Saturday, 22 October 2016

Senduduk Putih & Senduduk Biru.

Lama juga mecari senduduk putih ini cuma baru bulan lepas saya terserempak di pasar tani berdekatan perumahan.  Saya berminat bukan kerana  ia mempunyai nilai perubatan tradisional atau kerana dia sering di kaitkan dengan alam mistik dan cerita misteri tapi kerana saya berkenan dengan bunganya yang comel  dan cantik untuk dijadikan pokok hiasan.

Selepas tiga minggu bertukar pasu, putik sulung mula muncul di setiap hujung dahan. Pokoknya pun kecil sahaja,  tidak sangka begitu cepat dia berbunga.

Kembang sudah. Saya tempatkan dia bersama pokok lain berdekatan pintu masuk rumah....hanya selepas beberapa hari selepas itu saya terjumpa info yang agak mengejutkan mengenai pokok ini dalam satu perbincangan di fb. Katanya pokok ini tidak wajar di tanam di kawasan berdekatan rumah kerana ia selalunya menjadi kesukaan makhluk tertentu untuk menumpang.  Di sertai lagi komen-komen oleh mangsa kejadian. Betul ke ni....Eeiii...seramnya....

Kemudian saya beli pula senduduk biru ini di ekspo pertanian semasa balik kampung. Ini abang kandung saya yang belanja. Murah RM10 sahaja. Pokoknya pun besar dan penuh dengan kudup.

Saya harap bila kembang penuh nanti ia akan jadi meriah begini. Membiru. Gambar ini saya ambil di Bukit Bendera awal tahun ini.

Tapi tak menjadi pun...masa mula kembang kelopaknya cepat terlerai bila di sentuh.

Mungkin kerana faktor hujan yang turun berpanjangan. Ini kira bonus dapat ambil gambar dua kuntum bunganya kembang dipagi hari. Yang selebihnya gugur begitu cepat.

Manakala  senduduk pink terang jenis menjalar ini sudah lama menjadi penghuni tetap kebun.  Tiada ruang dan cahaya yang mencukupi untuk gantungkannya di ruang depan rumah. 

Tanpa perlu penjagaan rapi senduduk jenis ini mudah menyesuaikan diri walau di atas tanah yang tidak subur. Setakat ini saya tidak mempunyai info awal mengenainya. Mungkin ada antara kawan-kawan yang tahu boleh kongsi bersama di sini.

 Dalam koleksi terdahulu senduduk ungu terang ini cukup tahan cuaca. Kelopak bunganya sentiasa bertahan dan tidak mudah terlerai walau dalam hujan lebat. Sentiasa meriah berbunga. Namun tidak tahu dimana silapnya, seperti  juga pokok Mandevilla senduduk ungu ini tiba-tiba beransur mati semasa sedang berbunga penuh.

Pun begitu masih ada beberapa jenis warna yang belum saya lengkapi. Antaranya jenis yang dwi color ini tapi belum ada jodoh bersua. Mungkin satu hari nanti. Jujurnya saya menanam kerana suka dan saya harap saya tidak di selubungi misteri dengan senduduk putih yang masih ada di ruang depan rumah....simpang malaikat 44...


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!












Wednesday, 12 October 2016

My Never Ending Story....

Tidak tahu bagaimana mahu mentafsir rasa hati bila masalah yang sama ini bagai tiada kesudahan atau penamatnya...Berbuih mulut bercakap dan kadang-kadang menghamun sesedap rasa tapi keadaan tetap tidak berubah malah makin menjadi dan membiak tanpa jalan penyelesaian yang memihak kepada orang yang seperti saya. Pekebun tegar kecil yang terpaksa bergelut dengan penternak suka hati. So..this is my never ending story ...

Beberapa hari lepas saya sibuk mengambil gambar sayuran & bunga2an di kebun. Maklumlah hujan semedang jadi inilah kerja yang boleh di buat pun. Kelihatan bunga terlebih banyak dari sayur pula.

