah markisa saja...


Sungguh sejuk & nyaman. Air jeram yang jernih mengalir melalui hadapan  balkoni. Malam tidur terdengar deruan aliran air. Tenang jiwa rasa.


Pagi-pagi pula terdengar kokok ayam dan kicauan burung.  Macam duk kat kampung nenek pula rasanya. Seakan back to nature.


Kabus pagi menyelubungi bukit.


Pokok bunga dan pepohon hijau  ditanam sepanjang jalan dan lorong.


Semasa melawat kawasan saya terlihat sepasang kekasih sedang bergambar untuk pre wedding mereka...


Melihat landskap yang cantik begini tak sangka pula ianya terletak ditengah -tengah taman perumahan.


Walaupun kawasan ini luas tapi persekitarannya dijaga rapi dan bersih. Kasih pun sudah tidak sabar mahu mandi dan bagi ikan makan.


Sampai hajat juga dia...happy sungguh sepanjang masa..


Kasih bergambar kenangan sebelum ke Penang.


 Mmm...siapa kata Taiping tiada apa..yang pasti saya akan datang lagi. Tak puas tidur semalam. Banyak lagi tempat menarik yang belum sempat kami lawati antaranya Bukit Larut. Menurut pegawai yang bertugas, mereka sedang dalam proses baik pulih bungalow-bungalow yang terdapat di atas bukit tersebut sebagai rumah percutian. Semua bungalow tersebut dibina semasa zaman pemerintahan British dulu....di mata saya sudah terbayang-bayang taman-taman bunga yang berkembang dalam cuaca sejuk ala-ala Cameron Highland...

Happy blogging & happy gardening and also happy Chinese New Year to my Chinese friend. 








Wednesday, 3 February 2016

Sudu Itik & Kacang Parang

Pernah dengar tak pokok sudu itik ni..? Saya rasa ramai yang tidak tahu pun pokok ni wujud. Apatah lagi memakannya. Saya sendiri pun kenal pokok ni sekitar akhir 70an ketika berpindah ke kampung saya sekarang iaitu  kampung yang dikelilingi oleh bendang dan taliair. 

Ini pokoknya. Saya beli dipasar malam  dua bulan lepas. Semasa membeli saya pun tak perasan ini sudu itik sebab pokoknya kurus sangat. Lagipun bila ditanya, penjual cuma bagi nama dalam bahasa Siam. Bila cek dengan grup fb ternyata ini sudu itik. Sudah berbelas tahun tak makan dan tak pernah jumpa dengan pokok ni....itu yang buat saya terlupa ID nya seketika..

Balik cuti, stok kosong. Jenguk kebun belakang rumah nampak pokok  ni terbuai-buai segar ditiup angin.  Apalagi terus tuai dan di kerabukan dengan sotong rebus. Di kampung saya  dulu-dulu daun ini di kerabukan dengan udang padang. Udang yang di tangkap dengan menggunakan tangkul berumpankan  dedak di petak sawah. atau sungai ban iaitu tali air yang mengairi sawah disekitarnya. Selalunya di tangkul pada musim timur/kemarau atau selepas waktu menuai padi.

Rupa dari dekat. Ada bunga biru kecil-kecil. Cepat membiak dengan keratan batang. Daunnya ada bau berangin. Biasa tengok tak? Mmm...selalunya orang muda tak kenal. Yang tua macam saya ni mungkin..

Ini hasil yang saya  tanam dalam kampit beras 5 kilo punya...Hidup sihat juga. Kalau di ikutkan pokok ini suka tempat berair dan lembab. Berhabitat di tepian bendang, tali air, parit dan kawasan berlembah. Dulu di kampung jiran tanam dalam parit depan rumah..gemuknya bukan main...Ada orang makan ulam mentah atau rebus. Daunnya terasa sedikit pedar dan pahit tapi bila dibuat kerabu rasa tersebut hilang bila di bumbukan. 

Ini pula kacang parang saya sudah mengeluarkan buah sulung. Gambar ini saya ambil sehari sebelum bercuti. 

 
Seminggu kemudian ini hasilnya. Pokok pun dah reban ke para kacang kelisa yang mabuk bunga tapi tak berbuah... Kebun R&R saya banyak patah kayunya dek di sandar oleh lembu.

Memandangkan bumbu sudu itik masih bersisa saya pun kerabukan pula dengan kacang parang ini. Sehari suntuk makan kerabu lah saya...

OK kawan-kawan happy blogging & happy gardening.


P/S; Sebagai catitan kenangan: Pemimpin yang rakyat Kedah sayangi  Daktuk Mukhriz Mahathir  telah meletak jawatan sebagai MB Kedah hari ini. Kemelut politik yang berkepentingan telah menidakkan usaha beliau dan juga suara kami. Moga beliau terus tabah dan cekal. Hidup Mukhriz!!