Thursday, 19 May 2016

Nostalgia Pinggan Lama

Saya bukanlah pengumpul barang lama jauh sekali barang antik tapi saya pasti semua orang bernaluri seperti saya, suka melihat barang-barang tersebut kerana ia pasti mengimbaukan  kita pada memori   kehidupan masa lalu yang mana pada satu waktu dan ketika kita pernah hadir bersamanya di sepanjang jalan kenangan.

Begitu juga saya. Tahun lepas ketika dipasar karat, mata saya terpandang pada pinggan berbunga biru ini. Serta merta kenangan silam datang bertandang.  Saya pernah makan kuih raya dalam pinggan ini di awal tahun 70an. Masih bersekolah rendah. Saya masih ingat ada kuih buah kana, kuih sampan, samperit dan kuih bakar disusun penuh dalam pinggan. Kami makan sambil pandang-pandang pinggan yang cantik itu. Maklumlah kat rumah tak ada kan...

Mak Ram begitulah nama tuan si pinggan raya tersebut. Ibu kawan baik saya. Hanya kat rumah dia saja yang ada kuih raya moden dan sedap. Hampir  45 tahun sudah berlalu. Apa khabarlah dia sekarang...

Saya juga jumpa pinggan kekwa merah ini. Dulu kala mak pernah ada pinggan ni kat rumah.

Walaupun warna dah agak pudar  tapi kenangan makan nasi dalam pinggan ni masa kecil-kecil dulu  bersama-sama mak, pak dan adik beradik lain tetap terang dan subur di ingatan. 

Nak langkah kaki tak boleh saya ambil juga pinggan berdaki ini. Pinggan ini juga merupakan antara  pinggan di sepanjang jalan kenangan saya....Siapa pernah guna pinggan corak ini masa dulu-dulu?

Walaupun ada banyak lagi barang lama yang menggamit memori di jual dipasar itu namun saya cuma memilih membeli 3 biji pinggan di atas saja dengan harapan lain kali datang beli lagi...

Yang ini lain pula ceritanya. Ini pinggan lama keluaran Johnson Bros. England. Keluaran sekitar tahun 40an. Era zaman Jepun.  Saya tidak membelinya tapi  dapat percuma. Adik beri. Untungkan kerana pinggan ini bernilai dan sangat di gemari oleh pengumpul koleksi pinggan lama. 

Kisahnya pinggan-pinggan  lama ini tersimpan berkurun lamanya  didalam jelapang padi. Kepunyaan syarikat/pakat kenduri sebuah kampung. Meraka sedekahkan kepada orang ramai. Adik tahu pun sudah lewat jadi dapatlah sedikit saki baki yang di tinggalkan orang. Bertuahlah orang pertama yang datang ya...

Cantik motif bunga raya yang melatari permukaan pinggan ini. Bayangkan beratus pinggan lama disedekahkan. Terpikir sejenak..tak tahukah mereka pinggan-pinggan ini cukup bernilai dipasaran dan sukar di temui lagi sekarang ini.

Tertera cop mohor dan nombor siri di belakang pinggan. Nama pinggan keluaran ini Khyber. Saya agak terkejut kerana adik saya sendiri tidak tahu pinggan lama ini bernilai sebab dia tidak punya kenangan dan tidak pernah tengok pun.  Zaman dia  pakai arcoroc dah...

Dapat sebiji saja corak ini itu pun sudah mulai retak seribu.

Motif bunganya agak berlainan dan tidak tahu buatan negara mana. Cuma di belakangnya tertera cap crown.

Pinggan-pinggan made in China pun ada juga. Saya angkut bawa balik  semua corak yang adik dapat. Bukan senang nak jumpa pinggan lama original ini.

Corak bunga hitam yang biasa kita lihat. Arwah tuk saya banyak yang corak-corak begini tapi malangnya pinggan peninggalan tuk habis hilang dari rumah saya  selepas kematian mak. Perhiasan koja dan tembaga mak pun juga tiada. Sampai kehari ini saya tidak tahu siapa yang mengambilnya. Sayang betul...

Saya percaya ada antara kawan-kawan yang memiliki corak begini di rumah sendiri tak pun di rumah kampung. Nenek atau  ibu pasti ada menyimpannya.

