Semenjak hujan turun hari-hari, rumput-rumput di kebun tumpang saya sungguh subur menjadi-jadi. Kalau ikut hati memang tak terlarat nak merumputnya tapi eluk juga saya mengambil kesempatan dari keadaan ini untuk melonggarkan urat dan mengeluarkan peluh secara percuma.
Belum sampai separuh jalan saya mencangkul untuk persediaan kebun di musim baru. Tiba-tiba...
Saya ternampak ini. Chupp!! commercial break sat. Tengok sapa yang lalu.. Amboi...bahagia nampak, Cik Bau laki bini bawa anak jalan-jalan makan angin. Tiba-tiba yang si bapa terus berhenti jalan dan merenung saya. Wah..pandai marah dia. Saya tergelak kuat sorang2. Oish..kemudian kedua-dua sekali merenung saya. Mula rasa tak sedap hati terus saya cabut. Hehehe..tau takut..
Tengok perbezaan pokok bendi ini. Pertama kali tanam subur saja naik. Kali kedua semai dimusim kemarau. Semua pokok jadi bantut. Saya cabut kesemua pokok dan tanam semula.
Masa musim kemarau, ada pokok yang saya abaikan termasuklah rosselle ini. Bila hujan turun biji-biji benih tumbuh semulajadi dalam kelopak buah yang masih eluk lekat dibatang.
Ini pula before and after....Mmh! terpaksalah saya gondolkan kesemua daunnya. Puncanya? Lihat dibawah..
Pemusnah dua serangkai..anak kumbang bulat dan bena putih.
Lobak putih. Membesar dengan eluk walau pada musim kemarau, lupakan pada saiz dan bentuknya yang sudah tentu tidak menepati standard, tapi berbaloi juga bila dimasak. Tetap rasa serupa macam yang beli di pasar.
Kacang kelisa pula membawa ceritanya yang sendiri. Tidak tahu dimana yang silap saya cuma dapat makan dua biji saja hasilnya. Selebihnya ia menjadi gila daun selepas Che Kam selalu meratah daun-daun bahagian bawah.
Petola. Saya tanam dengan enam biji benih. Bila berbuah saya dapat makan empat biji buahnya dan sebiji simpan untuk stok. Balik modal kan?