Cosmos, Angelonia & marygold berlumba-lumba kembang sekebun..

Matahari campak-campak...sepokok saja hidup tapi meriah berbunga...tengok ni hati saya pun ikut kembang sekebun...

Tapi orang kata kebahgiaan tu tak lama..mmm biar saya bermelankolik sikit....Lihat apa yang saya jumpa di pagi Rabu yang dingin ini...dalam simbahan cahaya bening pagi sepasang mata menatap saya dengan penuh kesayuannn.....Zupppp!!! jantung saya seakan berhenti berdegup. Benarkah apa yang kulihat ini. Abannggggg.......

Disasterrrrr!!! Ada se ekor kerbau dengan tali hidungnya  yang masih tersangkut dipukat pagar kebun saya. Dari semalamlah begitu rasanya.   Terpaksalah hubby keluar kelam kabut untuk mengunting tali yang terbelit. Berdepus-depus bunyi kerbau manakala saya dengan hati yang luluh memandang saja dari jauh sambil suruh hubby berjaga-jaga. Takut di sondolnya pula perut.  Sat gi habis set2 baju tidur...pengsan pula kerbau tengok..jenuh!

Manalah tak luluh hati...Tengoklah keadaan pagar kebun saya yang patah riuk ini. Tanah yang lunyai dengan tahi yang bertompok-tompok.

Pokok-pokok bunga sepanjang pagar ini habis terbungkas dan ranap di lanyak. Tu mujur se ekor...

Kalau datang sekawan macam ni...dengan jiwa-jiwa saya habis punah...

Rasanya baru semalam  saja duk tengok thunbergia biru ni berlajar menjuntai...

Angelonia pun...semuanya tinggal kenangan. Bersusah payah saya membangun semula pagar yang roboh secara ala kadar sementara menunggu suami balik kerja dan baik pulih kembali.  Kudrat perempuan tak terdaya nak memasak kayu ke tanah yang keras.

Inilah cabaran terbesar saya bila berkebun. Kalau jiwa & semangat tak kental memang lama dah saya gantung cangkul.

Pemandangan  biasa padang tepi rumah. Puak Che Kam sedang menjamu selera..

Puak Che Mbu...tuan dia yang duk ronda tengok atas motor tu...relax saja lepas lembu masuk kawasan..

Tali dia terbelit di batang pokok nyior jadi  habis pokok daun pandan saya di kendurikan. Orang semua duk dalam rumah. Bila keluar tengok..dah licin pun...sapa nak jawab. Kaspin yang ada tepi tu pun tak boleh buat apa..pandang2 saja...

Pernah beberapa kali   di angkut oleh penguatkuasa majlis tempatan tapi kemudian lepas kembali. Orang kata ada campur tangan politik....begitulah kalau tidak ada intergriti ya...

Habis tu mana tuan dia tak naik lemak. Dia nak heran apa...meronda sakan lagi la Che Kam..

Memang kalau ikut hati yang sakit macam saya nak ketuk hidup-hidup tapi saat melepaskan mereka sayalah pula cepat-cepat ingatkan suami..'tolong jangan pukul bang..depa tu binatang..bukan tau apa...'  Walau nilai kemusnahan yang di alami agak  besar namun pada saya bukan rugi dari segi  wang ringgit yang saya kirakan. Tapi kemusnahan  dari dalam diri saya sendiri. Itu yang lebih parah.

Apabila melihat pokok yang kita belai siang malam musnah sekelip mata. Daun koyak rabak. Batang patah riuk...sakitnya jiwa tuhan saja yang tahu.. Dalam kenangan. Berbelas tahun saya cari rose ni. Sanggup beli dengan harga yang mahal lagi pula bunga feveret arwah ibu tapi sekarang saya sudah kehilangannya setelah berkali-kali direntap oleh Che Kam walaupun berpagar. Sampai saya rasa Che Kam ni adik beradik hantu sebab sentiasa dapat meloloskan diri. 

