Monday, 28 January 2019

Lemon Australia.

Sudah masuk musim kemarau di daerah saya sekarang.  Rasanya sudah tiga minggu hujan tidak turun. Oh, sebelum lupa ingin saya nyatakan disini saya tidak boleh turun komen di beberapa blog kawan seperti WP... Faridah... Siti Yang Menaip dan beberapa orang lagi. Dulu boleh, ok saja.  Mungkin sudah ubah cara setting atau saya sendiri tidak mahir. Walaupun begitu saya tetap lawat dan membaca. Cuma agak ralat tidak dapat  komen cerita. 

Musim panas begini kebun saya bersih dari rumput tapi meriah dengan bunga.  Tapi minggu ni tak ada cerita bunga. Nak  cerita pasal lemon Australia pula.

Jangan gelak tengok seluar dalam buruk tu. Hubby punya. Ini ikut petua dari kawan fb. Kalau nak buah lebat  katanya lempar benda alah ni atas pokok. Saya pun ikut. 

Tapi buah yang keluar tetap gitu-gitu saja tak lebat. Cuma yang agak pelik dua biji lemon yang mana rantingnya tersangkut seluar buruk tu jadi begitu besar dari yang lain. Lucu ya. Ada tak kawan-kawan yang biasa buat petua begini... 

Lihat beza sais ukuran lemon saya dan lemon pasaraya.  Sekali ganda besarnya. 

Beratnya 300gm lebih manakala lemon biasa cuma 150gm saja. Pertama kali dapat sais gedabak dua biji. Mmmh... petua la sangat kannn.... 

Beberapa minggu lepas saya tut pokok lemon ni. Masa beli dulu dari anak biji. Empat tahun baru berbuah. Puas la tunggu... 

Semalam tengok semua sudah tumbuh akar. Wah.... begitu mudah dan cepat. Nak tunggu akar penuh dulu baru nak tanam. So excited....

Saya akhiri posting ini dengan bunga baru white thunbergia black susan eyed.  Pada masa yang sama masih berharap agar dapat kembali memberi komen di blog kekawan seperti di atas. 

OK kawan-kawan, please take care.  Happy blogging & happy   gardening! 




Monday, 14 January 2019

Plumbago Auriculata

Selamat Tahun Baru buat semua kawan bloggers ya. Walau agak terlewat ucapan ini  tapi rasanya kita masih dalam suasana kan. 
OK entry pertama tahun 2019 ni saya mulakan dengan bunga plumbago. 

Nama tempatannya pokok Chelaka atau Derhaka Mertua.  merupakan bunga feveret saya. Setiap sudut laman di rumah  mesti ada pokok ini. 

Pokok yang berasal dari Afrika ini sangat tahan cuaca samada panas atau sejuk juga berbunga sepanjang tahun. Sekarang saya sudah miliki tiga warna. 

Biru terang atau dipanggil juga Imperial Blue. Ada kalanya warna ini menjadi lebih gelap dan solid. 

Biru cair. Pokok ini boleh dibiak melalui keratan batang atau biji benih. Tapi setakat ini belum pernah jumpa biji benihnya. 

Putih bersih. Pokok ini tidak cerewet dibela. Sentiasa berbunga dan tahan bertahun-tahun.  Walaupun dikategorikan beracun tapi pokok ini tetap mempunyai khasiat perubatan tradisional tersendiri. 

Suka matahari penuh dan air yang mencukupi. Pangkas pendek batangnya bila daun mulai kering dan kehitaman. Jangan risau pucuk baru akan tumbuh lebih eluk nanti. 

Ini pula pokok jiran. Jatuh hati tengok. Tak sangka rupanya lebih cantik bila digantung. Selama ini saya letak dibawah sahaja. 

Terus tiru...

( gambar google )
Belum jumpa lagi warna merah ini atau dipanggil plumbago indica. Terbayang dimata jika disatukan warna ini dengan yang putih tentu sangat cantikkan. Tungguuuu..... 


OK kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening! 








Monday, 24 December 2018

Remunggai, Kundur, Timun, Peria, Cilipadi Kampung & Terung

Sepanjang bulan ini saya giat melakukan aktiviti merumput, menyemai, tanam semula dan membaja di kebun.  Rasa lega bila tengok dalam kebun semakin cerah. 

Walaupun keadaan cuaca masih tidak menentu namun kebanyakkan tanaman saya berjaya mengeluarkan hasil seadanya. 

 Pokok remunggai yang saya tanam dari biji benih ini sudah berbuah sulung. Memang tak perasan masa bila ia berbuah. Tahu-tahu bila jenguk ke atas dah berjuntaian pun.

Sebelum di masak kena kikis dulu kulitnya.  Saya rebus sekejap buang airnya. Setengah orang tidak makan kerana dikatakan sejuk dan berangin.

Pucuk dan daun mudanya  juga sedap dimakan. Orang India selalu  tanam pokok ini dikawasan rumah mereka. Banyak khasiat pokok ini. Itu sebab saya tanam. 

Dah siappp!!! Bila-bila masa pun saya suka masak campur telur. Baik kari atau lemak kuning. 

Yang paling saya suka tanam. Kundur musim baru. Berjuntaian.

Timun mini dari pokok baru juga. 

Peria juga

Petik pagi tadi. Timun mini pun dah gedabak jadinya.

Cili padi kampung sangat menjadi kali ini. Saya pungut yang muda sebab takut buruk. 

Pertama kali saya buat jeruk. Dulu kalau kawan tak pungut semua kering begitu saja. Sekarang kena hargai apa yang kita tanam. 