Kebanyakkan corak banyak bermotifkan bunga raya.

Ada juga corak bunga mawar kembang penuh.

Pernah tak makan kenduri dalam pinggan ni masa bebudak dulu...teman sezaman saya pasti ingat.

Corak mawar hitam ini istimewa sikit sebab ada campuran warna biru kehijauan yang lembut.

Ada set mangkuk. 

Tanda pinggan yang digaris dengan batu kawi. Mesti pernah tengok kan..

Cuma dua biji ini saja made in Japan. Corak bunga lebih kecil dan warna lebih ceria, Berbeza dari buatan Cina kuntuman bunganya lebih besar. Lebih banyak warna hitam dan lembut.

Comelkan piring ini.

Semua pinggan-pinggan ni saya bawa balik dari kampung minggu lepas. Teruja sangat dengannya. Beruntung lagi dapat percuma...cuma yang malang tak ada tempat nak display. Rumah saya tak ada almari hiasan jadi display kat blog sajalah. Kongi tatapan dengan kawan-kawan.

OK kawan-kawan. Please take care. Happy blogging & happy gardening!




Wednesday, 11 May 2016

Torenia lama & baru...

Sibuk berkebun saya se akan lupa pada bunga-bunga yang mekar berkembang di sekeliling. Jadi bulan May ini saya mulakan dengan Torenia. Antara pokok bunga yang mudah membiak dan senang dijaga.   

Bersifat lasak dan tahan panas, bunga ini selalunya tumbuh sendiri melalui biji benihnya yang ringan dan mudah di bawa angin. Pokok di atas tumbuh sendiri dalam pasu kosong. Tidak pernah  di baja tapi mewah berbunga.

Bunga comel ini  memerlukan sinaran matahari penuh untuk berbunga cantik.

Bermula dengan dua warna kini  bunga-bunga ini berkembang dengan pelbagai campuran warna yang memikat. Berlatar belakangkan badan si Kastih, saya pamirkan di sini 9 jenis warna yang pernah saya temui. Musim sebelumnya saya cuma jumpa 6 atau 7 warna sahaja. 

Antara warna baru . Pink terang. Tiba-tiba saja muncul. Mungkin terbentuk dari cross polination. Satu info yang menarik. pucuk Torenia dikatakan  sedap dibuat ulam tapi hingga kesaat ini saya belum pernah mencubanya...

Walaupun  senang membiak, Torenia bila-bila masa saja boleh pupus begitu sahaja. Jadi mesti rajin mengutip dan replant. Selalunya saya kutip anak-anak pokoknya yang tumbuh di merata tempat. Dalam longkang kering begini pun dia boleh tumbuh dan berbunga.

Ini pula Torenia warna baru. Kuning terang campur ungu. Saya beli tahun lepas ketika pulang ke kampung menjaga adik sakit. Beli dari kedai runcit bukan nurseri bunga. Rezeki saya....Tak tahu pun Torenia ada warna yang cantik begini. 

Generasi kedua. Saya semai dengan keratan batang kerana Torenia jenis baru   ini tidak ada biji benih. Podnya kosong tak berisi. Sangat berhasil. Sesuai digantung atau  ditanam menegak dalam pasu. 

Semaian musim ketiga saya dapat satu kejutan. Warna yang keluar bukan kuning ungu tetapi ungu kecoklatan.

Rezeki lagi...

Kali ini saya tanam di bawah saja kerana panas yang melampau membuatkan daunya cepat layu dan kering. Bunga baru  ini agak manja dan perlu di teliti kerana bena sangat suka membuat sarang di batangnya yang lembut. 

Walaupun Torenia kampung ini jarang di pandang tapi sangat teserlah kecantikannya bila ditanam secara kelompok. Warna warninya sangat menarik perhatian. Hingga kini saya masih tercari warna putih dan kuning air untuk melengkapkan koleksi.

OK Kawan-kawan happy blogging & happy gardening!



