Friday, 22 December 2017

Pray For me.

Bersyukur dapat menulis semula disini setelah hampir sebulan bercuti sakit. Banyak perkara berlaku dan banyak juga cerita hendak disampaikan sampai tak tahu mana satu yang hendak didahulukan. Tak mengapalah, kalau ada masa saya akan posting satu persatu. 
Sebenarnya saya mulai berasa sakit dalam perut dari bulan lepas lagi tapi saya biarkan saja kerana mahu menjaga anak dalam pantang. Tak sangka sakit yang saya buat ringan ini menjadi begitu teruk hingga melemahkan seluruh sistem tubuh saya.

Saya ingat saya gastrik tapi doktor yang memeriksa cakap saya sakit lain. Antibiotik yang diberi membuatkan saya lemah dan hilang tenaga jadi saya cuma makan sekerat jalan saja. Sambil tu nak tunjuk gambar pokok limau purut saya yang sudah berbulan meluruh. Macam nak mati tapi tak mati pun...macam tuan dia juga jadinya. 

Bila sakit teramat sangat..saya cuma ingat nak mati. Untuk nak melawan sakit yang dibawa ini memang amat memerlukan semangat yang kuat. Saya teringat ibu meninggal dulu, simpton penyakitnya sama dengan yang saya alami. Saya rasa takut sangat...Ya Allah ya tuhanku...setiap hari saya berdoa agar pulih semula. Tiga hari lepas saya saya usaha ceriakan diri dengan mengorek hasil yang ditanam.

Kunyit untuk anak dalam pantang. Banyak umbisinya yang sudah mereput. Saja saya sibukkan diri. Kalau nak diikutkan lara berendam saja ditempat tidur. Sesekali rasa sakit masih terasa. Buat masa ini saya masih berdegil untuk scan diklinik swasta. Sebenarnya saya takut untuk menghadapi kenyataan. 

Saya dapat rasa ada sesuatu yang tidak kena dan berubah dalam sistem perut dan usus saya. Saya cuba manafaatkan dengan pokok herba yang ditanam setelah rasa tidak sesuai dengan ubat yang diberi. Gambar atas, ubi telor yang tak banyak bertelor dek kerana  tanah yang keras. Saya rebus dan makan semalam. 

Walaupun begitu ada juga hasil lain yang menjadi dan membuatkan saya gembira. Santapan orang dalam pantang juga. 

Hasil dari satu polybag sahaja. Lumayan juga!

Manakala tomato ceri bulat ini sudah kecut pokoknya akibat tidak disiram. Begitulah jadinya jika tukang kebun sakit...

Sampai lama mana saya boleh bertahan hanya tuhan saja yang tahu. One fine day, bila rasa bersedia baru saya akan pergi scan. Kalau masih dizinkan tuhan saya akan terus menulis disini dan melawat kawan-kawan. Jika saya menghilang lama, mungkin itu satu petanda. Minta maaf sekiranya saya lambat membalas komen atau tidak bersapa. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!


Wednesday, 22 November 2017

Merai Cucu Kedua.

Berkongsi kegembiraan bersama rakan bloggers disini. Menimang cucu kedua pada hari Sabtu lepas. Memang sangat mengujakan saya dan suami. Maklumlah kami tidak ada anak lelaki. Kedua-dua anak saya perempuan. Cucu sulung pun perempuan. Syukur Alhamdulillah. Dapat juga seorang kan.....Terubat hati cik suami yang mengidam anak lelaki. Manakala saya pula, ini adalah merupakan hadiah harijadi yang amat bermakna sekali. Tahun depan dapatlah sama-sama meraikan harijadi pada bulan yang sama.. Dah dekat-dekat  tarikhnya. 

 Jadi sepanjang tempoh anak berpantang ini, saya terpaksa abaikan kebun dan pokok bungalah jawabnya. Seawal pagi saya dah menapak kedepan dan kebelakang. Sekejap kerumah anak dan sekejap kerumah saya. Harap-harap boleh turun beberpa kilo lepas ni.

 Ikut tumpang happy mestilah sikakak tapi dalam masa yang sama suka buat perangai minta perhatian. Tak boleh marah sikit menjadi-jadi rajuknya. Orang semua duk bercakap pasal adik saja jadi dia rasa macam dipinggirkan. Kecil-kecil pun dah pandai terasa hati.

Dalam kegembiraan merenung wajah munggil cucu, saya terpandang bantal peluk disisinya. Mmmm....bantal peluk ibunya 27 tahun yang lalu. Masih bersih dan baru. Arwah ibu saya yang jahitkan masa saya beranak sulung. Kalaulah dia masih ada....