Dalam sejarah saya pertama kali beli anak pokok sayur on line. Selalu beli biji benih tanam sendiri. Dua bulan lepas saya beli enam anak  pokok terung dengan harga 2 ringgit sepokok. Terung ungu dan terung hijau. Kesemua sudah berbuah. 

Kelmarin dah pungut hasil. Mesti la masak menu feveret saya. Pajri. Makan pula dengan ikan gelama kering. Mmmm.... Marveles...


OK kawan-kawan,  please take care. Happy blogging & happy gardening! 

P/S: Mari kita sama-sama berdoa untuk keselamatan rakan dan rakyat Indonesia yang dilanda bencana Tsunami. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini. 

Friday, 14 December 2018

Sandpaper Vine

  Saya memang penggemar pokok dari jenis creeping vine atau menjalar. Ini salah satunya. Walaupun tidak berbau harum tetapi saya tetap jatuh cinta pada pokok ini.  Mendapat namanya dari sifat daunnya yang kasar bak permukaan kertas pasir. Pokok ini berasal dari Mexico dan Amerika tengah namun mampu hidup subur dibumi sini. 

Sandpaper vine ini saya beli di nurseri masa balik kampung awal tahun ini dengan harga 35.00  ringgit sepokok.  Pokoknya sudah  matang berbunga dengan ketinggian mencecah hampir enam kaki. 

Lebih cantik jika dibuat pergola atau trellis kerana batangnya bersifat melilit dan bunganya pula berjurai kebawah. Pokok ini sangat tahan panas dan memerlukan air dan baja yang mencukupi untuk sentiasa berbunga. 

Kon bunganya akan muncul melalui ketiak kiri dan kanan  daun.   Kuntumnya terdiri dari dua lapisan dimana lapisan  bawah berwarna pink kebiruan akan kembang terlebih dahulu membentuk  kelopak seperti bintang. Manakala kuntum kedua akan muncul membulat  ditengah dan akan kembang kemudiannya. 

Lihat kedua-duanya sudah kembang bersama. Kelopak kedua menyerikan lagi bunga ini  dengan  warna purple. Perbezaan warna antara dua kelopak ini nampak cukup jelas dan menarik.   

Malangnya  kuntuman kedua mudah gugur dan tidak kekal lama. Sayang melihatnya bertaburan atas tanah. Saya kutip dan masukkan dalam fountain mini. 

Cuma kelopak pertama shaja yang kekal ditangkai untuk membentuk biji benih. Warnanya beransur menjadi pudar dan akan kering sepenuhnya beberapa hari kemudian.

Sudah kering  sepenuhnya. Pada waktu ini kena  bertindak cepat kerana bunga yang kering cenderong gugur atau diterbangkan angin.  

Biji benih yang sesuai disemai ialah yang bersaiz besar dan keras.. Walaupun begitu ianya juga boleh dibiak melalui keratan ranting. 


OK kawan-kawan,  please take care. Happy blogging & happy gardening!  



Friday, 23 November 2018

Cerita Usia.

Usia itu seperti angin menderu menyentuh tubuh, terasa hadir namun tak mampu menahan dari berlalu pergi. Begitulah  cepat nya masa beredar. November ini jiwa saya sangat terkesan. Lebih separuh abad sudah nadi ini berdetik. Syukur kehadrat ilahi kerana saya masih mampu berdiri menghela nafas.

Masih dapat melihat mentari pagi yang terang menyinar. 

Juga masih mampu tersenyum menyaksikan bunga-bunga yang bertebaran kembang di laman.

Bersilih ganti suka dan bahagia dapat melihat cucu membesar didepan mata. 

Sampai waktu lena pun terbit rasa bahagia tatkala menatap wajah mereka tanpa jemu. 

Namun ada kalanya satu ketika saya tiba-tiba dilanda rasa sunyi dan terasing walau dikelilingi oleh mereka yang tersayang. Terasa bagai waktu terhenti dan mati. Apakah itu perasaanya tua? 

Kalaulah masa boleh diputar. Kalaulah ibu masih ada. Ingin saya pegang tangannya dan cium. Ingin saya bisik ketelinganya. Mak saya sudah faham apa itu ertinya tua. Maafkan saya bertanya soalan itu dulu mak. Saya cuma ingin tahu. 

Kerana ada kalanya saya  lihat  mak bersedih  dengan airmata. Senyap berhari tanpa kata. Entah rajuk pada siapa.  Sedang saya  rasa tidak ada apa-apa. Mungkin waktu itu saya tidak faham kerana tidak berada ditempatnya dan mak pula tidak tahu bagaimana nak meluah segala perasaannya.

Bila masa berlalu tanpa sedar kini saya telah berada ditempatnya. Betul kata mak. Apa yang sakit ialah tidak dapat menolak perasaan sayu dan pilu yang datang menghimpit dada. Ujarnya nanti bila tiba masa  pasti akan rasa. 

Sukar  ya untuk di ungkap perasaan halus itu.  Mungkin  perempuan  tua terlebih emosi sedangkan lelaki seusia heyyy.... masih steady. Bila-bila masa nak cari sorang lagi. 

Kata madah usia cumalah angka. Memang benar tapi pengisian rohani itu yang buat kita berbeza. Jadi  kalau boleh saya  tidak mau jadi bunga layu. 

Tua bukanlah paspot untuk bersedih lara. Harus pandai menyesuai diri dengan waktu yang sedikit berbaki. Apapun saya rasa bertuah kerana punya terapi minda didepan mata. 

 Bila sedih tengok bunga. Bila sayu tengok bunga. Marah pun tengok bunga.  Bila happy.... apa lagi sure tengok bunga. Mmmm... Agaknya sampai kemati pun saya tetap dengan bunga. 


Ok kawan-kawan, please take care. Happy blogging & happy gardening