Sudah hampir seminggu hujan turun berterusan di tempat saya. Selama itu sudah tiga kali ribut dan angin kencang melanda. Hari pertama ribut banyak pokok buah yang baru saya tanam tumbang termasuklah pagar kebun R&R saya. Tidak banyak yang saya boleh buat. Sekadar meronda melihat pokok tanaman yang terkulai dan hampir separuh tenggelam di banjiri air hujan. Dalam hati berdoa saja agar hujan berhenti...mmm..masa kemarau aritu minta hujan..dah hujan...minta matahari pula...
Pagi ini hujan lagi. Kabus boleh dilihat sampai kepetang mengelingi bukit di sekeliling perumahan. Dalam hujan rintik saya keluar juga untuk mengambil gambar kebun baru yang saya usahakan dari bulan April yang lalu.
Kebun baru ni saya namakan R&R 2 bersambung dengan tapak R&R lama. Saya mulakan dengan tanam labu dahulu dan di ikuti seterusnya dengan serai, kemangi, bendi, timun, labu air, kundur dan terung. Pokok-pokok ini Che Kam tidak makan, Jadi semuanya selamat walaupun tidak berpagar.
Penat tapi seronok. Itulah yang saya rasa bila membuka cawangan baru ni. Setiap hari bermandi peluh menyangkul rumput sambil ditemani Kaspin. Kehulu kehilir saya melawat. Depan, belakang dan tepi rumah. Semua nak kena tengok. Naik hitam muka sun burn...terpaksa lumur tepung pulut ganti bedak sejuk sampai dah jadi macam Mok Cun.
Pada masa yang sama saya juga buat kebun mini di depan rumah. Tapak ni dulu saya letak pokok-pokok bunga.
Sebulan saja dah boleh makan hasilnya tapi tidak berapa cantik kejadiannya kerana kurang cahaya matahari, Tapak ini dah jadi teduh sebab pohon mempelam saya membesar dan merendang walaupun dalam musim kemarau.
Lalu saya ubah baki anak sayuran ini ke kebun R&R 1 dan R&R 2. Jadi tutup sudah cawangan depan rumah. Ganti pokok bunga balik.
Dua bulan berlalu inilah hasil kebun R&R 2. Semua pokok yang ditanam makin membesar. Saya juga selitkan pokok buah2an dan lain-lain pokok ulaman. Waktu ni Che Kam dah mula menghidu dan ada beberapa kali sudah masuk makan pokok-pokok buah. Penat menghambat kalau gerombolannya lepas kandang.
Terung hasil pertama kebun ini. Tuan benih cakap namanya terung Bangladeshi...
Terung putih baru berbunga. Di belakangnya pokok benih campak-campak saya. Benih-benih lama yang bercampur aduk Tumbuh subur bukan main. Ada timun, timun betik, tembikai, honey dew, bayam dan kangkong. Pokok bunga pun terselit juga.
Labu baru berlajar berbuah.
Timun dan labu air sudah menyesuaikan diri dengan tanah bakar dari rumput yang saya cangkul dan kumpulkan. Kalau harap tanah asal memang keras berbatu sebab tanah tambak. Asalnya dulu kawasan tapak perumahan ini adalah paya laut.
Timun mini sulung simpan buat benih.
Labu air dah mula berputik..
Serai dan kemangi tengah membesar. Masa ni semua sayuran nampak cantik dan segar saja sebab waktu di ambil gambar, musim hujan belum bermula. Tanah pun kering eluk.
Bila hujan dah bermusim..beginilah gambarannya hari ini. Air bergenang di mana-mana. Hampir separuh dari tapak dan sayuran di kebun R&R 2 di tenggelami. Sawi kerinting saya banyak yang mati dan pecah daunnya.
Mujur sawi batang hijau masih dapat bertahan. Manakala sayuran lain banyak yang melecur daunnya. Ulat, kumbang, belalang dan serengga perosak berleluasa membuat sarang di daun. Sepagi saya memangkas daun-daun yang rosak.
Masa itulah saya terjumpa timun betik yang cantik ini berselindung dibalik daunan. Tak perasan langsung sebelum ini. Happy rasa hati. Tak sangka berbuah eluk begini. Inilah hasil pertama benih campak-campak.
Toleh dibelakang, kelihatan kebun R&R pertama saya. Saya ambil gambar dari bahagian pagar yang roboh semasa ribut baru-baru ini. Di sini juga berair namun rata-rata pokok buah dan pokok bunga yang sudah stabil kurang mengalami kecederaan. Lain hari nanti kita bercerita pula tentang pokok buah2an dan ulaman saya juga kebun belakang rumah.
OK kawan-kawan, take care. Happy blogging & happy gardening!