Satu sikit, dua tidak cukup. Itu  yang saya rasakan. Jadi saya sarankan anak sulung saya beranak lagi selepas ini. Menjeling dia..hahahaha..Bukannya apa,  takut dia pun berhenti setakat dua juga macam saya. Pada kawan-kawan bloggers,  minta maaf sekiranya saya tidak sempat melawat dan lambat membalas komen buat sementara waktu. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!





Thursday, 16 November 2017

Pray For Tome

Empat belas hari sudah berlalu.  Saya masih tidak putus asa berdoa dan berharap agar Tome dijumpai dan kembali bersama keluarga semula. Sedih hati tuhan saja yang tahu. Seluruh keluarga sangat terasa kehilangannya. 

Saya mula sedar bila tidak terlihat kelibatnya di depan pintu pada subuh Jumaat 3hb. Suami membebel salahkan saya kerana tidak membawanya masuk malam itu. Terpaksa telan amarahnya kerana itu memang salah saya. Kalaulah dia tahu betapa sesalnya saya dalam hati .....

Pagi itu seluruh taman kami berkawad cari Tome. Setiap ceruk parit dan longkang. Semak dan samun. Semua kami anak beranak keluar mencari. Semua pintu rumah yang tak dikenali pun diketuk. Siapa pun tak nampak dan tahu.

Setiap hari berlalu bertan-tan sesalan menghentam saya. Apa yang pedihnya saya dengar suaranya pada jam 2.30 pagi tapi saya tak bangun. Kenapa saya jadi begitu pun tak tahu. Ini hukuman lara yang saya harus terima. 

Tak terduga kehilangan sikecil ni mampu buat hati saya terasa begitu galau dan haru. Hampir seminggu saya hilang mood untuk buat apa pun. Betul-betul jiwa kacau. Setiap subuh saya buka pintu panggil-panggil nama dia. Harap-harap keajaiban berlaku. .

Setiap saat saya teringat muka comelnya. Tidur bersama sebilik. Sakit demam layan macam anak sendiri. Selalu saya gendung dan cubit-cubit manja mulutnya kerana dia suka menggigit. Rindu betul..

Suami beritahu tak mungkin jumpa kucing yang selincah dan senakal dia lagi. Setiap hari melompat dan berlari seluruh rumah. Kiranya 9 bulan sudah dia menghiburkan  kami sekeluarga dengan keletahnya.

Sampai saat ini saya tak dapat henti salahkan diri sendiri. Saya menyesal tak sudah...Cucu pujuk nak ambil anak kucing lain bagi tok dia. Anak pun cuba jejak ibu Tome dari kawannya. Malangnya ibu dan semua adik beradik Tome telah dibuang. 

Namun rasanya Kaspinlah yang paling happy dalam situasi ini. Siang malam tidur dan berehat dirumah.  Sebelum ini saya sedih dan risaukan dia sebab merajuk tak mau balik.

Sekarang happy saja dia..nak tiduk kat mana...nak gaya apa..semua boleh. Dah tak ada orang ganggu.

Kastih pun happy juga. Tukang buli dah tak ada. Boleh rehat dengan selesa. 

Berbeza dengan tuannya yang macam gila bayang. Macam nampak-nampak dia ada sana sini dalam rumah. Tambah-tambah kat tempat feveret dia. Tengok pokok remunggai ini pun teringat dia. Setiap kali ikut saya ke kebun pokok inilah dipanjatnya sampai kepuncak. Dari kecil sampai kebesar.

Yang tinggal kini cuma  parut cakarannya dibatang pokok. Sampai  saat ini walau bermacam andaian dibuat, termasuklah dia telah mati, tapi saya masih berharap dia masih hidup dan dilindungi Allah Taala. Doa saya tidap pernah putus untuknya. Saya juga tidak pernah henti mengharap. Satu hari, saya harap doa saya dimakbulkan dan kami akan berjumpa kembali. In Sha Allah. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!























Tuesday, 7 November 2017

Nilam Pandan

Sudah lama saya mencari nilam pandan ini. Hanya beberapa bulan lepas baru saya berjaya membelinya secara online dari EM Nursery dengan harga promosi RM10 sepokok. Saya rasa rugi pula membeli sepokok sahaja kerana  tidak boleh memetik daunnya secara kerap.  
Kelebihan daun nilam pandan ini ialah daunnya boleh dijadikan haruman semulajadi untuk pakaian yang disimpan dalam almari. Sesuai nama, wanginya memang mirip sekali  daun pandan. 
Selitkan daunnya di lipatan baju.  Lebih kering daunnya lebih kuat baunnya. Berbulan  harumannya kekal di situ. Inilah sebab utama mengapa saya membeli pokok ini. 