Saturday, 30 April 2016

Tridax Procumbens - Coat Button / Kancing Baju

Mesti biasa tengok pokok ini. Tumbuh liar di merata tempat dan kawasan tapi boleh kata hampir semua orang  tidak tahu namanya. Apalagi khasiatnya. Saya sendiri puas mencari. Susah bila nak search google tanpa tahu nama pokok.  Akhirnya saya berjumpa juga dengan nama melayunya iaitu Kancing Baju.

Dari kecil saya memang suka dan kagum dengan bunga comel ni. Selalu saya pungut bunganya kala berjalan pulang dari sekolah. Juga buat main masak-masak. Kawan masa kecil saya cakap namanya - Bunga Tahi Lembu - sebab pokok ni selalu tumbuh tepi tahi lembu. Katanya...

Bila-bila masa saya tetap teruja melihat pokok ini. Apalagi waktu dia berkembang penuh satu padang. Nampak suasana ala-ala luar negerilah konon. Lihat mangsa saya -  posing masa musim panas 2014.

 Walau di takrif sebagai rumpai tapi dimata saya ia tetap sebagai kelompok bunga yang comel dan manis di pandang. Hari ini saya mahu bercakap mengenai resepi baru yang saya dapat dari kawan grup fb. Saya sudah mencubanya. 

Buat teh bunga...sedapnya. Sebiji rasa macam crysanthemum tea. Sebab tu mereka panggil namanya kekwa liar/kampung. Waktu itu saya tidak tahu pun rumput ini rupanya ada khasiat tersendiri. Saya terus google. Wah.. info yang keluar cukup buatkan saya teruja. Sangat banyak kegunaanyya. 

Dari situ baru saya tahu nama botaninya ialah Tridax Procumbens. Di panggil juga Tridax Daisy. Berasal dari Amerika Tengah & Selatan.  Famili Asteraceae. Jadi boleh juga dipanggil daisy atau kekwa liar sebab datang dari kelompok yang sama. 

Namun dalam pembacaan, tidak ada info khusus mengatakan  bunganya sedap dibuat minuman. Rata-rata ditulis mengenai tentang khasiat keseluruhan pokoknya. Selain dari daunnya yang  boleh merawat luka, pokok ini juga boleh merawat radang kerongkong, rambut gugur, cirit birit, disentreri dan beberapa kajian untuk pemulihan hati dari penggunaan dos ubat  & toksid yang berlebihan.

Ini bukan kajian tapi saya lihat di kawasan rumah, kupurama  dan serangga kecil suka sangat hinggap di bunga ini. Mungkin madunya juga berkhasiat. Gambar-gambar ini saya ambil sekitar tahun 2014. 

Di Ghana, rumput liar ini digunakan dalam ramuan tradisi mengubati malaria dan serangan parasit bawaan lalat tsetse. Ada kajian juga untuk penyakit bawaan nyamuk seperti denggi dan chikugunya.

Sungguh hebat khasiat tradisi perubatannya sehingga ada yang membuat kajian termasuklah untuk kencing manis dan tekanan darah tinggi. Kalau rasa berminat bolehlah semai bijinya dari bunga yang kering atau dari anak-anak yang tumbuh meliar. 

Begitulah rahsia alam dan kebesaran Tuhan. Cuma kita manusia selalu memandang dan menilai dengan satu arah sahaja. Saya pula selalu menilai dari segi kecantikkan semata-mata. 

Model berjalan penuh perasan dalam rumpun daisy liar. Masih dimusim panas 2014. Homestay sebelah rumah.

Model kedua...bad mood masa ni...

Semua info menarik ini saya dapatkan dari laman web Mr Beng Jin Chee ( info lebih jelas )  yang saya jumpa dalam pencarian google. Penyelidik Bahagian Hasilan Semulajadi FRIM. Beliau juga telah mengeluarkan beberapa buku mengenai herba. Rencana berkaitan juga boleh di baca dalam makalah-makalah  semasa. Credit untuk beliau.

Jadi kawan-kawan memang terbukti rumpai berkhasiat ini sangat membahagiakan tekak dimusim panas begini. Sedap bila  di minum sejuk. Kutip bunga, basuh, rebus dengan gula/gula batu. Hidangkan samada panas atau sejuk. Mungkin ini saja rasanya kajian dari orang Malaysia setakat ini. Walaupun kecil tapi kearah sumbangan yang besar. Untuk selamat,  pungut bunga yang dijamin tidak tercemar kebersihannya. 