Walau binatang ini tiada akal tapi kadang-kadang kemulian mereka lebih jelas kelihatan dari tuannya. Kerbau yang dilepaskan tadi beberapa kali berhenti dan menoleh kearah suami dan saya. Mungkin nak ucapkan terima kasih kut sebelum pergi.

 Tak apa, pergilah kerbau saya maafkan & dan halalkan kamu. Memang saya redha dalam sedih dan sakit. Untuk meneruskan hari yang mendatang dengan tenang saya sentiasa cuba bersikap positif dan memaafkan. Cara begitu akan buat saya mudah lupa dan ceria kembali dengan tanaman lain yang masih ada. Hidup akan mudah jika di permudahkan! InsyaAllah.


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening!




























Friday, 30 September 2016

Bunga-Bunga Hujan

Bermula bulan June yang lalu hinggalah kehari ini hujan sentiasa turun dengan lebatnya. Banyak juga pokok-pokok bunga dan sayuran saya mati samada terlebih air atau diserang fungus. Beberapa hari lagi akan masuk bulan.October.  Selalunya peralihan monsun berlaku dalam bulan ini dimana negeri-negeri di pantai timur pula akan disimbahi hujan lebat  namun isyarat hujan mengurang ditempat saya  belum ada menunjukkan tanda-tandanya lagi. 

Antara pokok yang suka hujan dan panas adalah Alamanda. Tidak payah risau tentang dia. Pokok yang sangat lasak dan sentiasa menjadi perhatian ramai. Lagi dipangkas lagi mengembang jadinya...

Ini pun tahan cuaca juga tapi belalang sangat suka makan daun dan putik bunga...Bila kembang mesti tidak sempurna kelopaknya..

Hujan yang banyak turun musim ini juga membuatkan kemboja saya berbunga tidak putus. Kemboja pink lembut ini kembang lagi..

Begitu juga dengan kesayangan yang harum ini. Kali ini pasu kedua pula berbunga rendah. Dapatlah hari-hari saya mencium baunya...

Manakala heliconia merah kuning ini tidak mampu menahan beratnya sendiri. Merunduk ketanah akibat timpaan air hujan. Banyak batangnya patah. Bersusah payah saya mengikat dan menarik pokoknya dengan tali agar  tidak menyembah bumi.

Thai Jasmine antara yang  tolerate dengan cuaca semasa. Kelopak bunganya sentiasa berada dalam keadaan mekar sempurna sehingga gugur kebumi. Tidak layu. 

Namun ada juga yang tertewas. Sangat menyedihkan. Bunga Mandevilla putih yang sedang subur berbunga lebat sepanjang masa ini tiba-tiba saja mengecut dan beransur-ansur kering dan layu. Tidak pasti kenapa mati mengejut secara tiba-tiba. Sudah 14 bulan bersama saya.

Pokok yang selalu dibelai biasanya begitulah ragamnya sedangkan pokok zinnia merah menyala yang terabai  begitu saja di homestay sebelah cantik pula kejadiannya. Ini adalah zinnia terakhir saki baki dari benih yang saya tabur tahun lepas sebelum rumah ini  disewakan. 

Thunbergia kuning ini sangat cantik dan comel.

         Namun tidak mampu melenyapkan kekecewaan saya pada kakaknya yang juga tertewas. Black eyed susan yang saya ambil benihnya di Cameron pada tahun 2014.

Plambago biru kali ini tidak meriah berbunga akibat terlindung dari cahaya matahari penuh.

Pada masa yang sama hydrangea saya makin menyusut kelopaknya. Bunganya tidak membulat bagai dulu. Mungkin faktor umur agaknya. Harus buat sesuatu ....belasan tahun sudah...

   Crossandra oren ini mampu hidup subur walau menyelit dicelah pokok lain dan berkongsi pasu.