 Saya mula kenal pokok ini semasa bekerja dengan Dr. Abdul Ghani bin Hussain sekitar tahun 2000.   Beliau adalah seorang doktor perubatan yang mengkaji  bidang pertanian herba dan perubatan tradisional. Beberapa buah  buku tulisan beliau berkaitan bidang berkenaan  telah pun beredar dipasaran.

Ini pula  jenis pokok nilam yang selalunya banyak ditanam disini. Lebih dikenali sebagai Nilam Aceh atau dalam bahasa inggerinya Patchouli. Jenis ini  amat tahan panas, cepat membiak dan merimbun. Berasal dari Filipina dan dibawa masuk kesini sekitar tahun 1800.  Selain di ekstrak untuk pati minyak wangi pokok nilam ini juga mempunyai khasiat perubatan herba. 

Nilam pandan pula agak lambat membesar dan merimbun. Daunnya juga agak sensitif kepada matahari terik. Di rumah saya tempatkan ia di sudut yang agak terlindung supaya daunnya tidak mudah terbakar. 

Kedua-dua pokok nilam ini  berbeza dari segi rupa dan bentuk. Daun nilam Aceh berbentuk hati, berjerigi dan berwarna hijau muda. Tekstur daunnya gebu dan lembut macam pokok ati-ati. Baunya pula lebih kepada haruman herba. 

Manakala bentuk daun nilam pandan pula lebih mirip kepada pokok pecah beling ( sebelah kanan ).  Tekstur daunnya sama-sama kesat dan berwarna hijau gelap. Sekali tengok memang tak dapat nak bezakan. Cuma yang ketara daun pecah beling tidak beraroma. Kepada pecinta bauan semulajadi saya cadangkan anda membeli dan tanam pokok ini banyak-banyak di laman. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!










Thursday, 19 October 2017

Bunga Tongkeng - Tonkin Jasmine

Mula dengar nama bunga ini sekitar tahun 70an masa berbual pasal pokok hutan bersama arwah nenek dan emak. Ketika itu saya di awal usia belasan tahun.  Sangat wangi ujar mereka. Kami adik beradik ketawa kerana namanya kedengaran agak pelik. Masa tu tak pernah dapat bayangkan bagaimana rupa bunga ini. Lagipun kata mereka cuma boleh jumpa dipinggir hutan saja. Saya beranggapan orang tidak  menanamnya sebagai pokok hiasan di rumah.

Hampir 40 tahun berlalu, barulah saya dapat melihat bunganya didepan mata. Sangat comel.

Pokok ini juga menjadi buruan peminat bunga nadir dan boleh di beli dengan mudah secara online. Di rumah saya biarkan ia melilit di tiang dan menjalar hingga kesiling  porch. Rasanya pokok ini boleh merimbun dan lebih sesuai dibuat para.

Pemberian dari kawan awal tahun ini. Tak sedar pun bila masa kuntumannya hadir. Tahu-tahu dah berjuntaian di atas. Saya ingat pokok ini  asalnya pokok tempatan tetapi melalui pembacaan rupanya ia berasal dari negeri Cina dan dikenali dengan pelbagai nama. Waktu  dinasti manakah ia dibawa masuk ke sini?

Pertama kali kembang. Terketar-ketar juga saya menginjat atas bangku untuk ambil gambar. Paling teruja nak cium aromanya. Memang wangi. Nyaman saja baunya. Seakan kombinasi bau lemon dan jambu saya rasa. Kata orang bunga ini lebih berbau harum pada waktu malam. Bunga dan pucuk tongkeng ini juga kaya dengan karbohiderat, protin dan vitamin A.

...dan juga dijadikan bahan masak. Bunganya boleh dibuat kerabu, sup dan gorengan.  Saya cuba resepi yang paling mudah dan lazim. Goreng telur bertongkeng walau bunganya belum habis kembang. Terujanya nak rasa, sedap tak?

Mmmm...beginilah kejadiannya. Sengaja tak campur bawang dan cili. Nak nikmati rasanya yang sebenar. Bila gigit dan kunyah masih terbau aromanya didalam mulut. Siapa yang tanam pokok ini bolehlah cuba memasak.


Ok kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!
.....and happy deepavalli for my indian friends.

Sunday, 8 October 2017

Kalau Dah Bukan Rezeki.