OK kawan-kawan happy blogging & happy gardening.











Sunday, 24 April 2016

Mood Herba

Akhirnya hujan turun juga pada awal bulan ini setelah hampir dua bulan kekeringan dalam cuaca yang luarbiasa panasnya. Semua orang rasa lega dan bersyukur.

Seronok tengok air hujan yang mencurah-curah...rindu sebab lama tak turun.

Sekejap saja padang yang gersang kembali hijau semula. Cuma tinggal beberapa bahagian tompok tanah yang terbakar saja masih belum ditumbuhi rumput.

Sedang shooting di padang...tiba-tiba hujan pula  turun rintik-rintik. Model saya apalagi,  lari kelam kabut takut basah...aduhai..

Minggu kedua hujan lagi. Banyak  benih-benih yang terbenam di dalam tanah mulai bercambah termasuklah bayam kampung ini yang kelihatan tumbuh subur di merata tempat.

Hari ini saya petik dan sayurkan dengan buah betik tua. 

Sayur belacan...sedap di makan dengan ikan gelama masam.

Beginilah saya semenjak 'bersara'..rajin mencuba sayuran herba yang tidak pernah saya fikir nak masak pun sebelum ini. Saya sudah cuba Akar Som ini. Lihatlah dunia...dah masuk lima siri baru saya tahu ianya boleh di masak dengan pelbagai resepi pun.  Padahal kenal dah lama. Dulu kala saya tanam sebagai pokok bunga  saja. Pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisonal.

Saya suka bawang putih, Jadi macam ni lah kejadiannya Akar Som saya bila digoreng. Rasanya antara bayam malabar dan kangkung. 

Kebetulan sebelumnya saya masak kangkung goreng belacan yang saya petik fresh dari kebun R&R.

Walaupun ditanam dalam kuantiti yang kecil tapi sudah memadai untuk keluarga kecil saya.

Ini pula ketumbar jawa. Baunya sebiji macam daun ketumbar yang biasa di jual itu. Sesetengah orang tidak suka baunya. Termasuklah saya dulunya. Baunya tengik dan busuk. Macam bau pijat. Masyarakat Siam di sini gemar masukkan daun ini dalam Tom Yam atau sup mereka. 

Saya pun sekarang dah suka! Sekarang kalau masak sup ikan atau ayam gatal saja tangan nak masukkan ketumbar jawa ini. Malangnya  suami tidak suka dan menegur saya kenapa suka sangat masak yang "bukan-bukan" sejak akhir-akhir  ni...mmmm...kita baru nak berangan jadi chef herba...

Sedikit sejarahnya...saya terjumpa pokok ini di pasar, apalagi  terus beli. Kebetulan masa tu pokok ini cukup jadi bualan ahli grup fb. Balik rumah saya terus semai. Mudah saja dia hidup dan bercambah.

Generasi kedua bercambah melalui biji benih yang gugur. Pucuk muda beginilah sedap dibuat ulam. Seperti herba yang lain pokok ini juga mempunyai nilai perubatan tradisi  melalui daun dan akarnya. Antaranya boleh merawat luka, demam, selsema, kembung perut, radang parau2 dan juga melawaskan kecing dan air besar.

Selain di campur dalam sup, boleh juga dijadikan bahan perisa dalam salad atau kerabu. Seterusnya saya cuba pula campurkan daunnya dalam masakkan lain walaupun suami tidak berapa gemarkan aromanya....

Stim....bila dah masak dan dihidangkan...senyap saja dia makan. Mmm...tekak dah boleh terimalah tu....tak pun mungkin malas nak komen...

Sebenarnya banyak lagi menu baru yang saya mahu cuba dari herba-herba dan 'rumput' tepi rumah ni...tapi bila rasa malas datang,..mood rajin tu hilang sekejab. Tambahan dalam cuaca panas  begini nak buat apapun rasa berat saja...tapi Kaspin ni relax je..panas ke hujan ke layan saja tidurnya....suka-suka kat mana saja....Seronoknya jadi kucing!

Ok kawan-kawan take care. Happy gardening & happy blogging!