Siapa pernah makan rumpai laut ? Di tempat saya ( Langkawi ) rumpai laut yang terkenal dengan panggilan laktud/laktut ini merupakan sejenis makanan eksotik yang sangat istimewa dan di gemari.
Pada musim-musim tertentu rumpai ini akan membiak. Bagi orang yang mahir dan tahu tempatnya akan turun ke pinggir laut untuk mengutip. Kualitinya bergantung pada tempat dan persekitaran di mana ia membiak.
Selalunya di makan mentah bersama sambal kerisik. Tidak berbau hanyir. Teksturnya agak kenyal macam agar-agar. Meletup-letup dalam mulut bila di kunyah. Laktud tidak boleh terendam air tawar atau di basuh terlalu awal kerana dia akan mencair dan menjadi hampas.
Minggu lepas anak sulung saya yang tengah mengidam membelinya dipasar hari dengan harga RM10 sekilo. Cantik sangat bentuknya. Ini dipanggil laktud anggur atau laktud lada. Seorang kawan saya pernah membelinya di Kota Kinabalu. Sabah memanglah tempatnya. Namun katanya baunya agak hanyir. Di sini terdapat dua jenis rumpai laut yang lazim dimakan..
Jenis laktud berdaun/berjari lipan ini adalah yang paling femes dan digemari. Maaf gambar agak kabur. Saya ambil dari pakcik google. Teringat masa mula-mula datang Langkawi sekitar akhir 80an. Yang menjual datang berbasikal dengan muatan kotak kayu di belakang. Sekupang atau sepuluh sen satu pot susu. Berebut-rebut sepupu saya meratah penuh selera. Saya cuma mampu telan air liur. Kembang tekak. Memang tak boleh masuk. Nak termuntah dengan rasanya yang masin payau.
Sampai sekarang hampir 30 tahun berlalu saya masih belum boleh makan lagi laktud ini. Anak suruh juga saya cuba sedikit. Saya ambil setangkai dua, cicah sambal kerisik. Mmmm...boleh telan pula. Rupanya yang jenis lada ini tidak berapa masin sangat berbanding dengan jenis laktud lipan. Orang yang tidak tahan perut tidak boleh makan laktud ini berlebihan, akan cirit kerana dikatakan bersifat panas walau hampir 100% kandungannya ialah air.
Bila cerita pasal laktud mesti ingat pada bronok juga. Kisahnya boleh baca di sini. Salah satu lagi makanan yang cukup-cukup eksotik di Langkawi. Yang ini lagilah geli melihat kerana dia sejenis haiwan laut. Berpuluh tahun juga tekak saya ambil masa untuk menerimanya. Walaupun menjadi kegilaan penduduk tempatan dan penggemarnya ia tetap bukan my feveret. Not my taste...mat saleh kata. Kalau datang ke Langkawi dan terjumpa di kedai makan, silalah cuba menjamu selera.
Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!