Masih dalam musim tengkujuh. Ramalan mengatakan hujan berserta angin kuat  akan berterusan hingga penghujung bulan October ini. Jadi abaikan kebun dan bunga buat seketika.  
Kali ini nak bercerita pasal pokok buah lah pula. Walau ruang taman rumah saya sejemput saja tapi saya tetap berusaha tanam sepokok dua pokok buah2an buat pelepas makan garam belacan orang kata walaupun saya bukanlah kaki menyicah. 

Ini jambu madu yang saya tanam masa setahun berpindah kesini. Tanam dalam kawasan rumah. Buah tak pernah putus. Saya telah tut beberapa batang pokok dan sedekahkan pada kekawan. Sepokok hantar balik kampung. Semuanya sudah berbuah lebat.

Pokok jambu ini membesar sampai melepasi bumbung rumah. Malangnya tahun lepas  daunnya diserang oleh beribu ulat bungkus. Jadi saya terpaksa upah orang tebang walaupun pokoknya tengah berbunga.

Ini ulatnya...tengok tu bergayutan...

Cik Jamal cas RM50 untuk tebang dan buang dahannya dihujung padang. Saya tak cakap banyak. Ok saja. Janji ulat tu tak menyerang pokok bunga dan pokok pelam yang bersebelahan . Sebelumnya saya lihat dah ada sekor dua bergantung di daun bunga ros. 

Beberapa bulan setelah ditebang, belimbing kampung yang saya tanam sama sehari dengan pokok jambu ini mencanak naik dengan suburnya. Dulu terbantut dicelah pokok jambu. Berbuah tanpa henti juga.

Malangnya bila masak...penuh dengan sarang lalat buah pula. 

Waktu muda cantik saja kelihatan. Tak ada tanda gigitan pun.

Saya juga tanam sepokok belimbing madu belakang rumah. Cantik pokoknya tapi kurang  berbuah. Ini buah sulung. Tak berapa  panjang. Saya bungkus tapi sempat juga diserang oleh ulat bulu jenis kecil. Putik lain habis dikerjakan. 

Dapat jugalah merasa buah sulung. Manis. Apa petua nak bagi buah lebat? Semua baja dah taruh. Kalau bab berbunga bukan main. Penuh ranting. 

Delima kampung ini saya tanam di homestay sebelah rumah yang saja jaga dulu.  Dah masuk lima tahun. Rajin berbuah. 

Tapi bila masak masamnya ya amat. Kini dah setahun lebih homestay di sewakan. Penghuninya pula sangat tidak mesra alam dan masyarakat. Saya tak ralat pun. Biarkan...bukan rezeki saya kan. 

Di kebun ada tiga pokok lagi delima  dari jenis isi merah menyala. Benih dari buah beli dipasaraya. Rajin berbunga tapi belum pernah lekat buah. 

Pokok amra pun ada. Tanam dalam pasu. Walau terbantut pokoknya tapi rajin berbuah. 

Setakat ini buahnya semua menjadi  rezeki geng menyicah.

Dalam banyak pokok buah, yang ini lah selalu menjadi perhatian ramai. Kalau time lebat, bergayutan sampai kebawah. Sudahlah bersaiz besar. Sapa yang tak geram tengok. Pokok pelam saya ni selalunya berbuah diluar musim. Orang dah habis dia baru nak berbunga. 

So  jadi perhatian ramai lah. Sampai ada orang tak kenal pun boleh datang meminta. Bini mengidam. Tak tahulah macamana diaorang hidukan....Nak tak bagipun tak tergamak juga. 90% hasil  pelam saya selalunya menjadi habuan jiran, orang tak dikenali dan peragut bersiri. 

Sukar nak biarkan ia masak  100% di pokok. Peminatnya ramai. Kalau sempat  bolehlah kait dan peram. Saya pula  tak suka buah muda yang masam.  

Musim ni buah tak berapa menjadi. Mungkin putik tak lekat sebab musim hujan. Tapi bahagian jiran untuk menyicah dan berkerabu tetap ada. Saya pun kini berlajar lebih redha. Tak nak marah-marah dan rungut-rungut. Dah bukan habuan kita. Tak masuk kemulut walaupun tercatuk depan mata. Halal saja. Rezeki kita  adalah keikhlasan dihati. Bonusnya  disana kelak. 

Selain itu saya ada juga menanam nangka madu, mempelam, pisang, lemon, jambu batu  dan anona di kebun tepi padang. Kalau ada rezeki bolehlah saya dan jiran merasa. Harap-harap pemaju tak ada apa-apa rancangan disitu lagi. 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!