Kekwa kuning pemberian kawan...setelah lama mencari bunga ini akhirnya dapat juga. Orang dulu-dulu suka tanam pokok ini. Belum lengkap tanpa warna putih dan purple juga pink. Setakat ini dulu. Selamat bercuti dan berhujung minggu untuk semua. 


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!




Sunday, 18 September 2016

Bayam Brazil / Brazillian Spinach.

Siapa pernah tanam dan makan bayam ni? 
Pokok ini berasal dari brazil. Sebab itulah dia dipanggil bayam brazil agaknya. Dari pemerhatian saya rata-rata yang tanam pokok ini adalah kawan berbangsa Cina. Orang melayu mungkin masih baru atau tidak kenal langsung sebelum ini macam saya. Pertama kali saya kenal dan tahu tentang sayuran ini pun menerusi posting oleh kawan-kawan grup fb pada beberapa bulan lepas. Kedengaran sangat menarik dan seperti biasa saya sangat teruja untuk memiliki.

Sungguh tidak terduga, hanya cuma bertanya tentang benihnya seorang kawan baru fb saya bernama Mr Geo menawarkan penghantaran percuma keratan batang bayam tersebut dengan pos laju . Saya apalagi..berbesar hati sangatlah...Bila sampai terkejut juga tengok rupa pokoknya...Daun dia berlubang-lubang kesemuanya. Tak ada rupa bayam pun...betul ke ni bayam brazil Tengok gambar macam lain saja...

Tidak patah semangat, saya terus buang kesemua daun berlubangnya dan tanam pada 18hb Aug, sehari selepas sampai. Saya tanam di atas tanah dengan separa cahaya matahari. Menurut kawan saya daun tersebut begitu rupa kerana dimakan belalang. Sepuluh hari kemudian lihat cepat saja daun barunya tumbuh. Bajanya cuma siraman air ikan.

Tiga minggu kemudian. Inilah rupa pokoknya secara jelas. Daunnya berwarna hijau pekat, berkerimot, agak tebal dan berisi. Rupanya ada iras-iras sikit bayam malabar tetapi tidak memanjat.  Pokoknya renek dan rendang. Tak nampak macam rupa bayam biasa..

Bayam biasa macam di atas rupanya. Daun pun lembut dan nipis. 

Kerana tidak sabar nak tahu rasanya bagaimana saya petik  sedikit dan goreng bersama bawang putih..Mmm..jangan kata apa..saya memang suka bawang..Wahhh! tak sangka sedappp...teksturnya rapuh macam kailan tapi tidak pahit..ada rasa sedikit kemanisan. Rumusan dari tekak saya..rasanya adalah dari komponen rasa kailan, malabar dan kangkung! Istimewa kan...

Lebihan batang yang digoreng saya semaikan. Memang bayam ini sangat mudah membiak  dan suka keadaan lembab dan teduh. 

 Hari ini 18hb September, sebulan umurnya dan seminggu selepas dikerat. Lebih subur dan gemuk dari minggu sebelumnya. Setakat ini tiada serangan dari mana-mana serengga perosak. Gebu saja daun dia. Esuk saya nak goreng belacan pula. Daunnya juga boleh dimakan mentah sebagai salad campuran. Mmm..menu ini pun mesti saya nak cuba juga..

 Memang beruntung tanam bayam brazil ini. Sangat mesra dan tidak cerewet. Rasanya 100 kali mudah dari menanam kailan. Ini lebihan kailan yang saya tanam. Lepas ni tapaknya saya nak tanam bayam brazil banyak-banyak. Terima kasih tidak terhingga kepada Mr Geo Chong yang telah menunaikan hajat saya. Bukan itu saja, beliau juga mengirim kepada saya pokok rerama, rumput beijing dan Assystasia. Orang berbudi kita merasa!


OK kawan-kawan please take care. Happy blogging & happy gardening!