Mendung...hujan...mendung...hujan...dah tak ingat berapa lama dah berlarutan. Apa yang pasti tahun ini kawasan perumahan saya ni kaya dengan rahmat tuhan. Taburan hujan yang sangat tinggi bermula dari bulan February dulu kalau tak silap saya sampailah sekarang.
Bangun dari kemalasan, beberapa minggu lepas saya berusaha mencabut rumput di kebun tanpa cangkul. Saya guna tangan kerana mahu mencari anak-anak pokok yang mungkin tumbuh dari benih bunga yang tidak sempat saya tuai. Jumpa juga satu dua tapi ada juga yang hilang terus.
Butter daisy ni pupus terus setelah bertahun-tahun menceriakan laman & kebun. Hilang begitu saja. Ini harga yang perlu dibayar bila leka dan mengabaikan. Memang ada rasa kesal dihati. Ralat & sedih...
Tapi ada lagi perkara lain yang buat saya sedih. Kucing saya Si Kaspin. Sudah sebulan lebih tak mau tidur dirumah. Dah 5 tahun bela dia dengan penuh kasih sayang. Sekali pun tak pernah pukul. Kiranya menjadi kesayangan keluarga dan popular pada jiran tetangga. Mana saya pergi bersembang adalah dia kat situ.
Selama hidupnya Kaspin tidak mahu berkongsi apapun dengan sesiapa walau dengan anaknya sendiri si Kastih. Sikap diva dan dominannya sangat ketara walaupun dia kucing betina. Dia juga tidak suka berkawan dan bermain dengan kucing lain kecuali sesekali bergurau dengan anaknya. Kawannya cuma saya dan jiran terdekat sahaja.
Awal rajuknya dia berehat dan tidur sepanjang masa didalam bilik bersama adik jiran baik saya yang memang sangat sukakan kucing. Berminggu juga dia berulang kesitu. Semua terkejut dengan tingkahnya yang luar biasa dan mereka mensyaki pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Memang betul pun. Kemunculan orang ketiga dirumah saya sejak 5 bulan yang lalu membuatkan dia tidak senang hati dan sentiasa marah. Anak kecil yang membesar dengan penuh kelincahan ini berjaya membuat seisi rumah terhibur dengan keletah nakalnya.
Kerana tidak tahan diganggu dan tempat kesukaannya dicerobohi membuatkan Kaspin membawa diri. Saya perasan bila dia jarang balik kerumah sampai time makan pun saya terpaksa memangilnya berkali-kali. Namun tak menduga dia akan merajuk berpanjangan. Saya mulai risau....
Dia kini jauh berubah. Tidak selesa bermanja macam dulu. Balik cuma untuk makan kemudian bergegas keluar walau hujan lebat. Tempatnya sekarang di atas tembok jiran berhadapan rumah. Walaupun nampak dimata tapi terasa jauh dihati...dah rasa kehilangan...
Dulu setiap malam dia akan menemani saya dengan menempek badannya di depan atau belakang screen . Walaupun menggangu kerja tapi saya tetap suka dan rasa bahagia. Sambil mengetik keyboard saya akan picit-picit hidungya yang lembab.
Kini semua tempat tidur & rehat Kaspin si Tome dah takluk. Screen computer pun dah beberapa kali jatuh dan hilang warna dek tulahnya. Kini dia pula yang menemani saya ke kebun. Kaspin cuma jeling-jeling dari jauh atau pun menjarak.
Ingat dulu-dulu, kalau tangkap apa pun mesti bawa balik tunjuk kat saya. Kat mana saya ada kat situ dia hidangkan. Ini beberapa bulan lepas. Pukul satu pagi. Saya dah tidur pun. Dia bawa masuk melalui tingkap bilik tidur yangmana kacanya saya buang untuk jadikan pintu dia keluar masuk.
Ini pula tangkapan bulan puasa lepas. Saya kebilik air sebentar selepas sembahyang. Time keluar tengok dia duk tercatuk didepan pintu. Rupa-rupanya nak bagitau. Dah terbaring atas sejadah se ekor.
Rasa kosong bila dia tak ada. Rasa rindu nak main tut cak kat padang.
Pagi petang ke kebun bersama...
Suka-suka ber sessi photo shoot di padang...
Saya selalu berdoa dalam hati agar dia tidak marah dan merajuk lagi. Setiap kali dia pulang makan saya akan mengendong dan manja-manjakan dia sambil meminta maaf.. Harap dia faham.
Saya tak mau kehilangan dia sama seperti saya kehilangan pokok-pokok bunga ini . Dia bukan sekadar seekor kucing tapi juga sebahagian dari ahli keluarga yang saya ada dan sayang. Tiada yang keempat selepas ini.
Ini satu pengajaraan dan peringatan buat saya. Jangan berleka. Lebih perihatin dan menghargai. Waktu ada leka dan abaikan. Bila menjauh baru nak merindu dan tercari-cari. Hati merana tanggunglah sendiri. Mmmm....saya juga rindu dan tertanya-tanya manalah menghilangnya kawan-kawan blog kita ya...Zakie Purvit, Kak Zai, Kak Nora, Julie M, Honey...Anna...dan ramai lagi angkatan lama...sudah tak meriah macam dulu..
Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!