Tuesday 5 September 2017

Bila Masa Berlalu.

Saya balik kampung pada hari raya kedua baru-baru ini. Balik dengan anak sulung dan cucu saja kerana yang lain tidak bercuti. Setelah kematian abang tahun lepas saya cuba balik sekerap mungkin memandangkan yang tinggal dirumah itu kini cuma adik bongsu perempuan  bersama dua adik lelaki.

 Maksu pula walaupun boleh memilih untuk tinggal diluar dengan keadaan yang lebih selesa tapi dia masih setia menjaga rumah arwah mak dan pak.  Menjaga dua abangnya yang tidak sihat  walaupun dia sendiri ada sakit jantung. Sebelum ini abang sulung pun  dia juga yang menjaga. Pengorbanannya cukup besar buat kami semua.

Sebab itu saya dan adik beradik lain berusaha balik kampung walaupun sekejab  untuk membuatkan mereka gembira. Apalagi kalau ada buah hati yang seorang ini. Telatahnya boleh jadi ubat lupa kesedihan buat seketika. 

Beberapa tahun lepas keadaan suasana rumah kampung saya  cukup berbeza. Ceria dan meriah dengan pokok-pokok bunga. Namun kini  semuanya beransur hilang dan pudar setelah maksu mengalami masalah kesihatan. Ini gambar tiga tahun lepas.

Dulu-dulu waktu menyambut hari raya seluruh ruang taman akan di hias dengan pelbagai pokok bunga. Walaupun keadaan rumah agak usang tapi maksu berusaha perbaiki dan tambah ruangan tertentu untuk membuatkan kami adik beradik  selesa berkumpul.

Balik kali ini saya lihat dua parit kiri dan kanan rumah saya penuh dengan pokok air ini. Ruang laman pun sudah kurang pokok bunga dan nampak kosong.

Batas ban depan rumah tempat arwah abang berkebun pun penuh semak samun dengan rumput. Rasanya sekelip mata keadaan berubah.

Kebun pisang arwah abang  juga nampak semak dan kelam. Tak ada orang yang nak rajin menebas. Sayu hati melihatnya. Saya pernah berjanji pada abang untuk membina sebuah rumah kecil untuknya berehat di kebun  tapi tak kesampaian. InsyaAllah kalau ada rezeki tetap saya usahakan sebagai menunai janji.

Seorang demi seorang ahli keluarga saya telah  pergi mengadap ilahi. Lebih terasa sunyi kali ini bila ketiadaan abang sulung. Raya tahun lepas kami masih sempat bermaafan.  Hilang sudah orang yang rajin mengaji quran di rumah.

Beberapa bulan lepas adik ada mengupah orang membersih kawasan rumah. Buang  pokok-pokok yang  usang. Saya pesan jangan tebang pokok jambu batu dan pokok buah salad depan rumah. Itulah saki baki kenangan hasil tangan mak dan pak. Pokok jambu batu itu saya tanam dengan arwah bapa sekitar akhir 70an dulu dan pokok salad adalah  tanaman pokok  ibu yang terakhir.

Sungguh rindu saya pada masa lalu. Masa waktu semuanya masih ada bersama tapi setiap yang hidup pasti mati. Itu ketentuan Ilahi. Yang tinggal hanyalah kenangan abadi. Terpaksa simpan sendu dihati. Pedih tapi manis untuk dikenang. 



OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!

17 comments:

  1. Kita hanya mampu merancang, ketentuannya kuasa Allah.
    Cantiknya pemandangan rumah pusaka tu,
    Penuh kehijauan dan warna-warni.
    Sangat mendamaikan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dulu depan rumah tu penuh dengan pokok2 buah2an tapi dek saban tahun dilanda banjir semua pokok mati.

      Delete
  2. masih cantik dan terpelihara rumah pusaka kak mala tu...
    rumah pusaka arwah emak/ayah saya disewakan oleh mak tiri..so kami dah tiada temapt utk berkumpul...
    lps ayah meninggal,si penyewa tu plan nak beli tanah pusaka tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nampak dari luar saja cantik Kam sebab adik ada tambah porch kat depan tu. Hakikatnya banyak tiang dah reput pun didalam. Kalau hujan lebat pula ruang tamu digenangi air sebab kedudukannya yang rendah kerana asyik tambun tanah depan dan belakang rumah. Tempat saya sentiasa dilanda banjir.

      Delete
  3. Cantik rumah dan kawasan persekitaran kampung Mala! Pokok jambu ini susah dah nak dapat sekarang kat area rumah saya!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya Malar, ini pokok jambu jenis besar mula2 keluar dipasaran kita sekitar 90an tapi my late father beli benih dari siam yan dijual dipasar hari pada akhir 70an.

      Delete
  4. Thank you for posting precious memories. What a beautiful house! Wish I live there, Normala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya I always remembered the past. Our precious moment. Tears & laughter. If the time can be played back....wish they are still there. Live happily together..

      Delete
  5. cantiknya rumah... macam sejuk je..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Musim sekarang memang agak redup dan sejuk. Bila musim panas semua bertukar warna.

      Delete
  6. Sayi baca entri kak yang ni. Rindu kepada yang telah tiada memang menyiksakan, apatah lagi ahli keluarga sendiri yg memang rapat dengan kita. Cantik sekitar rumah kampung kak ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak sentiasa rindu Ainniah...sentiasa rindu....tambah2 kat arwah mak & pak. Tak tahu nak cakap macamna. Walau pun dah ada kehidupan dan keluarga sendiri tapi kak masih rindu pada masa lalu juga. Teringat semua kenangan riang masa arwah masih ada...

      Delete
  7. Sayu bila memandang rumah yg dah ditinggalkan ibu ayah ye NS.
    Besar pengorbanan adik bongsu tu menjaga adik beradiknya. Bukan mudah tu tau....

    Lumrah hidup NS....yg hidup akan mati, kiya pun semakin tua....huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya bukan mudah menjaga rumah lama dan saudara yang sakit. Pengorbanan adik saya sangat besar. Dia sentiasa sanggup walaupun diri sendiri ada penyakit. Rela berkorban untuk kami.

      Delete
  8. Saya sanjung orang macam mak su. Semoga Maksu mendapat kesihatan yang lebih baik. Saya sanjung orang macam mak su.

    Gambar yg ketiga tu gambar bawah rumah ke? Cantik. Boleh tak saya download gambar tu.

    ReplyDelete
  9. saya baca dua kali. ingatkan ni entry baru. tapi baca kali ke dua tak habis, so tengok gambar je.

    ReplyDelete